Tatsuma Yoshida Kagum Dengan Semangat Juang Singapura Dan Ini Jawapan Bijak Kepada Pengadil

Jurulatih Singapura, Tatsuma Yoshida kagum dan tidak mampu menuturkan kata-kata melihat semangat juang anak buahnya ketika tewas menentang Indonesia di separuh akhir kedua Piala AFF Suzuki 2020.

Ramai ternyata terpesona dengan semangat juang yang dipamerkan oleh Singapura yang nyata berada diluar jangkaan ramai.

Jurulatih dari Jepun itu kagum dengan persembahan pemainnya dan menganggap inilah aksi terbaik Singapura sejak beliau menjadi jurulatih Singapura pada bulan Mei 2019.

“Walaupun kami kehilangan beberapa pemain (kerana kad merah). Kami tidak berputus asa dan saya kagum dengan semangat perjuangan mereka.”

“Sebelum perlawanan, saya memberitahu mereka ‘jangan lepaskan sebarang peluang untuk ke final’ dan memberi membalas dengan persembahan mereka di padang.”

“Ini merupakan aksi terbaik mereka sejak saya menjadi jurulatih Singapura. Saya rasa gembira bekerja dengan mereka dan saya sangat bangga dengan mereka. Mentaliti tidak kenal erti kalah adalah sangat penting.”

“Kami menunjukkan bahawa kami mampu berkembang subur, menjadi kuat dan membawa bola sepak Singapura ke tahap lebih hebat.”

Walaupun dilayangkan 3 kad merah dan terpaksa beraksi dengan 8 pemain dan pemain penyerang terpaksa menjadi penjaga gol, Tatsuma Yoshida tidak mahu mengeluh dengan keputusan pengadil satu tutur kata yang bijak.

“Pengadil adalah pengadil. Kekasaran adalah kekasaran, kad merah adalah kad merah. Saya tidak mempunyai sebarang aduan tentang pengadil.”

“Kad merah yang perlu kita terima, pengadil mempunyai alasan untuk melakukannya daripada Fandi kepada Sunny. Semasa perlawanan, mungkin saya akan mengadu kepada pengadil tetapi selepas perlawanan, saya dan pemain perlu menerimanya.”

“Kami harus menerimanya inilah bola sepak. Walaupun sesukar mana untuk kita terima, kita tetap kena menerimanya. Saya mahu ucap kepada semua warga Singapura ‘Kita wajib percaya kepada diri sendiri’.”

“Saya selalu memberitahu pemain bahawa tahap kami tidak jauh beza jika dibandingkan dengan Jepun. Semua orang mesti terus percaya. Jika hilang kepercayaan maka kita tidak akan mampu mengejar.”

Tatsuma Yoshida tidak dapat menyembunyikan rasa terharunya dengan sokongan yang diberikan oleh penyokong pasukan Kota Singa dan merasakan diri dihargai.

“Secara keseluruhan, saya tiada apa yang perlu dirungut. Tetapi keputusan tidak seperti yang saya harapkan. Walaupun begitu, saya tetap berbangga dengan pemain.”

“Saya tidak mempunyai banyak yang boleh dikatakan Semua orang mencuba dan tidak berputus asa walaupun hanya tinggal 8 orang untuk bermain,” tambah Yoshida.

“Kami tidak boleh mengawal keputusan pengadil tapi pemain kami mampu berjuang dengan apa yang kami ada. Kami terus bermotivasi di padang walaupun kurang bilangan, kami bermain sepenuh jiwa dan hati.”

“Sangat menyentuh hati melihat peminat bersorak untuk kami walaupun keputusan tidak seperti apa yang kami mahukan.”

“Itu menunjukkan mereka menghargai usaha kami. Kami mempunyai gabungan pemain mudah dan berpengalaman yang bagus. Semoga kami dapat boleh terus membina sesuatu dari sini untuk kejohanan mendatang.”

Indonesia 4-2 Singapura

Pasukan Timnas Indonesia yang terhebat di alam semesta menggegarkan dunia bola sepak dengan aksi kebangkitan luar biasa dan sensasi sekaligus berjaya mara ke Piala AFF Suzuki 2020 dalam perlawanan penuh drama dan aksi.

Tuan rumah, Singapura dan Indonesia terikat seri 1-1 dalam perlawanan separuh akhir pertama dan turun untuk perlawanana separuh akhir kedua bagi menghiburkan semua.

Selaku tuan rumah, Singapura dilihat mempunyai kelebihan berbanding Indonesia di mana kedua-dua separuh akhir berlangsung di bumi Temasik itu.

Indonesia terlebih dahulu berada di hadapan pada minit ke-11 hasil permainan pressing disusuli hantaran menari lalu disudahkan dengan penyudah yang tenang.

Tendangan penjaga gol Singapura, Hassan Sunny tidak gagal menemui rakan dan berjaya dirampas pemain Indonesia yang melakukan tekanan, bola terus dihantar kepada Witan Sulaeman.

Witan Sulaeman berjaya lepas dua pertahanan Singapura, lalu memaksa Hassan Sunny keluar dan menghantar kepada Ezra Walian untuk gol pembukaan dengan satu tolakan mudah ke gawang terbuka.

Perlawanan berlangsung sengit dan disajikan dengan aksi keras dan kasar. Malang buat Singapura dipenghujung babak pertama apabila Safuwan Baharudin dilayangkan kad merah.

Namun Singapura berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-45+4 melalui pemain naturalisasi mereka dari Korea Selatan, Song Ui-Young.

Gol berpunca daripada sepakan percuma Shahdan Sulaiman yang menghantar bola ke kotak penalti Indonesia sehingga mewujudkan situasi kelam kabut.

Bola jatuh ke kaki Song Ui-Young yang terus melepaskan rembatan untuk mengikat kedudukan 1-1 dan secara agregat 2-2.

Jika penghujung 45 minit pertama disajikan dengan aksi penuh kegilaan namun separuh masa kedua kegilaan terus tercetus.

Ternyata bermain 10 orang tidak menjejaskan Singapura, pada minit ke-67 Irfan Fandi yang merupakan anak kepada lagenda bola sepak Singapura, Fandi Ahmad dilayangkan kad merah.

Dengan 9 pemain Singapura berjaya bangkit mendahului Indonesia menerusia sepakan percuma cantik Shahdan Sulaiman 7 minit selepas kad merah Irfan Fendi.

Serangan bertali arus Indonesia menyaksikan mereka akhirnya berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-87 dan bermain 9 orang mula memberi kesan kepada Singapura.

Pratama Arhan menjaringkan gol berharga Indonesia dengan satu gerakakan menarik dan penuh berhelah yang percubaan pertama berjaya ditampan Hassan Sunny.

Bola sampai ke kaki Pratama Arhan yang terus merembat untuk menewaskan Hassan Sunny, jelas Pratama Arhan berada dalam kedudukan offside namun gol itu dibenarkan.

Drama yang menyedapkan perlawanan berterusan apabila Singapura berjaya meraih sepakan penalti dipenghujung perlawanan dan final hanya selangkah buat Singapura.

Namun Faris Ramli gagal menyempurnakannya dengan satu sepakan yang lemah yang mudah ditepis keluar penjaga gol Indonesia, Nadeo Argawinata.

Pemenang perlawanan ditentukan ke masa tambahan apabila kedudukan secara agregat terikat 3-3 selepas tamat 180 minit masa permainan sebenar.

Ini merupakan mimpi buruk buat Singapura yang hanya ada 9 pemain sahaja dan pasti Indonesia berkelebihan dari segi pemain dan juga stamina.

Bermain dengan kurang anggota memberi kesan ketara kepada Singapura untuk mengharungi tempoh 30 minit terakhir.

Hanya 30 saat masa tambahan diperlukan Indonesia untuk bangkit mendahului kembali hasil jaringan sendiri Shawal Anwar selepas pemain Singapura itu tertampan bola ke gawang sendiri.

Gol berpunca dari rembatan Messi Indonesia, Egy Maulana yang masuk sebagai pemain gantian.

Egy Maulana yang berpangkalan di Eropah membuktikan kualiti dirinya apabila mengesahkan tiket Indonesia ke perlawanan Piala AFF Suzuki 2020.

Hassan Sunny gagal mengeluarkan bola sepakan penjuru dengan kemas dan tertampan bola ke kaki Egy Maulana yang mudah menolak untuk gol keempat.

Separuh masa pertama masa tambahan Indonesia mendahului 4-2 dan hanya keajaiban saja yang akan membolehkan Singapura mara.

Baki 15 minit permainan hanya digunakan Singapura untuk terus mempertahankan kedudukan semasa dari terus dibelasah.

Minit ke-119 menyaksikan Singapura bermain dengan 8 orang apabila penjaga gol mereka, Hassan Sunny mengutip kad kuning ketiga.

Indonesia mara ke perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2020 dan ini merupakan final ke-6 Indonesia selepas kali terakhir mara pada Piala AFF Suzuki edisi 2016.

Adakah Indonesia akan berjaya menghapuskan badi perlawanan akhir mereka selepas muncul naib juara dalam lima perlawanan akhir mereka jejaki?

BACA:  Berapakah Wang Tunai Diraih Pasukan Bertanding di Piala AFF?