Ronaldo Dedahkan Sebab Disebalik Fesyen Rambut Piala Dunia 2002

Legenda bolasepak Brazil, Ronaldo akhirnya mendedahkan punca sebenar beliau menggayakan fesyen rambut yang ‘unik’ ketika berlangsungnya Piala Dunia 2002 di Korea & Japan.

Fesyen rambut tersebut menjadi kegilaan ramai anak muda di seluruh dunia ketika itu, termasuk juga di Malaysia. Ronaldo berjaya memacu pasukannya menjuarai Piala Dunia pada tahun tersebut selepas menewaskan Jerman 2-0 dalam perlawanan akhir dan imej beliau ketika itu akan terus kekal berada dalam lipatan sejarah.

Ronaldo ‘ori’ mencium trofi yang belum pernah dicium Messi atau CR

Ronaldo merupakan pemain terbaik Brazil dalam kejohanan tersebut dan beliau berjaya menebus kekecewaan 4 tahun terdahulu dimana mereka tumpas di tangan Perancis dalam perlawanan akhir. Dalam edisi Korea & Japan, Ronaldo muncul wira Brazil ketika final menentang Jerman dengan  menjaringkan kedua-dua gol.

Antara perkara yang mencuri tumpuan dunia dalam kejohanan tersebut adalah fesyen rambut Ronaldo. Beliau memilih untuk memperagakan gaya rambut yang agak ‘unik’ dan tidak pernah dibuat orang.

Dalam satu majlis di Melbourne, Australia sempena pengumuman ‘Real Madrid World of Football Experience’, Ronaldo telah mendedahkan sebab beliau menggayakan fesyen rambut tersebut.

“Saya mengalami kecederaan di bahagian kaki dan semua pihak bercakap mengenainya. Saya mengambil keputusan untuk memotong rambut dan meninggalkan secebis rambut di bahagian hadapan kepala.”

Siapa boleh lupa sepakan tonjol Ronaldo untuk menewaskan Oliver Kahn

“Apabila saya turun menjalani latihan, semua pemain dapat melihat gaya rambut saya yang amat buruk. Semua pihak mula bercakap mengenai gaya rambut saya dan melupakan kecederaan saya. Selepas itu, saya dapat menjalani latihan dengan lebih relaks dan tenang.”

“Saya tidak berasa ‘bangga’ dengan fesyen rambut saya ketika itu kerana ia adalah sesuatu yang ganjil dan tidak pernah dibuat orang. Tetapi ia merupakan cara paling bagus untuk mengalihkan tumpuan pihak media.”

Sejak persembahan ‘Man of the Match’ Ronaldo di Yokoham dalam aksi final Piala Dunia 2002, Brazil belum dapat mengulangi pencapaian mereka itu walaupun dibarisi ramai pemain bertaraf dunia setiap kali Piala Dunia berlangsung.

Peluang terbaik mereka hadir 4 tahun lepas apabila mereka menjadi tuan rumah kepada kejohanan bolasepak terbesar dunia itu. Walaubagaimanapun, perjalanan Brazil tersekat di peringkat separuh akhir dimana mereka dimalukan juara dunia, Jerman dengan jaringan 7-1.

Antara pemain yang bakal membawa peranan penting bersama Brazil musim panas nanti

Brazil kini dilatih oleh bekas pengurus Corinthians bernama Tite dan mereka mula menunjukkan peningkatan kebelakangan ini untuk dianggap sebagai antara pasukan pilihan di Russia nanti.

Apabila ditanya mengenai peluang Brazil untuk menjulang trofi Piala Dunia musim panas nanti, Ronaldo berkata  Brazil perlu menempuhi laluan yang sukar tetapi beliau berharap negaranya mampu kembali menjadi juara.

“Terdapat beberapa negara yang sering berada di final seperti Perancis, Sepanyol dan Jerman. Semuanya pasukan yang kuat. Tetapi harapan saya sudah tentu ingin melihat Brazil menjulang trofi tersebut,”

BACA:  Ronaldo Dedah Perbezaan Antara Beliau Dan Messi