Mantan Kapten MU Desak Lilitan Kapten Bruno Fernandes Ditarik Balik

Lilitan kapten Bruno Fernandes harus ditarik balik selepas kekalahan kepada Manchester City pada malam tadi. Itulah desakan mantan kapten Manchester United, Roy Keane yang berpendapat pemain tengah itu tidak mempunyai kualiti seorang pemimpin di dalam padang.

Dalam perlawanan derbi Manchester itu, Erling Haaland menjaringkan dua gol sebelum Phil Foden mudah menolak masuk bola dari jarak dekat untuk City mendominasi United di Old Trafford.

Kemenangan 3-0 ke atas United itu membenarkan City menduduki tempat ketiga Premier League, dua mata di belakang pendahulu Tottenham manakala United terus terperosok di kedudukan kelapan.

Dan selepas perlawanan Jamie Carragher dan bekas kapten United Roy Keane menegaskan Fernandes tidak cukup bagus untuk bergelar kapten pasukan Setan Merah.

Mengulas mengenai Fernandes yang mengambil alih lilitan kapten daripada Harry Maguire pada musim panas lalu, Carragher bercakap dalam rancangan Sky Sports: “Keputusan besar yang dilakukan oleh Erik ten Hag ialah siapa yang dia jadikan sebagai kapten pasukan.

“Bruno Fernandes tidak sepatutnya menjadi kapten – saya kini duduk bersama dua mantan kapten Manchester United [Keane dan Gary Neville].”

Keane kemudiannya menyampuk dan berkata: “Perkara pertama yang saya akan lakukan – saya harus beritahu anda, selepas melihat kembali aksi [Bruno Fernandes] – saya pasti akan menarik balik lilitan kapten itu daripadanya. 100%.

“Saya tahu ia keputusan yang besar. Jelas sekali mereka telah melucutkannya daripada Maguire, tetapi Fernandes bukan pemain yang memiliki kualiti seorang kapten.

“Saya berpendapat dia adalah pemain yang berbakat. Tiada keraguan mengenai itu. Tetapi seperti yang telah kita saksikan pada perlawanan ini – dan saya telah berbicara banyak kali sebelum ini, musim lalu ketika menentang Liverpool – ialah mengenai seorang pemain yang suka merintih, suka mengadu, suka sangat angkat tangan secara konsisten untuk tunjuk rasa tidak puas hati.

“Ini semua tidak boleh diterima sama sekali. Dan selepas apa yang saya lihat malam ini saya pastu akan tarik balik lilitan kapten itu.

“Akhirnya anda harus bermula di satu titik. Pemikiran anda, ‘di mana seharusnya perubahan harus dilakukan’. Anda bercakap di tahap pengurusan tertinggi, pengurus….. saya akan bermula dengan itu [lilitan kapten] kerana itulah perkara yang berada di dalam bidang kuasa seorang pengurus.

“Dan kemudian bolehlah dia mendepakan kedua tangannya dan berkata, “Okat, saya telah melakukan kesilapan.”

“Fernandes masih pemain yang berkualiti, tetapi daripada segi kualiti seorang kapten, dia mempunyai perwatakan yang bertentangan berbanding kualiti yang saya harapkan daripada seorang kapten.”

BACA:  Malam Mourinho Kasihankan Yang Berhormat, Dan Jaringan Martial Adalah Satu Kemalangan