Sancho Dijangka Berada Dalam Kesebelasan Utama England Menentang Ukraine

Pengurus England, Encik Gareth Southgate berdepan detik memeningkan kepala menjelang pertemuan suku akhir pasukannya dalam Euro 2020 menentang Ukraine malam ini kerana mempunyai terlalu ramai pemain yang mantap dan padu serta hebat.

Perlawanan tersebut bakal dimainkan di Rom – kali pertama England keluar dari bumi Britain – dan Southgate dijangka melakukan dua pertukaran dalam senarai kesebelasan utamanya berbanding ketika pertemuan menentang Jerman tempoh hari.

Selepas merobohkan Tembok Berlin, England muncul sebagai pasukan pilihan utama untuk menggondol kejuaraan pada tahun ini. Dalam perlawanan tersebut, Southgate memilih untuk pasukannya turun beraksi dengan tiga pertahanan tengah – Kyle Walker, John Stones dan Harry Maguire yang dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan.

Ketiga-tiga pertahanan tengah ini diapit oleh dua bek sayap yang rajin turun naik membantu pertahanan dan serangan, Luke Shaw dan Kieran Trippier.

Tetapi untuk pertemuan dengan Ukraine, Southgate dijangka akan kembali ke formasi 4-3-3 seperti yang digunakannya di peringkat kumpulan dan ini bermaksud, kemungkinan besar Trippier akan kehilangan tempat dalam kesebelasan utama dengan Walker bakal menjadi pilihan untuk mengisi posisi bek sisi kanan.

Pada masa yang sama, Southgate juga boleh menarik nafas lega dengan kembalinyna pemain tengah kreatif dari Chelsea, Mason Mount, yang sebelum ini terpaksa menjalani perintah kuarantin selepas dia menjadi kontak rapat kepada pemain Scotland yang positif covid-19, Billy Gilmour. Dia akan bermain di posisi nombor 10, sebagai perancang utama serangan pasukan di belakang penyerang utama.

Declan Rice dan Kalvin Phillips dijangka tidak mempunyai masalah untuk mengekalkan tempat masing-masing di dalam pasukan, dan begitu juga dengan anak emas Southgate, Raheem Sterling yang akan diturunkan sebagai penyerang kiri pasukan.

Sang kapten, Harry Kane, juga bakal menerajui barisan serangan seperti biasa. Kalau ikutkan, Kane pasti sedang berada dalam mood dan semangat yang membara selepas berjaya membuka akaun golnya dalam kempen Euro tahun ini ketika menentang Jerman. Ketika perlawanan di peringkat kumpulan, Kane dikecam hebat oleh peminat England, barisan pundit dan bekas pemain, kerana gagal menampilkan aksi seperti mana ketika dia menyarung jersi Tottenham Hotspur.

Pemain yang baru sahaja menyertai Manchester United, Jadon Sancho, turut dijangka membarisi kesebelasan utama selepas hanya beraksi selama enam  minit sahaja sepanjang kempen Euro setakat ini – mungkin Southgate memberi ruang kepada pemain ini untuk menyelesaikan urusan perpindahannya.

Tak pun dia ni sebenarnya senjata rahsia. Tak pun sebenarnya dia memang tak power.

Jordan Pickford pula masih diberi kepercayaan untuk menjaga gol England selepas tampil cemerlang dalam perlawanan sebelum-sebelum ini, terutamanya ketika menentang Jerman. Setakat ini, Pickford muncul sebagai satu-satunya penjaga gol yang masih kebal dan belum bolos di Euro 2020.

Seperti biasa, tiada Jack Grealish dalam kesebelasan utama dan pemain perancang Aston Villa ini mungkin akan diturunkan sebagai pemain gantian. Penyerang Everton, Dominic Calvert Lewin juga mungkin akan disisihkan lagi dalam perlawanan menentang Ukraine ini, melainkan kalau pasukan Tiga Singa ini ketinggalan gol menjelang 15 minit terakhir perlawanan.

Kapten Liverpool juga akan berfungsi macam biasa – sebagai pemberi semangat dari tepi padang dan akan dimasukkan di hujung perlawanan.

Tapi tu lah, ini barisan kemungkinan sahaja. Mungkin selepas membaca artikel ini, Southgate akan menukar fikirannya. Mana tahu, kan?

Barisan kemungkinan :

Jordan Pickford
Kyle Walker
John Stones
Harry Maguire
Luke Shaw
Declan Rice
Kalvin Phillips
Mason Mount
Jadon Sancho
Encik Raheem Sterling
Harry Kane (Kapten)

Sumber : Mirror

BACA:  Bjorn Kuipers: Pengadil Perlawanan Akhir Euro 2020 Yang Pernah Cakap F**k You Atas Muka Marco Verratti