Romelu Lukaku Kongsi Rahsia Diet Turunkan Berat Badan 11 Kilogram Dalam Waktu Yang Singkat

Romelu Lukaku sememangnya satu nama yang tidak asing dalam kancah bola sepak Liga Perdana Inggeris, terutamanya di kalangan para penyokong Manchester United.

Ini kerana pemain pasukan kebangsaan Belgium ini sering menjadi mangsa kecaman para penyokong sekiranya pasukan Syaithon Merah tersebut tidak berjaya memenangi sesuatu perlawanan, atau sekurang-kurangnya mendapatkan satu mata.

Jika bukan Lukaku, pemain yang sering menjadi mangsa kecaman adalah Paul Pogba dan juga Anthony Martial.

Dua tahun sudah berlalu sejak kali terakhir Lukaku menyarung jersi warna merah tersebut, dan sepanjang tempoh tesebut, dia telah menggegar gawang di Serie A bersama pasukan Inter Milan.

Dalam musim keduanya bersama pasukan Nerazurri, Lukaku berjaya membantu pasukan tersebut memenangi Scudetto buat kali pertama dalam tempoh lebih 10 tahun, sekaligus merampasnya daripada juara bertahan, Juventus, yang terperosok ke tangga keempat liga.

Entah apa yang berlaku di kelab tersebut, pengurus Antonio Conte tiba-tiba mengumumkan bahawa dia tidak lagi bersama kelab hitam biru itu dan kemudian diikuti oleh Lukaku yang berpindah ke England, untuk kembali bersama Chelsea – pasukan yang disertainya ketika dia berusia 18 tahun.

Untuk mendapatkan khidmatnya, Chelsea telah berbelanja sebanyak £97 juta, sekaligus menjadikan Lukaku pemain paling mahal di dunia, jika dikira jumlah keseluruhan yuran perpindahannya sebelum ini.

Mana tidaknya, dia menyertai Chelsea dari Anderlecht dengan nilai perpindahan £13.5 juta, dan pada tahun 2014, dia telah meninggalkan Chelsea untuk menyertai Everton dengan nilai perpindahan sebanyak £31.8 juta, ditambah £3.15 yuran pinjaman pada musm sebelumnya.

Tidak lama kemudian, Manchester United membayar kelab Merseyside tersebut £76.23 juta untuk membawanya ke Old Trafford, sebelum menjualnya kepada Inter Milan pada harga £66.6 juta.

Dicampur dengan perpindahan kembalinya ke Chelsea, secara totalnya Lukaku telah mencatatkan nilai yuran perpindahan terkumpul sebanyak £288.8 juta – lebih tinggi daripada Neymar yang mencatatkan jumlah yuran perpindahan £254.44 juta.

Nampak sangat betapa powernya kerja ejen Lukaku, Mino Raiola buat kerja.

Jika dua tahun lalu dia sering digelar pemain gemuk dan overweight, kini Lukaku tampil dengan saiz badan yang baru serta kelihatan amat fit sekali.

Ketika bersama United, dia dikatakan mempuyai berat lebih 4kg daripada berat badan idealnya, dengan bahagian atasnya badannya kelihatan sangat besar.

Memanglah Lukaku mempunyai rangka yang besar, tetapi berat badannya naik sedemikian rupa bukan kerana tukang masak di United pandai masak ataupun selalu memberi Lukaku makan nasi lemak setiap hari, tetapi dia sebenarnya mengalami masalah sistem penghadaman yang tidak berfungsi dengan baik.

Sebaik sahaja menyertai Inter Milan, Lukaku dikehendaki untuk melalui diet yang sangat teliti oleh Antonio Conte selepas dia merekodkan berat sebanyak 104kg.

Dengan pertolongan daripada pakar nutrisi Matteo Pincella, Lukaku akhirnya berjaya mengurangkan berat kepada 93kg.

Berat ini adalah berat yang ideal buat pemain ini memandangkan dia mempunyai ketinggian 191 cm.

Tampil dengan lebih kurus dan lebih ringan, Lukaku kemudiannya mula menuai hasil buat Inter dan secara keseluruhannya telah menjaringkan 64 gol dalam 95 perlawanan, termasuk 24 gol dalam 36 perlawanan Serie A yang memperlihatkan pasukannya menjulang kejuaraan Serie A.

Dalam gambar terbarunya memakai jersi Chelsea, pemain lepasan akademi Anderlecht tersebut dilihat berada dalam bentuk yang sangat sempurna untuk bermain bola sepak, bukan lagi untuk ragbi.

Perbezaanya sangat jelas, bagaikan melihat dua orang yang berbeza.

Bekas pemain United yang sering berbunyi bagaikan dia serba tahu segala benda sebelum ini pernah menuduh Lukaku sebagai seorang yang tidak professional ketika di United.

“Selepas aku masuk Inter, kami buat satu analisa tentang badan aku dan banyak benda telah berubah,” ujar Lukaku kepada media Inter, suatu ketika dahulu.

“Aku makan banyak sayur dan ikan, yang mana memang mempunyai kesan yang baik untuk aku.

“Aku ambil carnitine (protein), buat aku rasa sihat, dan pada masa yang sama aku makan vitamin sekali.

“Aku makan salad untuk tengah hari, dada ayam yang banyak dan mi shirataki. Sejak mengamalkan gaya hidup macam ni, aku rasa lagi padu di atas padang, lebih peka dan laju.

“Aku suka ubi kentang manis dan nasi hitam, aku tak makan pasta.

“Aku dah sampai satu tahap terbaru, secara jasmani dan rohani. Sehari sebelum perlawanan, aku makan karbohidrat banyak-banyak.

“Selepas kebanyakan perlawanan, aku makan dua pek gnocchi. Benda tu masuk ke dalam sistem peredaran aku dengan cepat, memang membantu lah.

“Aku minum dan makan di stadium, di kantin kitorang, atau aku bawa balik ke rumah, kemudian pulihkan diri dengan ais.”

Ais yang dimaksudkan di sini adalah air batu, bukan ais yang korang selalu hisap tu.

Selain menjaga pemakanan, sudah tentu Lukaku berlatih pada setiap hari dan dari sini segala karbo dan lemak di dalam badannya terus dibakar.

Jadi, bagi korang yang nak turunkan berat badan tu, boleh ikut jejak langkah Lukaku dalam mengatur pemakanan. Semoga berjaya semua ya.

Sumber cerita : SB

BACA:  Klopp Dan Guardiola Tak Akan Pernah Berminat Untuk Menandatangani Lukaku