Perbezaan Antara United Kingdom, Britain dan England

Awal pagi esok, satu pertembungan klasik peringkat antarabangsa akan berlangsung di mana pasukan kebangsaan England dan Scotland bakal bertemu di peringkat kumpulan, di pentas tertinggi bola sepak Eropah, Kejohanan Eropah edisi 2020.

Jika menyebut tentang England, pasti ramai yang keliru tentang perbezaannya dengan Great Britain, dan apabila menyebut tentang Great Britain, pasti ada yang pening – apa beza Great Britain dengan United Kingdom atau yang selalu kita sebut UK tu?

Bendera Union Jack

Jadi hari ini kita tak akan cerita tentang bola. Kita cerita ilmu Geografi. Korang baca dan fahamkan, kemudian jawab kuiz di hujung artikel.

Sebelum kita pergi dengan lebih dalam, ada baiknya kita berkenalan dengan sejarah England terlebih dahulu.

Pulau yang terletak di barat Eropah ini mula didiami manusia sejak 500,000 tahun yang lalu ketika zaman ais, dan ketika paras air laut sangat rendah, pulau ini bersambung dengan tanah besar Eropah.

Sekitar 1500 dan 500 tahun Sebelum Masehi, puak Celtic telah berhijrah dari Eropah Tengah dan Perancis ke tanah yang dipanggil England pada hari ini dan berasimilasi dengan penduduk yang sedia ada, lantas mewujudkan satu budaya yang sedikit berbeza daripada Celtic asal.

Empayar Roman cuba untuk menjajah pulau ini sekitar tahun 55 SM, namun tidak berjaya sehinggalah menggapai kemenangan pada tahun 43 SM, ketika di bawah pemerintahan Maharaja Claudius.

Puak Roman mengawal sebahagian besar pulau ini dan antara tempat-tempat yang menjadi pusat pentadbiran mereka adalah bandar-bandar yang mempunyai -chester, cester atau -caster pada hari ini. Perkataan ini sebenarnya berasal daripada bahasa latin castrum yang bermaksud kubu.

Contohnya Manchester, Chester, Lancaster, Leicester, Winchester dan Gloucester. Malah sebenarnya kota London mula dibina oleh Roman juga.

Jadi, Manchester sebenarnya bermaksud kubu lelaki? Kan?

Pada abad ke-5, puak Roman secara perlahan lahan mengundurkan diri dari England selepas empayar mereka semakin lama semakin runtuh dan para pejuang diperlukan untuk pulang dan mempertahankan kota Rom.

Dengan ketiadaan puak Roman, suku Celtic mula bergaduh sesama sendiri dan salah seorang daripada ketua puak telah meminta pertolongan daripada suku Jermanik – suku yang berasal dari utara Jerman pada hari ini dan juga selatan Denmark.

Mereka dikenali sebagai suku Angle, Saxon dan Jute, dan tiba di pulau England sekitar abad kelima dan keenam.

Bagaimanapun, rancangan suku Celtic tidak berjalan seperti yang dirancang di mana puak Jermanik ini tidak mahu pulang ke tempat asal selepas tamat pertempuran dan sebaliknya, mereka rasa mereka cukup kuat untuk menjajah negara pulau itu pula.

Hasilnya, mereka berjaya menekan dan menghalau suku Celtic ini sehingga ke bahagian barat daya pulau dan menubuhkan kerajaan masing-masing di Kent oleh suku Jute.

Suku Saxon pula menubuhkan kerajaan di Essex, Sussex dan Wessex, manakala puak Angles menubuhkan kerajaan di Anglia Timur, Mercia dan Northumbria.

Ketujuh-tujuh kerajaan ini memerintah tanah pulau tersebut secara berasingan dari 500 sehinga 850 Selepas Masehi, dan kemudiannya dikenali sebagai heptarki Anglo-Saxon.

Pulau ini kemudiannya diserang oleh suku Viking dari Scandinavia (utara Eropah) dan suku ini berjaya menakluk sebahagian daripada England dan berjaya menubuhkan kerajaan mereka sendiri dengan menggunakan sistem feudal gaya Perancis dan bahasa Perancis dijadikan bahasa rasmi.

Nak dipendekkan cerita, seorang raja dari keturunan Viking ini, Æthelstan, telah menjadi raja pertama yang berjaya menguasai keseluruhan kerajaan England ini pada tahun 925 dan memerintah sehinga tahun 939.

Pada tahun 1284, England secara rasminya bersatu dengan Wales menerusi perjanjian Akta Penyatuan, ketika era pemerintahan Raja Henry ke-8. Pada tahun 1707, juga menerusi Akta Penyatuan, England dan Scotland bersetuju untuk bergabung dan membentuk sebuah negara bernama Great Britain.

Dari kiri atas : Bendera England, Scotland, Wales dan Ireland Utara

Kemudian pada tahun 1801, sekali lagi Akta Penyatuan memainkan peranan apabila Great Britain bersetuju untuk bergabung dengan Ireland lalu membentuk United Kingdon of Great Britain and Ireland.

Penyatuan ini berakhir pada tahun 1922 apabila sebahagian daripada Ireland mengisytiharkan kemerdekaan daripada Britain dan menubuhkan Republik Ireland. Walaubagaimanapun, bahagian utara pulau Ireland ini masih lagi kekal di bawah jajahan takluk Britain, dan nama negara ini diubah kepada United Kingdom of Great Britain and Northern Ireland – Kerajaan Bersatu antara Britain Utama dan Ireland Utara.

Jadi, itulah dia perbezaan antara United Kingdom, Great Britain dan juga England.

Sebagai kesimpulannya, England adalah sebuah negeri dalam kesatuan Great Britain, dan apabila Great Britain digabungkan dengan Ireland Utara, maka ia akan menjadi United Kingdom.

Pusat pemerintahan United Kingdom ini adalah di London, yang juga merupakan ibu negara England. Manakala ibu negara bagi Scotland pula ada Edinburgh, Belfast bagi Ireland Utara dan Cardiff bagi Wales.

Ketua negara United Kingdom adalah Ratu Elizabeth II, manakala pentadbiran kerajaan diketuai oleh perdana menteri, dan sekarang ini jawatan tersebut dipegang oleh Boris Johnson.

Kalau tertanya kenapa tiada pasukan bola sepak Great Britain dalam Euro, boleh baca di sini Kenapa Tiada Pasukan Great Britain.

Rujukan :

Eupedia 
BL
Wikipedia

BACA:  Kapal Terbang Lalu Di Kem Latihan England Bawa Nasihat Taktikal vs Croatia