Lewandowski Disarankan Untuk Sertai Manchester United

Bintang Bayern Munich, Robert Lewandowski dianggap bakal menjadi penandatanganan paling sempurna untuk Manchester United.

Menurut bekas pengurus skuad kebangsaan England, Fabio Capello, Lewandowski merupakan pemain yang sangat diperlukan oleh setan merah pada ketika ini.

Lewandowski yang kini sudah berusia 33 tahun masih mempunyai baki kontrak sehingga 2023 bersama Bayern Munich dan beliau juga masih lagi menjadi pemain terpenting gergasi Bundesliga itu.

Pemain kebangsaan Poland itu merupakan mesin pencetak gol berkualiti tinggi dengan beliau berjaya menjaringkan 69 gol untuk kelab dan negara sepanjang tahun 2021 ini.

Ketajaman dan kualiti penyudah yang beliau miliki membolehkan beliau memenangi anugerah Diego Maradona dan ‘TikTok Fans Player of The Year di Globe Soccer Awards 2021 yang dilangsungkan di Dubai kemarin.

Menurut sumber laporan dari II Posticipo, Capello telah ditanya oleh Sky Sports siapa yang sepatutnya memenangi anugerah ‘Men’s Player of The Year’ di acara Globe Soccer Awards baru-baru ini.

Beliau kemudiannya menjawab:

“Saya harap Lewandowski menang kali ini.”

Jawab beliau.

“Saya penggemar Messi tapi saya sendiri tidak akan undi dia. Saya rasa bintang Poland itu yang berhak dapat anugerah itu.”

“Saya rasa dia masih seorang penyerang terhebat walau ada Neymar, Erling Haaland dan Kylian Mbappe untuk jadi pencabar dia di masa hadapan.”

Pemain penyerang Paris Saint Germain, Kylian Mbappe berjaya memenangi anugerah tersebut dengan beliau berjaya menewaskan pesaing terdekatnya, Robert Lewandowski.

Lewandowski pada ketika ini sedang hangat dikaitkan dengan bakal menandatangani perjanjian bersama Manchester City atau Real Madrid.

Hal ini kerana Bayern Munich sudah mula berusaha untuk mendapatkan Erling Haaland pada jendela perpindahan musim panas akan datang, dan ia jelas satu petanda mereka tidak lagi memerlukan khidmat bintang Poland itu.

Ketua kebangsaan Poland itu tidak menunjukkan tanda-tanda beliau sudah semakin perlahan selepas beliau pada musim ini cemerlang meledak 30 gol dari 25 penampilan bersama Bayern Munich.

Capello percaya yang Lewandowski sepatutnya meninggalkan Bayern Munich sekarang dan menegaskan yang beliau sepatutnya menyertai Manchester United dalam saingan Premier League.

Beliau merasakan yang setan merah lebih memerlukan khidmat Lewandowski memandangkan mereka kini kekurangan pemain penyerang sebenar.

Capello dalam kenyataannya beliau menyatakan bahawa:

“Lewa patutnya meninggalkan Bayern. Saya tahu ada rumours tentang itu, saya yakin dia boleh beraksi cemerlang di mana-mana sahaja, tapi dalam saingan Premier League, ada pasukan yang betul-betul memerlukan pemain centre-foward dan pasukan itu adalah Manchester United, yang mana mereka sekarang menggunakan Cristiano Ronaldo untuk bermain di posisi itu.”

Ronaldo membuat kepulangan semula menyertai Manchester United pada musim panas baru-baru ini, dengan beliau kini sudah berjaya menjaringkan 13 gol dari 19 penampilan untuk skuad setan merah.

Bintang Portugal yang kini berusia 36 tahun itu kekal menjadi pemain kegemaran ketiga-tiga pengurus United musim ini, Ole Gunnar Solskjaer, Michael Carrick dan kini di bawah kendalian Ralf Rangnick.

Memandangkan Edinson Cavani juga dilaporkan mahu meninggalkan kelab pada jendela perpindahan Januari ini, penandatanganan pemain seperti Robert Lewandowski merupakan satu keputusan yang sangat bijak.

Robert Lewandowski sendiri sebelum ini pernah mendedahkan hasratnya untuk keluar meninggalkan Bayern Munich dan mahu mencuba suasana baru di tempat lain.

Beliau percaya yang walaupun usianya semakin meningkat, namun kualiti yang beliau ada tidak pernah kurang dan kerana itulah Lewandowski mahu mencuba nasib di tempat lain.

Jelas sekali tidak akan ada pasukan yang menolak sekiranya mereka berpeluang untuk mendapatkan pemain seperti Lewandowski.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Premier League 2021/22: Chelsea 1-1 Manchester United