Southgate Mahu Panggil Bintang Muda Dari Premier League Untuk Sertai Skuad England

Gareth Southgate kini hanya mempunyai lapan perlawanan sahaja untuk memantapkan skuadnya sebelum aksi Piala Dunia Qatar pada November nanti.

Beliau pada ketika ini sedang mempertimbangkan untuk memberikan debut antarabangsa kepada salah seorang bintang muda dari saingan Premier League.

Kebiasaannya persiapan untuk aksi Piala Dunia akan dilakukan di saat-saat akhir dengan mereka hanya ada aksi rehat antarabangsa pada Mac, dan perlawanan persahabatan sahaja untuk dilalui.

Hal ini sedikit sebanyak memberi kesukaran kepada Gareth Southgate untuk mempersiapkan skuadnya dengan beliau perlu memastikan yang beliau sudah memiliki barisan pemain terbaik untuk di bawa ke Qatar.

Tahun ini, dengan kejohanan Piala Dunia dilangsungkan pada penghujung November, maka masih ada masa untuk Southgate mempersiapkan skuadnya.

Bulan hadapan, Naib Juara saingan Euro 2020 itu akan turun beraksi bertemu Switzerland dan Ivory Coast untuk aksi perlawanan persahabatan di Wembley.

Southgate dilaporkan sedang mengintai salah seorang pemain muda dari saingan Premier League untuk diberikan debut bersama skuad kebangsaan England.

Menurut laporan dari Daily Mail, bintang muda Aston Villa, Jacob Ramsey ketika ini berada dalam radar Gareth Southgate atas aksi hebat dan persembahan mantap yang beliau pamerkan sejak kebelakangan ini.

Laporan sama turut mendedahkan yang Ramsey berkemungkinan akan dipanggil untuk sertai skuad kebangsaan England pada Mac nanti, dan berpotensi untuk sertai The Three Liones ke Piala Dunia.

Ramsey tidak dinafikan sememangnya berada di tahap persembahan terbaiknya sepanjang beraksi bawah kendalian Steven Gerrard.

Beliau benar-benar mencuri perhatian ramai dengan aksi hebat dan memukaunya sejak November lalu dan jelas sekali Gerrard berjaya mengeluarkan yang terbaik dari bintang muda itu.

Pemain berusia 20 tahun itu berjaya menjaringkan dua gol pada aksi bertemu Leeds United baru-baru ini, yang mana Philippe Coutinho juga turut beraksi cemerlang dalam perlawanan tersebut.

Ketibaan Coutinho kelas sekali memberi impak kepada pemain dari akademi kelab itu, dengan bintang Brazil itu berjaya mencatatkan assists untuk kedua-dua gol yang dijaringkan oleh Ramsey dalam perlawanan tersebut.

Kedua-dua mereka turut berjaya menjaringkan gol dan mencatatkan assists ketika kejayaan mereka mencatatkan seri bertemu setan merah pada bulan lalu.

Dengan posisi midfield England sebelum ini kurang sentuhan kreatif, dan ditambah pula Southgate menggunakan dua anchormen, jelas sekali Jacob Ramsey merupakan pemain yang sesuai untuk dipanggil.

Melihat kepada usianya, Ramsey jelas tidak perlu risau seandainya beliau terlepas peluang beraksi di pentas Piala Dunia tahun ini.

Beliau mempunyai perjalanan karier yang masih panjang dan andai beliau konsisten, tidak mustahil Ramsey akan mampu menjadi nadi penting skuad England di masa hadapan.

Beliau mungkin boleh menjadi wira di tanah air sendiri nanti dengan ada laporan yang menyatakan bahawa England mahu menjadi tuan rumah untuk Euro 2028 nanti bersama Scotland, Wales, Northern Ireland dan Republic Ireland.

Mereka menolak untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia 2030 dan memutuskan untuk menjadi tuan rumah Euro untuk tempoh enam tahun dari sekarang.

Southgate sebelum ini pernah merancang untuk memanggil Ademola Lookman, namun malangnya usaha beliau tidak akan mungkin jadi kenyataan.

Hal ini kerana Ademola Lookman sudah memilih untuk menukar kerakyatan beliau kepada Nigeria dan akan mewakili negara Afrika itu di pentas bola sepak antarabangsa.

Tidak dinafikan lagi yang Jacob Ramsey selayaknya untuk diberi peluang sertai skuad kebangsaan England memandangkan beliau sedang benar-benar berada di tahap persembahan terbaiknya pada ketika ini.

Sumber: SPORTbible

BACA:ย  Peminat England Berbaris Untuk Meminta Maaf Kepada Southgate Kerana Meraguinya Sebelum Ini