Menteri Sukan Mesir Sahkan Mo Salah Akan Kekal Di Anfield

Mohamed Salah sepertinya sudah hampir pasti bakal menandatangani kontrak baru bersama Liverpool dan hal itu telah disahkan sendiri oleh Menteri Sukan Mesir, Ashraf Sobhi.

Kontrak Salah bersama Liverpool akan tamat pada 2023 nanti dan beliau masih belum menandatangani kontrak baru bersama kelab.

Rundingan antara kedua-dua belah pihak masih belum menemui kata sepakat dek kerana pihak kelab tidak sanggup menerima permintaan gaji yang terlalu tinggi dari Mo Salah.

Tawaran pertama dari Liverpool adalah bernilai £350,000 seminggu, namun Mohamed Salah menolak tawaran tersebut kerana merasakan beliau layak menerima gaji yang lebih tinggi.

Melihat persembahan mantap dan memikirkan tentang sumbangan beliau, pihak kelab kemudiannya menawarkan kontrak baru bernilai £400,000 seminggu kepada bintang Mesir itu.

Salah sekali lagi menolak tawaran dari Liverpool dan kali ini beliau mendedahkan kepada kelab yang beliau mahu meminta gaji bernilai £500,000 seminggu.

Jelas sekali beliau mahu menuntut gaji yang sama seperti Cristiano Ronaldo, seterusnya menjadi penerima gaji tertinggi dalam saingan Premier League.

Demi menjaga struktur pembayaran gaji dan keharmonian di bilik persalinan, pihak kelab tidak berani untuk menerima permintaan £500,000 seminggu dari Mo Salah itu.

Salah kemudian menekan pihak kelab dengan mengeluarkan kenyataan yang beliau menyerahkan segalanya berkait masa depannya kepada pimpinan kelab.

Beliau ketika itu tampil mendedahkan yang beliau mahu kekal di Anfield sehingga akhir kariernya, namun keputusan di tangan Liverpool sendiri.

Para penyokong kemudian menggesa pimpinan kelab supaya memenuhi sahaja permintaan Mo Salah kerana beliau layak untuk menerima gaji yang tinggi.

Pihak kelab kemudiannya berhenti seketika membincangkan hal kontrak dan sepertinya mereka sudah akur bakal kehilangan Mo Salah.

Terbaru, menurut sumber laporan dari The Mirror, Mohamed Salah telah bersetuju untuk tandatangani kontrak baru bersama Liverpool dan akan kekal di Anfield hingga akhir kariernya.

Tidak pasti berapa nilai yang beliau terima, namun Salah dikatakan meminta kontrak lebih panjang berbanding sebelum ini.

Beliau dikatakan menerima gaji yang lebih rendah dari apa yang beliau harapkan sebelum ini, namun sebagai ganti beliau mahu tambahan satu tahun dari perjanjian asal.

Ini bermaksud Mohamed Salah akan menandatangani kontrak selama empat tahun dan berkemungkinan beliau akan kekal bersama kelab sehingga akhir kariernya.

Win-win situation untuk kedua-dua pihak, Liverpool tak perlu ikut kadar gaji seperti yang diminta oleh Salah, namun cukup sekadar beri kontrak lebih panjang kepada bintang Mesir itu.

Menteri Sukan Mesir sahkan Salah akan kekal di Anfield

Menteri Sukan Mesir, Ashraf Sobhi mendedahkan yang beliau telah menasihati Salah supaya meninggalkan Liverpool selepas aksi kekalahan mereka bertemu Senegal baru-baru ini.

Salah walau bagaimanapun menolak permintaan dari Menteri Sukan negaranya itu dengan beliau memilih untuk kekal di Anfield.

“Saya bertemu Mohamed Salah di lapangan terbang selepas tamat perlawanan bertemu Senegal dan kegagalan untuk layak ke Piala Dunia, saya beritahu dia supaya lupakan apa berlaku dan beri tumpuan kepada masa depan.”

Jelas Sobhi kepada media Mesir.

“Saya nasihatkan dia supaya teruskan perjalanan dia bersama kelab lain selain Liverpool, tapi matlamat dia sekarang adalah mahu tandatangani kontrak baru bersama Liverpool.”

“Ada gerakan yang mahu menentang Salah dan mahu jatuhkan dia, tapi saya minta dia untuk abaikan hal itu.”

Ketika ditanya tentang bagaimana rundingan kontrak Salah pada ketika ini, pengurus Liverpool Jurgen Klopp mendedahkan bahawa:

“Saya gembira tentang itu kerana tak ada benda baru yang boleh saya katakan. Itu sudah cukup bagus.”

“Sangat bagus, wakil kedua-dua belah pihak sedang berunding dan itu sahaja yang saya perlukan.”

Liverpool pada awal pagi esok akan turun beraksi bertemu Benfica dalam saingan Champions League di halaman lawan.

Skuad kendalian Jurgen Klopp itu bakal turun bertemu Manchester City di Etihad pada hujung minggu nanti untuk aksi dalam saingan Premier League.

Seandainya mereka berjaya menewaskan anak-anak buah Pep Guardiola itu, maka Liverpool bakal berada di kedudukan pertama liga dan sangat berpotensi untuk menjulang gelaran Premier League musim ini.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Rush: Hanya Ronaldo & Messi Di Atas Salah