Sejarah dan Rekod Baharu Gol Sendiri Dalam Euro

Kejohanan Eropah atau Euro 2020 baru sahaja menamatkan pusingan kedua perlawanan peringkat kumpulan, selepas perlawanan antara pasukan Sepanyol menentang Poland semalam.

Setakat 24 perlawanan yang telah dilangsungkan, sebanyak 47 gol telah dijaringkan, dengan Itali muncul pasukan yang paling banyak menjaringkan gol setakat ini dengan 6 gol, selepas unggul menewaskan Turki dan Switzerland tiga jaringan tanpa balas untuk kedua-dua perlawanan.

Rekod jaringan terbanyak dalam satu perlawanan setakat ini adalah ketika Jerman menewaskan juara bertahan, Portugal 4-2 dalam perlawanan kumpulan F di Stadium Allianz Arena.

Jerman yang kelihatan sendu ketika perlawanan pertama menentang Perancis tempoh hari, bermain seperti kerasukan ketika menentang Portugal di mana mereka berjaya menguasai perlawanan sejak dari sepak mula.

Menariknya, perlawanan semalam telah memecahkan satu rekod dalam Kejohanan Eropah sejak piala ini mula dipertandingkan pada 1958 – gol sendiri paling banyak.

Rekod Gol Sendiri Dalam Kejohanan Lalu

Walaupun Euro mula diperkenalkan pada tahun 1958, gol sendiri pertama hanya hadir pada edisi tahun 1976 yang dianjurkan di Yugoslavia. Anton Ondrus, pemain Czechoslovakia muncul pemain pertama mencipta rekod yang tidak dinginkan ini apabila dia telah tertolak bola ke gawang sendiri pada minit ke-73, ketika pasukannya menentang Belanda, di peringkat separuh akhir.

Gol malang tersebut menjadikan kedudukan semasa kepada 1-1. Walaubagaimanapun, pasukan Czechoslovakia berjaya mara ke perlawanan akhir selepas mereka berjaya menambah dua jaringan, sekaligus layak ke perlawanan akhir menentang pasukan Jerman Barat.

Czechoslovakia muncul juara menerusi penentuan sepakan penalti 5-3, selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 selepas masa tambahan.

Selepas rekod dicipta Ondrus, ramai pemain yang cuba menjaringkan gol sendiri, namun tidak berjaya.

Gol sendiri kedua dalam temasya bola sepak terulung di benua Eropah ini hanya hadir pada tahun 1996 ketika kejohanan dianjurkan di England. Pemain Bulgaria, Lyuboslav Penev, telah menewaskan penjaga golnya sendiri pada minit ke-63 ketika menentang Perancis dalam perlawanan peringkat kumpulan, sekaligus menjadikan kedudukan selesa kepada Perancis dengan dua gol tanpa balas.

Empat tahun kemudian, dalam kejohanan di Belgium dan Belanda, giliran pemain Yugoslavia, Dejan Govendarica, pula mencatat nama sebagai penjaring gol sendiri dan yang ketiga dalam sejarah kejohanan.

Gol tersebut terhasil pada minit ke-51, ketika pasukannya menentang Belanda dalam pusingan suku akhir. Yugoslavia gagal mara ke pusingan berikutnya selepas dibelasah teruk pasukan Belanda enam gol berbalas satu.

Pada tahun 2004, kejohanan di Portugal menyaksikan buat kali pertama dalam sejarah Euro lebih daripada satu gol sendiri yang terhasil.

Gol sendiri pertama dicipta oleh pemain Croatia, Igor Tudor, pada minit ke-22 sekaligus menjadi gol pertama perlawanan, ketika pasukannya menentang Perancis di peringkat kumpulan. Perlawan tersebut berakhir dengan kedua-dua pasukan berkongsi mata selepas terikat 2-2.

Jorge Andrade dari Portugal muncul pemain kedua yang menjaringkan gol sendiri dalam kejohanan yang sama apabila dia dengan baik hati menyedekahkan gol kepada pasukan Belanda pada minit ke-63, ketika pasukannya selesa mendahului 2-0.

Portugal mara ke perlawanan akhir di tanah air sendiri sebelum dikejutkan oleh juara yang tak tersangka, Greece 0-1.

Dalam edisi Euro 2008 yang dianjurkan oleh Austria dan Switzerland, tiada pemain yang sudi untuk sedekahkan gol kepada pasukan lawan, manakala dalam edisi 2012 pula, pemain England, Glen Johnson muncul sebagai satu-satunya pemain yang menjaringkan gol sendiri, ketika mereka menewaskan Sweden 3-2 dalam perlawanan di peringkat kumpulan.

Empat tahun kemudian, rekod baharu gol sendiri tercipta dalam kejohanan di Perancis. Untuk rekod, kejohanan di Perancis ini adalah kejohanan pertama yang menampilkan 24 pasukan bertanding, berbanding 16 pasukan sebelumnya.

Jadi, tak peliklah kan kenapa rekod baru boleh terhasil.

Pada tahun tersebut, gol sendiri yang pertama dihasilkan oleh pemain Republik Ireland, Ciaran Clark, di mana dia membantu Sweden menyamakan kedudukan kepada 1-1 dalam perlawanan di peringkat kumpulan.

Dalam perlawanan menentang Hungary, pemain Iceland, Birkir Mar Saevarsson membuatkan pasukannya terpaksa berkongsi mata selepas menjaringkan gol sendiri pada minit ke-88, ketika Iceland mendahului 1-0.

Ketika Wales menentang Ireland Utara dalam perlawanan antara dua pasukan Home Nations, Gareth McAuley tertolak bola ke gawang sendiri pada minit ke-75, sekaligus memberikan kemenangan kepada pasukan yang diketuai oleh Gareth Bale ketika dalam perlawanan peringkat suku akhir. Agak perit pengalaman McAuley di situ.

Pada tahun 2021, kesemua pasukan baru sahaja bermain dua perlawanan, tetapi sudah empat gol sendiri yang terhasil.

Merih Demiral menjadi pemain pertama dalam sejarah Euro menjaringkan gol pertama kejohanan melalui gol sendiri ketika Turki dibelasah Itali 3-0.

Tidak mahu ketinggalan, penjaga gol Poland Wojciech Szczesny pula menjaringkan gol sendiri ketika pasukannya tewas kepada Slovakia.

Bagaikan berlumba-lumba untuk mencipta nama, dalam perlawanan menentang Perancis, Mats Hummels pula mencipta nama sebagai penjaring gol sendiri dalam perlawanan yang mana menyaksikan Jerman tewas 0-1.

Dek rasa iri hati, dua pertahanan Portugal, Ruben Dias dan Raphael Guerreiro pula mencipta rekod dua gol sendiri dalam satu perlawanan di kejohanan Eropah, ketika pasukan mereka tewas kepada Jerman 4-2.

Ada berpuluh lagi baki perlawanan dalam kempen Euro 2020 ini. Tak tahulah berapa lagi gol sendiri yang akan terhasil, kan?

Data : Wikipedia

BACA:  Lima Pemain Perancis Yang Paling Sendu Di EURO 2020