Sadio Mane Sumbangkan £500,000 Untuk Bina Hospital Di Senegal

Penyerang Liverpool, Sadio Mane telah menyumbangkan hampir setengah juta pounds untuk membina sebuah hospital di kampung halamannya, Bambali.

Kampung halaman Mane sebelum ini tidak pernah ada kemudahan berkait perubatan seperti Hospital, dan kerana itulah beliau mahu bina dan memudahkan urusan penduduk setempat.

Mane sendiri pernah alami pengalaman ngeri ketika zaman kanak-kanaknya, yang mana ayahnya meninggal dunia kerana tidak sempat dikejarkan ke Hospital, selepas mengadu sakit perut.

Bintang berusia 29 tahun itu sebelum ini pernah mendermakan £250,000 untuk tujuan pembinaan sekolah di desa tercintanya itu.

Kini, beliau memberi sumbangan berganda dengan menyumbang £500,000 untuk tujuan pembinaan hospital.

Beliau telah mengadakan perjumpaan terus dengan Presiden Senegal, Macky Sall untuk menyampaikan sumbangannya.

Mengikut perancangan, Hospital yang mahu dibina itu akan dilengkapi dengan department A&E, rawatan bersalin, kemudahan pergigian dan khidmat nasihat.

Dalam siri dokumentari Mane: Made In Senegal yang diterbitkan sebelum ini, Mane mendedahkan tentang pemergian ayahnya dan bagaimana kisah kehidupan beliau.

“Dia mengadu sakit perut, tapi sebab dekat sana tiada hospital, kami cuba gunakan rawatan tradisional.”

Jelas Mane.

“Mereka bawa dia pergi ke sebuah kampung dan dia meninggal di sana. Waktu itu banyak pemberontak di sana, jadi tak ada jalan untuk bawa dia pulang. Mereka putuskan untuk kebumikan dia di sana saja.”

Melihat kepada tragedi yang pernah menimpa dirinya sendiri, semoga saja usaha Mane menyumbang dana yang besar untuk membina hospital akan beri kemudahan kepada penduduk tempatan.

Mane membesar di sebuah perkampungan petani, beliau sering bermain bola sepak dengan menggunakan batu dan buah limau kerana tak mampu untuk membeli bola.

Beliau sememangnya tinggal di sebuah kawasan kampung yang letaknya jauh dari bandar besar seperti ibu kota Senegal, Dakar.

Mane sendiri mengakui yang cita-cita beliau untuk menjadi pemain bola sepak profesional, dianggap satu hal yang sangat luar biasa.

“Orang-orang semua anggap saya tak normal.”

Jelas Mane pada tahun lalu.

“Ketika saya memberitahu ibu saya, yang saya mahu jadi pemain bola sepak, dia ingat saya sudah gila. Bagi dia ia hanya impian biasa seorang kanak-kanak.”

Mane bahkan pernah melarikan diri dari rumah pada satu ketika dahulu, dalam usahanya untuk mengejar cita-citanya.

Walau bagaimanapun, dengan segala usaha dan kerja keras beliau, Mane kini dianggap sebagai salah seorang pemain terbaik di dunia.

Beliau juga pernah dinobatkan sebagai pemain terbaik Afrika pada tahun 2019, dan turut menjadi watak penting dalam membantu Liverpool menjuarai Champions League, Super Cup, FIFA Club World Cup dan Premier League.

“Saya sukar untuk menggambarkan bagaimana bangga dan betapa bermotivasinya saya ketika saya pulang ke rumah.”

Jelas Mane kepada SPORTbible tahun lalu berkait kemeriahan yang beliau rasai ketika pulang ke kampung.

“Kerana semua mereka ini menunjukkan kasih sayang dan mereka sangat gembira melihat saya berada di tahap ini dalam dunia bola sepak…ia sangat menakjubkan untuk diri saya sendiri.”

Sepertinya dengan sekolah yang telah siap dibina dan hospital yang akan dibuka pada hujung bulan ini, Mane telah membuatkan seluruh penduduk Senegal berbangga dengannya.

Usaha ini akan lebih dikenang dan dihargai berbanding legasinya dalam dunia bola sepak.

BACA:  Menderita Gegar Otak Tidak Halang Mane Jaringkan Gol Yang Sungguh Menakjubkan