“Saya ‘Bunuh’ Kamu”- Gurauan Salah Dan Jones Mencuri Perhatian Peminat

Mo Salah dan Curtis Jones sempat bergurau mesra selepas mereka tamat menjalani sesi latihan bersama skuad Liverpool di Austria baru-baru ini.

Gurauan mereka itu telah mencuri perhatian peminat yang terhibur dengan kata-kata yang keluar dari mulut kedua-dua mereka itu.

Kedua-dua pemain itu bergurau tentang dedikasi mereka terhadap kelab, dengan Jones terlebih dahulu menyakat Mo Salah dengan menganggap bintang Mesir itu malas berlari.

Mo Salah kemudiannya membalas dengan menyatakan yang beliau sudah ‘membunuh’ pemain muda itu ketika sesi latihan tersebut.

“Mo, mari sini! Rakam Mo.”

Jelas Jones sambil menyuruh kameramen merakam Mohamed Salah.

Mo Salah kemudiannya menjawab:

“Saya dah ‘bunuh’ dia, saya ‘bunuh’ dia hari ini.”

“Ya kamu berjaya, tapi kemudian dalam perlawanan saya lebih banyak berlari dari dia, ia langsung tak masuk akal.”

Jelas pemain kebangsaan England itu.

“Saya berlari di atas lebih banyak berbanding sesiapa sahaja.”

Jawab Mo Salah lagi.

“Ya, tapi itu langsung tak masuk akal, jika kamu boleh berlari seperti itu di sekitar sini.”

Soal Jones tanda tak mahu menyerah.

“Untuk jaringkan gol kawan, itulah cara bagaimana kamu jaringkan gol!”

Jawab Salah lalu beliau ketawa besar.

Kedua-dua mereka pada ketika ini sedang bersama skuad Liverpool untuk aksi pra musim mereka di Austria dengan mereka selepas ini akan turun beraksi bertemu RB Salzburg.

Skuad kendalian Jurgen Klopp itu melalui aksi pra musim mereka dengan agak baik selepas mencatatkan satu kekalahan dan dua kemenangan.

Liverpool mencatatkan kekalahan 4-0 bertemu Manchester United dan ia merupakan satu hal yang sukar untuk diterima oleh para penyokong The Reds.

Liverpool kemudiannya berjaya mencatatkan kemenangan 2-0 menewaskan Crystal Palace dan ia permulaan yang baik untuk skuad kendalian Jurgen Klopp itu.

Mereka kemudiannya mencatatkan kemenangan besar 5-0 menewaskan RB Leipzig dan kemenangan itu membangkitkan semula keyakinan para peminat terhadap skuad Liverpool.

Walau bagaimanapun, Jurgen Klopp merasakan yang skuadnya masih tidak berada di tahap seperti yang beliau harapkan dan beliau bakal berusaha untuk mengubah hal tersebut.

“Kami bahkan langsung tak mencapai tahap yang kami mahukan, terutama dari segi fizikal. Kami perlu capai tahap itu.”

Liverpool pada musim panas ini berjaya melengkapkan pembelian Darwin Nunez dari Benfica, Fabio Carvalho dari Fulham dan Calvin Ramsay dari Aberdeen.

Nunez dan Carvalho sudah membuat penampilan mereka bersama skuad Liverpool pada aksi pra musim mereka, namun Ramsay masih belum diturunkan kerana beliau dibelenggu masalah kecederaan.

Nunez pada awalnya dihentam kerana gagal untuk mencapai tahap prestasi yang diharapkan dan ramai peminat yang percaya beliau bakal menjadi pemain yang gagal di Anfield.

Bahkan segelintir peminat turut menganggap yang beliau sebenarnya jelmaan semula Andy Carroll dan para penyokong Liverpool juga bimbang beliau akan benar-benar gagal di Anfield.

Nunez walau bagaimanapun berjaya menutup mulut pengkritiknya selepas kejayaan beliau meledak empat gol ketika membantu Liverpool menewaskan RB Leipzig 5-0.

Selepas melihat ketajaman beliau dalam perlawanan tersebut, ramai peminat yang kembali menaruh kepercayaan kepada beliau dan yakin beliau akan mampu membantu kelab untuk memenangi pelbagai kejuaraan.

Para peminat bahkan sudah tidak sabar mahu melihat aksi beliau bersama Liverpool selepas ini dan ramai yang percaya beliau bakal menjadi antara penjaring terbanyak Premier League musim hadapan.

Fabio Carvalho juga turut berjaya mempamerkan aksi persembahan yang menakjubkan dan ramai peminat berpuas hati melihat apa yang beliau persembahkan.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Klopp Anggap Liverpool Masih Berada Dalam Fasa Awal Pembangunan