Sukar Menang Bersama Arsenal, Keane Harap Saka Gembira England Menang

Roy Keane sempat mengusik Bukayo Saka sambil menganjing kelabnya, Arsenal selepas tamat aksi kemenangan 4-0 England menewaskan Andorra dalam aksi kelayakan Piala Dunia awal pagi tadi.

Ia merupakan hari yang cukup indah dan menggembirakan untuk skuad The Three Lions selepas mereka terus mencatatkan keputusan yang baik di pusingan kelayakan Piala Dunia Qatar.

Jesse Lingard berjaya membalas kepercayaan yang diberikan oleh Gareth Southgate padanya dengan beliau cemerlang meledak dua gol dalam perlawanan ini.

Harry Kane turut mencatat nama sebagai penjaring gol dalam perlawanan ini selepas beliau tenang menyempurnakan sepakan penalti yang dihadiahkan kepada England selepas Christian Garcia menjatuhkan Mason Mount di dalam kotak penalti.

Pemain sayap Arsenal, Bukayo Saka turut mencatat nama sebagai penjaring gol, dan lebih manis lagi gol tersebut dihadiahkan pada dirinya sendiri sempena hari jadinya yang ke-20.

Southgate menganggap gol tersebut merupakan balas dendam selepas kegagalan beliau menyempurnakan sepakan penalti ketika aksi perlawanan akhir saingan Euro 2020 lalu.

“Dia dapat sambutan yang sangat menakjubkan, sebelum perlawanan, ketika perlawanan berlangsung.”

Jelas pengurus England itu kepada ITV.

“Kamu boleh lihat bagaimana terkenalnya dia sama seperti rakan sepasukan dia yang lain.”

“Saya harap hal lama dilupakan dan saya tak rasa ada pemain dalam bilik persalinan yang tidak nampak hal positif yang dia lakukan sepanjang musim panas lalu.”

Selepas wisel penamat dibunyikan, penyampai ITV, Roy Keane yang jelas sangat berpuas hati dengan persembahan England ketika bertemu Andorra, bergurau mengusik Saka.

Beliau menyatakan yang Saka harus menikmati kemenangan di pentas antarabangsa kerana situasi yang ada di peringkat kelab bersama Arsenal.

Bekas bintang Manchester United itu menyatakan:

“Saya yakin dia akan nikmati kemenangan itu, kerana dia langsung tak menang di peringkat kelab.”

Ia merupakan permulaan musim yang sangat membinasakan untuk skuad kendalian Mikel Arteta pada musim 2021/22 ini.

Pasukan dari London itu tewas dalam kesemua tiga perlawanan awal liga bertemu Brentford, Chelsea dan Manchester City.

Mereka bahkan masih belum menjaringkan sebarang gol tetapi mencatatkan sembilan bolos dan kini berada di kedudukan tercorot dalam carta liga.

Ini bukanlah kali pertama Keane membahaskan tentang kejatuhan Arsenal dalam tempoh beberapa minggu terakhir ini.

Bulan lalu, Keane turut mengkritik pembelian pemain Arsenal, dan menghentam kerja yang dilakukan oleh Edu.

“Saya rasa dia masih sedang bercuti sejak hampir dua tahun!”

Jelas Keane tentang Edu di The Overlap.

“Ia semuanya kerana pembelian pemain. Boleh kamu dapatkan yang betul? Arsenal berkemungkinan masih mencari satu ke dua pemain untuk dibawa masuk.”

“Tapi masalah terbesar untuk Arsenal, sama seperti kelab lain, adalah menguruskan pemain yang keluar. Masih ramai pemain Arsenal yang menerima gaji tinggi, tapi mereka tak mampu keluarkan pemain ini. Jadi kemudian mereka sangkut untuk membawa masuk pemain baru. Pengambilan pemain adalah kunci.”

“Kita tak pandang rendah pada Arsenal, mereka menang FA Cup dua tahun lalu, tapi kita bercakap tentang memenangi liga dan Arsenal jauh dari itu kerana mereka tak dapat pemain, mereka tak ada kekuatan pada skuad depth.”

Jelas Keane lagi.

Sementara Edu pula baru-baru ini tampil untuk mempertahankan polisi pembelian pemain Arsenal dengan beliau yakin dengan pemain yang telah dibawa masuk.

Cumanya beliau berharap agar para penyokong Arsenal boleh bersabar kerana menurutnya, pemain yang beliau tandatangani masih belum sempat beraksi bersama lagi.

Beliau yakin penandatanganan yang dibuat adalah berdasarkan untuk pelan perancangan jangka panjang dan beliau yakin asas yang ada sekarang bakal membantu Arsenal untuk menjadi gergasi Eropah di masa hadapan.

Sumber: SB

BACA:  Bukayo Saka Jadi Mangsa Cacian Perkauman Selepas Gagal Sudahkan Penalti