Sancho Merupakan Penerima Gaji Kedua Tertinggi Dalam Skuad Manchester United Ketika Ini

Senarai gaji para pemain Manchester United telah didedahkan dengan Jadon Sancho dilaporkan bakal menjadi penerima gaji kedua tertinggi dalam kelab.

Setan merah telah bersetuju untuk menawarkan gaji bernilai £350,000 seminggu kepada Jadon Sancho selepas kejayaan mereka menandatangani bintang Borussia Dortmund itu.

Kadar gaji yang ditawarkan oleh pihak kelab itu meletakkan Sancho dibelakang De Gea sebagai penerima gaji tertinggi dalam skuad Manchester United dengan penjaga gol Sepanyol itu ketika ini menerima bayaran bernilai £375,000 seminggu.

Paul Pogba pula menerima £290,000 seminggu mengikut kontrak asalnya sementara Anthony Martial dan Edinson Cavani pula kedua-dua mereka menerima £250,000 seminggu.

Marcus Rashford, Harry Maguire dan Bruno Fernandes pula menerima pendapatan bernilai £200,000 seminggu, £190,000 seminggu dan £180,000 seminggu.

Luke Shaw menerima pendapatan bernilai £150,000 seminggu dan Fred pula menerima £120,000 seminggu menjadikan kesemua mereka 10 penerima gaji tertinggi dalam skuad.

Berikut merupakan senarai 10 pemain Manchester United yang menerima kadar gaji tertinggi dari kalangan semua pemain di Old Trafford.

10. Fred – (£120k)

Bintang Brazil ini ditandatangani pada musim panas 2018 dari Shakhtar Donetsk dengan nilai €59 juta.

Beliau telah memberikan impak yang positif di bahagian jentera tengah United dan turut menjadi salah seorang pemain terpenting Manchester United ketika ini.

Tidak hairan seandainya beliau akan ditawarkan kontrak baru dengan gaji yang lebih lumayan memandangkan kepada sumbangannya kepada kelab.

9. Luke Shaw (£150k)

Pemain kebangsaan England ini telah menunjukkan tahap persembahan yang sungguh menakjubkan sepanjang musim lalu.

Sejak United menandatangani Alex Telles, Shaw telah menunjukkan peningkatan aksi yang sangat mendadak dan menjadi salah seorang pemain terpenting United di bawah kendalian Ole Gunnar Solskjaer.

Beliau tentunya akan menerima tawaran lanjutan kontrak dari kelab dan sudah pasti akan ada tawaran kenaikkan gaji yang cukup lumayan menantinya.

8. Bruno Fernandes (£180k)

Bruno Fernandes bolehlah dianggap sebagai wira sebenar Manchester United di era selepas zaman pemerintahan Sir Alex Ferguson.

Beliau telah memberikan impak yang sungguh luar biasa menakjubkan, Fernandes berjaya membawa United dari pasukan badut yang menghibur kepada lawan yang menggerunkan.

Beliau sebelum ini sudah ditawarkan kontrak yang baru dengan kenaikkan gaji yang sungguh lumayan, namun bintang Portugal itu masih belum bersetuju untuk menerima tawaran tersebut.

7. Harry Maguire (£190k)

Pemain pertahanan England ini sering dikritik oleh para peminat kerana merasakan beliau tidak bermain di tahap yang terbaiknya.

Namun hakikat yang pasti, United jelas terumbang ambing tanpa kelibat beliau di posisi centre-back dan Maguire sememangnya pemain terpenting dalam mengawal barisan pertahanan kelab.

Selepas pihak kelab melantik beliau sebagai ketua pasukan, Maguire jelas akan ada masa depan yang panjang di Old Trafford dan beliau tentunya akan menerima tawaran baru dari pihak setan merah selepas ini.

6. Marcus Rashford (£200k)

Ebit Lew UK ini merupakan produk akademi Manchester United dan beliau merupakan penyerang masa depan yang sangat disayangi oleh peminat setan merah.

Musim ini Rashford tidak berada di tahap persembahan terbaiknya, namun peminat tahu dan sedar akan kemampuan sebenar bintang berusia 23 tahun itu.

Sama seperti pemain lain, Rashford juga berkemungkinan dan tidak keterlaluan untuk katakan yang beliau sudah tentu akan ditawarkan kontrak baru yang lebih lumayan dan menguntungkan dari pihak kelab.

4. Edinson Cavani (£250k)

Pemain veteran ini wajar untuk menerima pulangan yang lumayan memandangkan kepada pengalaman dan kemampuan yang beliau miliki.

Selain menyumbang sesuatu di atas padang, Cavani turut tidak sombong dalam membantu pemain muda untuk terus berkembang dan beliau sering memberi tunjuk ajar kepada pemain muda yang ada dalam skuad setan merah.

Sukar untuk melihat tambahan pada gajinya, memandangkan Cavani hanya menandatangani perjanjian selama setahun sahaja setiap kali ditawarkan kontrak baru.

Cavani mungkin akan lepaskan nombor tujuh kepada Sancho

4. Anthony Martial (£250k)

Anthony Martial merupakan pemain yang sering dikritik atas persembahan buruknya sepanjang musim ini, dengan beliau sering melakukan kesilapan dan tidak berada di tahap prestasinya yang terbaik sepanjang musim lalu.

Beliau juga kerap diketepikan kerana sering dibelenggu masalah kecederaan dan ada kala beliau diketepikan kerana Ole tidak memerlukan khidmatnya dalam perlawanan-perlawanan tertentu.

3. Paul Pogba (£290k)

Bintang Perancis ini telah menggegarkan dunia bola sepak dengan aksi super menakjubkan beliau bersama skuad kebangsaannya, namun beliau gagal untuk mempamerkan rentak persembahan yang sama seperti itu ketika menyarung jersi Manchester United.

Kontrak Pogba bersama setan merah akan berakhir pada musim panas tahun hadapan, dengan pihak kelab ketika ini sedang dalam usaha mereka untuk menawarkan lanjutan kontrak pada pemain midfield itu.

Setan merah bersedia untuk menaikkan gajinya berlipat ganda dan mahu menjadikan Pogba sebagai penerima gaji tertinggi dalam sejarah saingan premier league.

2. Jadon Sancho (£350k)

Sancho merupakan pemain yang baru sahaja ditandatangani oleh Manchester United (akan diumumkan secara rasmi selepas berakhirnya saingan Euro 2020).

Beliau adalah pemain yang paling dikehendaki oleh Ole Gunnar Solskjaer dengan setan merah telah cuba untuk mendapatkan khidmatnya sejak dari musim panas sebelum ini lagi.

Tidak mengejutkan untuk melihat Sancho ditawarkan gaji yang hegitu lumayan memandangkan kepada usianya yang masih muda serta kemampuan yang beliau miliki.

Peminat hanya berharap supaya Jadon Sancho tidak mengikut jejak langkah pemain seperti Sanchez yang ditawarkan gaji yang tinggi namun tidak bermain di tahap persembahan terbaiknya.

1. David De Gea (£375k)

Masa depan penjaga gol lama Manchester United ini agak samar-samar ketika ini dengan pihak kelab ada ura-ura mahu melepaskannya pada musim panas ini.

Manchester United mempunyai penjaga gol yang berkemampuan untuk menggantikan tempat De Gea dibangku simpanan mereka, Dean Henderson namun pengalaman bintang Sepanyol itu juga ditagih oleh pihak kelab.

Jika De Gea masih kekal bersama United musim panas ini, maka beliau akan kekal dianggap sebagai pemain paling bernilai skuad.

Beliau telah banyak membantu menyelamatkan gawang setan merah dan sememangnya tidak mengejutkan sama sekali untuk melihat beliau menerima gaji yang begitu tinggi.

Sumber: Transfermarkt

Fabrizio Romano

BACA:  Tottenham Hotspur Dedah Enam Pemain Yang Bakal Dilepaskan Musim Panas Ini