Scammer Mula Tawarkan Pakej Makan Malam Dan Selfie Bersama Messi Bernilai RM193,946

Makan malam, diikuti aktiviti bersantai sambil minum dan selfie bersama Lionel Messi kedengaran seperti impian setiap peminat bola sepak.

Namun demikian pihak polis China mengingatkan tawaran sedemikian hanyalah penipuan yang ditawarkan oleh scammer di Beijing.

Kehadiran bintang bola sepak Argentina itu di China adalah untuk menyertai perlawanan persahabatan di antara negaranya menentang Australia dan ianya telah mencetuskan Messi mania di Beijing.

Pihak polis kemudiannya turut mengesan ada pihak tidak bertanggungjawab cuba mengaut keuntungan dengan menipu apabila menawarkan pakej dengan bayaran 300,000 yuan (RM193,946 atau US$42,000) makan malam dan bersantai bersama bekas pemain Barcelona dan PSG itu.

Melalui akaun media sosial Weibo yang terkenal di negara itu, pihak berkuasa China memberikan peringatan secara sinikal terhadap kemungkinan adanya mangsa penipuan tersebut.

“Jika anda ditipu 3000,000 yuan (RM193,946) untuk itu, kami mengangkat gelas minuman tanda salut kepada kamu,” tulis mesej tersebut.

Meluangkan malam bersama Messi secara santai bukan satu-satunya tawaran yang kelihatan janggal dan memusykilkan yang mulai tular di China.

Satu muat naik secara online turut menawarkan pass peribadi istimewa bernilai 5,000 yuan (RM3,233) yang disertakan dengan pakej-pakej VIP lain selain peluang mendapatkan jersi dengan tandatangan Messi, tempat duduk barisan hadapan dan foto bersama Messi yang boleh didapatkan dengan bayaran 8.000 yuan (RM5,171).

Tawaran lain juga menuntut mangsa membayar 50 juta yian (RM32.33 juta) untuk Messi melakukan penampilan khas secara siaran langsung untuk mereka yang menjual produk secara online.

Messi tiba di Beijing pada Sabtu lalu dan akan memimpin juara dunia itu menentang Socceroos di Stadium Pekerja baharu yang baru siap dinaiktaraf.

Perlawanan tersebut dilihat sebagai ulangan kepada pertemuan kedua-dua pasukan di pusingan kalah mati Piala Dunia yang lalu dimana Argentina merekodkan kemenangan 2-1 sebelum terus mara untuk menjulang trofi.

Peminat Messi di China dikatakan terdesak untuk berada dekat dengan kelibat Messi dengan tiket perlawanan bermula dari harga 580 yuan (RM375) sehingga 4,800 yuan (RM3,104) habis dijual sekelip mata.

Ulat tiket turut mengambil kesempatan menjual kembali tiket perlawanan yang diperolehi di media sosial Taobao pada harga 18,000 yuan (RM11,639) walaupun pelbagai langkah keselamatan telah diambil oleh penganjur termasuk memperkenalkan ID khas untuk setiap tiket dibeli.

Ribuan penyokong menunggu di luar hotel penginapan Argentina di tengah Beijing pada Sabtu lalu, dan seorang penyokong dilaporkan AFP telah menempah sebuah bilik di hotel yang sama hanya untuk peluang terserempak dengan Messi.

BACA:  Peminat Bakal Menyaksikan Ronaldo Dan Messi Beraksi Bersama Dalam Satu Pasukan