Steven Gerrard Denda Pemainnya Jika Tidak Memakai Selipar di Tandas, Gagal Bawa Kek Hari Jadi

Steven Gerrard menjadi pengurus pasukan Aston Villa pada bulan November tahun lalu selepas tampil cemerlang membawa pasukan gergasi yang terhumban di Scotland, Glasgow Rangers, muncul juara Liga Perdana Scotland.

Kehadiran Gerrard di Villa Park disulami dengan harapan menggunung para penyokong untuk membawa kelab ini kembali ke puncak liga seperti suatu ketika dahulu dan pada musim lalu, kelab ini sekadar berada di tangga ke-14 liga.

Untuk mencapai hasrat tersebut, antara tugas utama seorang pengurus adalah menitikberatkan soal disiplin pemain dalam pasukan dan salah satunya adalah dengan mendenda pemain di atas sesuatu kesalahan.

Dalam satu laporan yang diterbitkan oleh Mirror, pemain Aston Villa berdepan denda yang agak tinggi dan mampu menipiskan poket mereka sekiranya melakukan kesalahan berulang kali. Sebaik sahaja menjadi pengurus Villa, Gerrard telah memperkenalkan peraturan yang melarang pengambilan sos tomato.

Namun, sebenarnya pemain Aston Villa sememangnya tertakluk kepada beberapa peraturan khas dan semua peraturan ini diteruskan di bawah kendalian Steven Gerrard.

Menerusi satu gambar dalaman yang dibocorkan oleh pihak tertentu, satu senarai denda kesalahan daripada nilai serendah £50, sehingga £1000.

Senarai ini terbahagi kepada dua kolum – jenis kesalahan di sebelah kiri dan nilai denda di sebelah kanan.

Di tempat paling atas adalah sekiranya pemain hadir lambat ke latihan pasukan, pemain tersebut akan didenda £500, dan pemain yang tiba lewat ke padang latihan pula akan didenda £200 untuk setiap minit.

Bayangkan kalau pemain tu tiba-tiba sakit perut nak melepas, kan?

Peraturan ini sememangnya memang akan menghukum orang yang lambat dengan sekerasnya. Pemain yang gagal hadir ke perjumpaan pasukan, berjalan santai berpasukan atau naik bas tepat pada masanya  pada hari perlawanan, akan didenda £1000. Lambat tiba ke perjumpaan pada hari yang tiada perlawanan pula didenda £200 setiap minit.

Selain ketepatan masa, pemain juga perlu tampil mengikut kehendak pengurusan dan sentiasa menjaga imej sendiri di hadapan umum. Jika pemain memakai pakaian yang tidak sesuai pada hari perlawanan, nilai denda adalah £100 untuk setiap perkara.

Contohnya John McGinn memakai seluar jeans dan kasut peguin dalam perjalanan ke stadium dengan menaiki bas, dia akan didenda £100 untuk jeans dan juga £100 untuk kasut peguin.

Pemain yang meninggalkan baju latihan di padang juga akan didenda £100, dan pemain yang gagal memakai selipar flip flop di dalam tandas turut didenda £100.

Disiplin di atas padang turut dititikberatkan oleh pengurusan Aston Villa di mana pemain yang berkelahi dengan pengadil sehingga dilayangkan kad kuning, didenda £200. Pemain yang dilayangkan kad merah pula perlu belanja makan malam seluruh pasukan dalam tempoh empat minggu selepas tarikh layangan kad merah tersebut.

Bagi menggalakkan semangat berpasukan yang tinggi, kegagalan pemain yang ditugaskan untuk menyediakan kek hari jadi rakan sepasukan akan didenda £50.

Terdapat satu peraturan yang agak memalukan di mana pemain yang diundi sebagai pelatih yang paling teruk, dikehendaki memakai jumper yang bertulis – aku adalah pelatih paling teruk.

Berikut adalah senarai denda dalam pasukan Aston Villa.

Lambat ke latihan – £500
Lupa pakai peranti GPS dalam latihan – £100
Lambat sampai ke padang latihan – £200 seminit
Lewat ke perjumpaan, berjalan atau naik bas pada hari perlawanan – £1000
Lambat naik bas – £200 seminit
Lambat ke perjumpaan – £200 seminit
Salah pakaian pada hari perlawanan (pakai tracksuit dan tshirt polo, seluar pendek tidak dibenarkan) – £100 untuk setiap barang
Tinggal pinggan, cawan di meja makan – £100 untuk setiap barang
Tinggalkan baju latihan di padang – £100 untuk setiap barang
Parkir di tempat yang diharamkan – £100
Lambat ke penampilan komersial – £250
Lupa bawa kek hari jadi – £50 sehari
Tidak pakai selipar di tandas – £100
Tidak lapor kesihatan/kecederaan kepada doktor pasukan sebelum jam 10 pagi – £200
Lambat ke rawatan fisio – £200
Lupa pakai legging untuk pemulihan – £50
Kad kuning – £200
Kad merah – bawa semua orang pergi makan dalam tempoh empat minggu dari tarkih kad merah
Pelatih paling teruk – dimalukan dengan memakai jumper buruk.

Pasukan Liga M ada buat macam ni? Mesti ada, kan?

BACA:  Gary Neville Dedah Kisah Beliau Memujuk Gerrard Untuk Sertai Man Utd