TCH Berjanji Malaysia Akan Bermain Lebih Baik Menentang Laos

Malaysia memulakan kempen Piala AFF Suzuki 2018 dengan kemenangan tipis 1-0 ke atas Kemboja dalam perlawanan yang berlangsung kelmarin di Stadium Olimpik Kemboja.

Jaringan daripada penyerang Pahang, Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-30 separuh masa pertama sudah cukup untuk memberikan kemenangan berharga kepada skuad Harimau Malaya yang terdesak untuk memulakan kempen Piala AFF dengan langkah kanan.

PHNOM PENH-CAMBODIA- Match photo during AFF Suzuki Cup 2018 Final Rounds group A between Cambodia vs Malaysia at the Olympic Stadium on November 8, 2018. Picture by Thananuwat Srirasant/Lagardere Sport.

Namun begitu, persembahan yang ditampilkan anak buah Tan Cheng Hoe agak merisaukan kerana mereka bergelut untuk mengawal permainan menentang pasukan yang berada satu tangga di bawah Malaysia dalam ranking FIFA.

Pemain Malaysia mengambil masa yang agak lama untuk menyesuaikan diri untuk bermain bola sepak di atas padang sintetik. Kegagalan Malaysia untuk menyesuaikan diri hampir membawa padah pada awal permainan jika tidak kerana ketumpulan jentera serangan Kemboja yang gagal menyempurnakan beberapa peluang keemasan.

Penyerang Kemboja bergelut untuk mencari penyudah ditambah dengan kecekapan bekas penjaga gol Kelantan yang kini berkelana di Melaka, Khairul Fahmi Che Mat. Penjaga gol Malaysia itu menggunakan pengalaman yang dimilikinya dengan baik untuk menenangkan barisan pertahanan negara yang agak rapuh pada awal permainan.

Ketua jurulatih Malaysia, Tan Cheng Hoe mengakui persembahan yang ditunjukkan anak buahnya ketika menentang Kemboja jauh dari meyakinkan, tetapi berjanji keadaan akan bertambah baik apabila Malaysia melayan kunjungan Laos di Stadium Nasional Buki Jalil pada hari Isnin nanti.

Malaysia bergelut di awal permainan kerana bermain di atas padang tiruan

“Secara keseluruhan, dari segi persembahan, pemain Malaysia mampu bermain lebih baik. Tetapi perkara paling penting sekarang adalah untuk mendapatkan 3 mata. Keadaan agak kelam kabut pada permulaan permainan tetapi kami berjaya menenangkan keadaan.”

“Kami terlepas beberapa peluang untuk menjaringkan gol pada penghujung perlawanan dan ia merupakan perkara yang ingin kami perbaiki selepas ini.”

“Perlawanan pertama dalam mana-mana pertandingan sentiasa sukar untuk mendapatkan momentum. Keadaan padang tidak banyak membantu tetapi disebabkan komitmen yang ditunjukkan pemain adalah tinggi, kami berjaya mendapatkan kemenangan.” Ujar Cheng Hoe dalam sidang media selepas tamat perlawanan.

Malaysia akan lebih bersedia apabila turun berhadapan dengan Laos Isnin nanti

Antara perubahan taktikal yang dilakukan TCH dalam perlawanan tersebut adalah menukar posisi Mohamadou Sumareh dan Safawi Rashid yang bermain di bahagian sayap. Kedua-dua pemain beraksi baik apabila diletakkan di bahagian sayap kanan tetapi tidak efektik apabila diletakkan di bahagian sayap kiri.

Namun begitu, TCH percaya Safawi dan Sumareh mampu beraksi di kedua-dua bahagian sayap dengan berkesan.

“Safawi dan Sumareh mampu bertukar posisi sama ada untuk bermain di bahagian sayap kiri atau sayap kanan. Safawi pernah bermain di bahagian kiri sebelum ini dalam kariernya. Tetapi apa yang paling penting adalah  meningkatkan lagi persefahaman di antara mereka berdua supaya dapat beraksi dengan lebih baik.”

BACA:  Sasaran Kim Pan-gon Di Piala Asia Lebih Tinggi Daripada Impian Satu Mata Hamidin