Teksi Proton Wira Ini Selamba Potong Porsche Di Litar Nurburgring

Bagi peminat sukan permotoran terutamanya kereta lumba, Litar Nurburgring yang terletak di Nurburg, Rhineland-Palatinate, Jerman bukanlah satu litar yang asing lagi.

Sebutkan sahaja nama Litar Nurburgrig, dengan serta merta bayangan jentera-jentera hebat melintasi “The Green Hell” pasti menjelma di benak fikiran.

Tetapi pernahkan anda melihat kereta jenama tempatan – untuk lebih spesifik Proton Wira – tampil di dalam perlumbaan di litar ini?

Itulah yang dilakukan oleh dua adik beradik yang berasal dari Belanda yang memilih kereta kereta pertama Malaysia.

Dua saudara Gravemade dari Dutch DIY Mechanics (DDM) memilih Proton Wira untuk berlumba bersama kereta-kereta lain seperti Porsches dan kereta-kereta jenama lain.

PROTON (singkatan untuk PeRusahaan OTOmobil Nasional Sendirian Berhad) merupakan pengeluar kereta pertama Malaysia yang ditubuhkan pada 7 Mei 1983 dengan modal berbayar sebanyak 150 juta ringgit.

Berjiwa Malaysia

Jochem dan Ruben Gravemade sebenarnya amat biasa dengan kereta jenama Malaysia tersebut. Apatah lagi kedua-duanya pernah menetap di Malaydia dan lebih tepat di Ampang selama tujuh tahun.

Setelah kembali ke Eropah kedua-dua adik beradik ini mahu membuktikan kepada mereka di Nurburging bahawa Malaysia juga mampu mengeluarkan kereta yang berkualiti juga.

Dari situ timbullah idea “Project Proton” berinspirasikan teksi yang sering kali memenuhi jalan raya di seluruh negara satu ketika dahulu.

Cabaran pertama yang perlu dihadapi oleh kedua-dua adik beradik ini sudah tentu ialah untuk mencari kereta Proton Wira itu sendiri.

Wira pernah dieksport oleh Proton ke Eropah dan beberapa buah daripadanya pernah dijual di Jerman pada lewat 1990an sehingga awal 2000.

Akhirnya mereka memperolehi model Wira yang diidamkan pada 5 Julai 2019.

Rintangan tetap dihadapi

Kita hanya merancang tapi tuhan yang menentukan, sudah pasti dalam apa jua projek dan perancangan yang kita rencanakan akan munculnya masalah dan cabaran yang datang menguji.

Malang bagi kedua-duanya apabila enjin Proton Wira 4G13 1.3 Liter yang dibeli itu rosak. Ini memaksa kedua-dua mencari satu lagi enjin 4G13.

Sekali lagi masalah timbul apabila pendawaian unit kedua yang diperolehi turut mengalami kerosakan.

Sebuah lagi wira – model Aeroback – kemudian dibeli dengan kapasiti enjin lebih besar iaitu 4G15 1.5 L. Kenderaan yang dibeli sebelumnya dijadikan spare part.

Dari situ segalanya mudah buat Jochem dan Ruben. Apatah lagi model-model yang mirip dengan Wira seperti Mitsubishi Colts, Lancer dan Galant turut mudah diperolehi di sana – dan akhirnya projek tersebut menjadi kenyataan!

Perlumbaan di Nurburgrig

Jochem dan Ruben kemudiannya menguji keupayaan Proton Wira yang mereka bina kembali di Litar Nurburgrig.

Beberapa kenderaan lain termasuk Porsche dan Citroen turut mengambil bahagian.

Anda boleh melihat video perlumbaan tersebut melalui pautan Instagram yang dikongsi oleh Jochem dan Ruben seperti di bawah.

Kedua-dua adik beradik itu tidak mampu menyembunyikan keterujaan mereka apabila Teksi Proton Wira mereka mampu memintas sebuah Porsche.

Hakikatnya bukan dua beradik ini sahaja yang teruja malah rakyat Malaysia yang melihat aksi dan usaha mereka ini juga merasai perasaan yang sama.

Kebanggaan Jochem dan Ruben terhadap model tempatan negara ini sememangnya luar biasa.

Proton Power!!!

BACA:  Senarai 7 Nahas Paling Buruk Dalam Sejarah Sukan Dunia