Rush: Hanya Ronaldo & Messi Di Atas Salah

Legenda dan juga ikon Liverpool, Ian Rush berkata hanya Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo sahaja berada di atas Mohamed Salah dalam senarai pemain terbaik dunia ketika ini.

Rush merupakan pemegang rekod pemain paling banyak menjaringkan gol untuk Liverpool dalam satu musim. Akan tetapi, rekod yang diciptanya pada musim 1983-84 itu kini terancam dengan Salah sudah pon berjaya menjaringkan 36 gol dalam semua pertandingan.

Salah semakin mengganas

Salah menyertai Liverpool daripada AS Roma dengan yuran perpindahan berjumlah £36.9 juta dan ia merupakan satu pembelian yang sangat berbaloi selepas melihat aksi pemain tersebut setakat ini.

Salah hanya memerlukan 11 gol sahaja lagi untuk menyamai rekod legenda Wales itu dengan perlawanan Liga Perdana Inggeris masih lagi berbaki 9 perlawanan. Mereka juga masih bersaing dalam Liga Juara-Juara dan bakal bertemu Manchester City minggu hadapan di stadium Anfield.

Prestasi menakjubkan yang dipamerkan pemain antarabangsa Egypt itu dalam musim pertamanya bersama Liverpool telah menarik perhatian ramai pihak dan Salah dilaporkan menjadi calon pilihan untuk memenangi anugerah Pemain Terbaik Tahunan PFA yang bakal diumumkan tidak lama lagi.

Hehe. Nak panggil Salah masuk Barca ke Real Madrid ?

Bekas pemain Chelsea ini juga sering dibandingkan dengan dua pemain terbaik dunia ketika ini, Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo disebabkan keupayaan Salah menjaringkan gol dengan konsisten.

Ketika bercakap kepada Skysports, Rush berkata Salah setanding dengan beberapa penyerang hebat Liverpool dalam era Liga Perdana Inggeris seperti Luis Suarez dan Fernando Torres.

“Anda boleh melihat Luis Suarez dan Fernando Torres. Salah setanding dengan mana-mana penyerang Liverpool pernah bawa masuk dalam era Liga Perdana Inggeris.”

“Beliau merupakan pemain yang sangat menakjubkan tetapi apa yang menariknya dengan Salah ini adalah beliau seorang pemain yang merendah diri.”

“Aksi beliau ketika perlawanan menentang Watford tempoh hari merupakan persembahan terbaik yang saya pernah lihat daripada Salah. Tiada siapa mampu menggugat beliau. Bukan hanya disebabkan 4 gol yang dijaringkannya tetapi kerana beliau tidak tamak dan cuba mencipta gol untuk rakan sepasukannya.”

“Hanya ada dua pemain sahaja yang saya pernah lihat beraksi pada tahap Salah, dan pemain tersebut adalah Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo.”

Antara legenda Liverpool yang sempat merasai apa itu nikmat memenangi liga

Walaupun Salah adalah bintang yang paling bersinar di Liverpool musim ini, beliau sebenarnya banyak mendapat bantuan daripada rakan sepasukannya yang lain.

Salah membentuk gandingan trio hadapan maut bersama-sama Sadio Mane dan Roberto Firmino. Ketiga-tiga pemain ini berjaya menyumbang 73 gol setakat ini dengan Jurgen Klopp menggelar trio ini sebagai ‘Fabulous 3’.

Rush turut memuji impak yang dihasilkan Firmino untuk The Reds musim ini dan mendakwa keunikan yang ada pada Firmino telah banyak membantu bahagian serangan Liverpool.

“Semua orang bercakap mengenai Mohamed Salah dan tahu kehebatan beliau. Tetapi jika anda mencari pemain yang Liverpool bergantung harap selain Salah, pemain tersebut adalah Bobby Firmino.”

BACA:  AFCON Bakal Jejas Peluang Salah Untuk Pecahkan Rekod Legenda Man Utd