Skuad Shrewsbury Berikan Pujian Menggunung Kepada Van Dijk Kerana Menunjukkan Sikap Yang Sangat Terpuji

Share on facebook
Share on twitter

Virgil Van Dijk menerima pujian yang menggunung dari pengurus Shrewsbury, Steve Cotterill atas kemuliaan hati yang beliau tunjukkan selepas tamat aksi perlawanan yang menemukan kedua-dua pasukan itu semalam.

Steve Cotterill bersama anak-anak buahnya begitu kagum dan teruja dengan kemuliaan hati Virgil Van Dijk yang sudi meluangkan masa untuk ke bilik persalinan mereka selepas tamat perlawanan yang dilangsungkan di Anfield itu.

Selepas tamat aksi kemenangan 4-1 Liverpool menewaskan Shrewsbury dalam saingan FA Cup itu, Van Dijk dikatakan masuk ke bilik persalinan pasukan lawan untuk mengucapkan tahniah kepada mereka.

Kemenangan itu membawa Liverpool untuk mara ke pusingan keempat saingan FA Cup dengan mereka selepas ini dijadualkan akan bertemu Cardiff City.

Kaide Gordon, Roberto Firmino dan Fabinho (2) berjaya mencatat nama sebagai penjaring gol dalam perlawanan tersebut, untuk membantu Liverpool mencatatkan kemenangan selesa menewaskan Shrewsbury.

Walau bagaimanapun, Liverpool sebenarnya terlebih dahulu ketinggalan selepas pasukan dari saingan League One itu membuka tirai jaringan mereka pada minit ke-27 permainan menerusi Daniel Udoh.

Skuad Shrewsbury berjaya mempamerkan aksi persembahan yang sangat baik ketika bertemu Liverpool, walaupun skuad The Reds dibarisi ramai pemain muda.

Namun pujian harus diberikan kepada mereka, kerana mampu pamer aksi yang menakjubkan di gelanggang yang dianggap neraka untuk pasukan-pasukan lawan.

Kerana kagum dengan persembahan yang dipersembahkan oleh skuad Shrewsbury, Van Dijk memutuskan untuk masuk ke bilik persalinan mereka, memberi pujian kepada para pemain atas usaha mereka, dan turut mengucapkan selamat maju jaya.

Steve Cotterill memuji Van Dijk

Tindakan Virgil Van Dijk itu sepertinya telah menyentuh hati Steve Cotterill, dengan beliau tampil memberikan pujian yang menggunung kepada bintang Liverpool itu.

“Virgil Van Dijk datang ke bilik persalinan kami selepas tamat perlawanan, mengucapkan tahniah kepada semua orang, dia puji kami, bawa jersi dia kepada kami, salam kami dan saya fikir ia merupakan sikap yang sangat terpuji.”

Jelas Cotterill menurut Liverpool Echo.

“Bukan hanya dia pemain terbaik, dia juga seorang yang gentleman. Ia merupakan pengalaman yang sungguh menakjubkan untuk para pemain kami lalui hari ini.”

“Kamu tak akan mampu tinggalkan tempat ini dan tidak fikir yang kelab ini merupakan kelab bola sepak yang istimewa.”

Elliott Bennett yang bermain selama 88 minit dalam perlawanan tersebut turut memuji Van Dijk dengan menyatakan:

“Mulia baik di dalam mahupun luar padang. Pemain Rolls Royce dan tanpa ragu-ragu dia adalah pemain centre-back terhebat dunia. Sangat tersentuh dia datang bertemu kami dan beri penjaring gol kami jersi dia.”

Sikap yang benar-benar terpuji dari Virgil Van Dijk yang menggalas tugas sebagai ketua pasukan dalam perlawanan ini, bagi menggantikan Jordan Henderson.

Bercakap ketika sidang media selepas tamat perlawanan, Cotterill turut menjelaskan bahawa:

“Ia merupakan hari yang menakjubkan untuk kelab kami. Ia bukan kerana keputusan 4-1 dalam perlawanan tersebut. Kami mahu terus menguji mereka, namun terlalu sukar untuk kami memenangi bola.”

“Ketika kamu fikir tentang segi tiga yang mereka ada di hadapan Kelleher, yang mana beliau seorang penjaga gol yang bagus, ia sangat, sangat sukar untuk melepasi Konate, Van Dijk dan Fabinho yang berada di tengah padang. Itu adalah ruang yang hebat untuk memulakan serangan.”

“Tapi ia sangat-sangat sukar untuk kami dapat melepasi mereka tanpa kami benar-benar membuka permainan. Jika kami buka permainan, maka saya rasa mereka akan dapat enam ke tujuh gol dan itu bukanlah apa yang kami mahukan.”

“Saya rasa kami berjaya buat mereka bimbang dalam tempoh lima minit ketika kami menyerang, tapi malangnya ia tidak mampu bertahan lebih lama.”

Beliau kemudiannya menambah lagi dengan menyatakan bahawa:

“Saya tak rasa ia seperti perlawanan yang berakhir dengan keputusan 4-1. Saya rasa macam keputusan perlawanan 2-1, tapi bukan hanya kerana kamu melihat kesebelasan utama mereka dengan Kelleher, pemain muda Bradley, tapi dengan tiba-tiba ada Konate, Van Dijk, Robertson, ia merupakan tembok yang cukup kental untuk dilepasi.”

“Dan kemudian, untuk menambah baik aksi di hujung permainan, mereka membawa masuk Firmino dan Minamino. Ia menambah lagi kesukaran untuk kami. Saya tak rasa perlawanan ini nampak seperti 4-1.”

“Saya sangat, sangat berbangga dengan para pemain saya, terima kasih kepada kelab bola sepak Liverpool atas layanan yang diberikan kepada kami hari ini, dari Jurgen Klopp sehingga ke semua pemain mereka.”

Sumber: GMS

BACA:  Rancangan Di Youtube Ini Menganjing Liverpool Tanpa Gagal
Share on facebook
Share on twitter