Reaksi Menghiburkan Mane Ketika Peminat Cilik Liverpool Mengaku Abangnya Menyokong Man Utd

Penyokong Manchester United mungkin susah untuk terima kenyataan ini, yang seteru utama mereka, Liverpool kini sedang jauh mengatasi mereka dari segala segi, berbeza berbanding era United di bawah kendalian Sir Alex Ferguson dahulu.

Perbezaan kedua-dua pasukan dalam saingan liga sudah cukup untuk membuktikan perbezaan darjat antara kedua-dua pasukan ini.

Pada ketika ini, Liverpool sedang 14 mata mengatasi setan merah di bawah mereka, dengan satu pasukan sedang berebut kejuaraan liga, sementara satu lagi pasukan sedang bergelut untuk masuk ke kelompok empat teratas.

Namun satu hal yang pasti, tarikh 24 Oktober bakal menjadi detik paling menggembirakan untuk penyokong Liverpool dan ia juga bukti perbezaan antara kedua-dua pasukan tersebut.

Pada ketika itu, Liverpool berjaya membelasah Manchester United tanpa belas dengan anak-anak buah Jurgen Klopp membedal setan merah 5-0 di Old Trafford.

Manchester United pada ketika itu masih di bawah kendalian Ole Gunnar Solskjaer dengan kini pengurus dari Norway itu sudah tidak lagi menjadi pengurus di Old Trafford.

Selepas era Ole Gunnar Solskjaer, Manchester United telah melantik Michael Carrick sebagai pengurus sementara, dan kini mereka telah diuruskan oleh pengurus interim, Ralf Rangnick.

Satu hal yang pasti, mereka pada ketika ini merupakan sebuah pasukan yang berbeza dan turut berjaya mempamerkan aksi persembahan yang lebih meyakinkan.

Insiden 5-0 di Old Trafford itu bakal kekal menjadi modal untuk penyokong Liverpool mengejek Manchester United, dan ia mungkin akan berterusan untuk jangka masa yang panjang.

Bukan hanya para penyokong sahaja yang obses dengan kemenangan 5-0 itu, bahkan para pemain Liverpool sendiri turut menggunakan modal yang sama untuk mengejek Man Utd.

Telah tular baru-baru ini sebuah video yang memperlihatkan bagaimana para pemain Liverpool melayan peminat (secara online) yang sedang menerima rawatan di Alder Hey Children Hospital menjelang Krismas ini.

Video penuh program tersebut sememangnya sangat menarik untuk ditonton, namun ada satu babak yang lebih menarik untuk dibincangkan di sini.

Mohamed Salah dan Sadio Mane bercakap dengan seorang peminat cilik dan bertanya kepadanya adakah beliau penyokong Liverpool atau bukan.

“Ya”

Jawab penyokong cilik itu.

“Tapi abang saya penyokong Manchester United.”

Sambung beliau lagi.

Mane sebaik mendengar yang abang kepada penyokong tersebut merupakan penyokong Manchester United, beliau segera tepuk dahi sambil menyatakan:

“Ooooohh pasukan yang salah.”

“Lihat aksi terakhir kami bertemu mereka?”

“Yeah, 5-0.”

Jawab peminat cilik itu semula sambil tersenyum.

Reaksi Mane jelas sekali menghibur para penyokong Liverpool yang lain, dan ia mengukuhkan lagi perseteruan antara kedua-dua pasukan ini.

Manchester United kini berbeza berbanding era Ole Gunnar Solskjaer

Para penyokong setan merah jelas sekali tidak sabar untuk sekali lagi berdepan dengan Liverpool dalam saingan Premier League musim ini.

Kedua-dua pasukan akan sekali lagi bertemu di Anfield tahun hadapan, dan ia bakal menjadi satu perlawanan yang sangat menarik untuk disaksikan.

Hal ini kerana United di bawah kendalian Ralf Rangnick mereka bermain corak permainan yang hampir sama dengan corak permainan Liverpool di bawah kendalian Jurgen Klopp (bukan meniru).

Ralf Rangnick merupakan antara pengurus terawal yang menggunakan falsafah dan philosophy permainan pantas seperti Gegenpressing yang digunakan oleh Klopp pada ketika ini.

Minggu pertama beliau di Old Trafford, Rangnick sudah berjaya menerapkan budaya bola sepak beliau, dengan beliau juga masih belum mencatatkan sebarang kekalahan.

Agak menarik untuk melihat perang taktikal antara Klopp dan Rangnick selepas ini, dengan kedua-dua pasukan memiliki barisan pemain terhebat di dunia untuk merealisasikan perancangan pengurus masing-masing.

Sumber: GMS

BACA:  Menteri Sukan Mesir Sahkan Mo Salah Akan Kekal Di Anfield