Tersengih Girang Chiellini Selepas Menahan Rembatan De Bruyne Dengan Muka

Pemain pertahanan Itali, Giorgio Chiellini telah tersengih riang selepas dengan selambanya menahan rembatan thunderbolt Kevin De Bruyne dengan mukanya.

Kepuasan yang nyata jelas ditampilkan dari senyuman di wajah veteran Giorgio Chiellini itu yang berjaya menyelamatkan gawang Itali dari percubaan bahaya.

Ada sesetengah pertahanan akan mengelak bola tersebut. Namun pertahanan otai itu menganggap ia satu kesempatan berbanding dengan malapetaka.

Tidak bagi Chiellini terutama sekali apabila negara kamu melahirkan pertahanan legenda seperti Paolo Maldini, Franco Baresi, Fabio Cannavaro dan ramai lagi.

Chiellini dengan berbesar hati menadah mukanya untuk menghadang percubaan De Bruyne itu. Selepas itu, De Bruyne melihat ke arah Chiellini untuk memastikan pemain itu ok.

Chiellini dengan tersenyum puas berjaya menghadang bola itu daripada masuk.

Ketika masih lagi remaja Kevin De Bryune telah diharamkan oleh rakan-rakan dan jiran-jiran untuk menggunakan kaki kanan ketika bermain bola sepak.

Ini kerana kaki kanan Kevin De Bruyne sangat padu yang sudah mampu membawa kemusnahan kepada rumput dan juga bunga ketika beliau masih mentah.

“Tendang dengan kaki kiri dan kanan. Semasa De Bruyne masih kecil dan tidak mengenali dunia pensabunan, jirannya telah melarang beliau menggunkan kaki kanan kerana beliau boleh merosakkan rumput dan bunga.”

Kisah ini didedahkan oleh seorang wartawan dari Belgium, Kristof Terreur mendedahkan bahawa produk dari Genk itu telah dilarang dan diharamkan menggunakan kaki kanannya yang suci serta semulajadi itu.

Sudah banyak pasukan bola sepak handalan dunia menjadi mangsa kaki kanan Kevin De Bruyne yang nyata bukan sahaja memberi kemusnahan tetapi mampu memberikan kekecewaan.

Berbalik kepada Chiellini yang berani mempertaruhkan kepala beliau kepada tendangan Kevin De Bruyne juga membuktikan kepalanya bukan sahaja keras malah bergeliga.

Pemain pertahanan Juventus dan Itali itu berjaya mendapat Ijazah Sarjana (Masters) dalam kursus Pengurusan Perniagaan dari Sekolah Pengurusan dan Ekonomi Universiti Turin pada tahun 2017.

Chiellini melakukan tesis yang bertajuk “Model Perniagaan Kelab Bola Sepak Juventus dalam Konteks Antarabangsa”, dan telah mempersembahkan dan mempertahankan tesis tersebut di hadapan Professor Pietro Paolo Biancone, Professor Alberto Gallatari dan Ketua Jabatan Hubungan Awam Juventus, Stefano Bertola.

Setelah berhempas pulas bersoal jawab, Chiellini akhirnya berjaya lulus dengan kepujian. Pada tahun 2010, Chiellini berjaya menamatkan ijazah Sarjana Muda dalam kursus yang sama, juga di universiti yang sama.

Kejayaan Chiellini ini wajar dijadikan ibrah buat pemain-pemain muda dan remaja bahawa bola sepak dan pelajaran boleh dilakukan seiring, tanpa perlu mengorbankan salah satu daripadanya.

Mungkin selepas bersara daripada bermain bola sepak, Chiellini akan menyambung pengajian ke peringkat doktor falsafah pula. Sekiranya semuanya berjalan lancar, Chiellini bakal bergelar Dr. Chiellini, dan harap-harap Chiellini tidak menggunakan kesempatan tersebut untuk menganjurkan seminar perniagaan dengan yuran yang berbelas ribu Euro.

Belgium 1-2 Itali

Pertemuan antara Belgium dan Itali merupakan perlawanan suku akhir EURO 2020 sepatutnya berlangsung dengan sedap lagi menghiburkan lantaran reputasi dicipta kedua-dua pasukan setakat ini.

Pasukan bimbingan Roberto Martinez mara ke suku akhir selepas menewaskan juara bertahan Portugal dengan aksi yang tidak meyakinkan dengan satu percubaan tepat sahaja yang merupakan gol kemenangan.

Dalam perlawanan menentang Portugal, Belgium telah kehilangan Kevin De Bruyne kerana kecederaan buku lali dan juga Eden Hazard yang mengalami kecederaan hamstring.

Belum dapat dipastikan lagi samada dua pemain kreatif itu sempat kembali cergas, Dries Mertens dan Yannick Carrasco akan menjadi calon pengganti.

The Azzuri telah dipaksa bermain sehingga masa tambahan oleh Austria yang mempamerkan permainan penuh bersemangat sebelum menemui sentuhan mereka untuk menang.

Roberto Mancini pula telah kehilangan ketua pasukan dan benteng pertahanan kental mereka, Giorgio Chiellini yang mengalami kecederaan betis.

Rekod pertemuan secara kepala ke kepala (head to head) menyaksikan Belgium dan Itali pernah bertemu sebanyak 22 kali dan The Azzuri menang 14 kali manakala The Red Devil menang 4 kali.

Belgium yang kita kenali kini dibarisi generasi emas bukanlah seperti 10 tahun yang lalu merupakan pasukan belasahan yang bergelut untuk mara ke kejohanan utama dunia.

Itali

Perlawanan – 22
Menang – 14
Seri – 4
Kalah – 4

Belgium

Perlawanan – 22
Menang – 4
Seri – 4
Kalah – 14

Belgium menyenaraikan Kevin De Bruyne untuk menentang Itali namun Eden Hazard tidak berada langsung dalam senarai nama pemain walaupun sebagai pemain simpanan.

Romelu Lukaku terlebih dahulu menguji bahagian pertahanan Itali yang terkenal dengan kekentalan namun tidak berakhir dengan jaringan.

Federico Chiesa yang mula menjadi pemain utama Itali cuba membalas apabila lolos di bahagian kiri namun sekadar mendapat sepakan penjuru yang tiada hasil.

Leonardo Bonucci meletakkan Itali di depan pada minit ke-13 ini merupakan gol pertama Leonardo Bonucci diperingkat antarabangsa yang berpunca dari sepakan percuma.

Namun gol tersebut dibatalkan oleh Video Assistant Referee (VAR) kerana offside.

Youri Tielemans mencuba dengan percubaan jarak jauh namun tersasar. Kevin De Bruyne pula merembat namun dengan selamba Giorgio Chiellini menanduk keluar.

Lima belas minit pertama perlawanan berlangsung dengan sangat menghiburkan dan saling berbalas serangan yang agak mengancam walaupun tiada gol yang sah terhasil.

Kevin De Bryune terus menunjukkan ancaman dengan rembatan kaki kiri kencang namun Gianluigi Donnarumma pula mempamerkan aksi menyelamat bertaraf dunia satu layangan badan yang menawan.

Belgium datang lagi dengan serangan balas, Kevin De Bruyne melorongkan bola kepada Romelu Lukaku dan bergelek melepasi pemain Itali.

Rembatan Lukaku mencari far post berjaya ditepis keluar Gianluigi Donnarumma.

Itali membalas kembali dengan rembatan Federico Chiesa yang dihadang Toby Alderweireld dan terbias dan bola tepat sampat ke tangan Thibaut Courtois.

Lorenzo Insigne pula cuba melakukan sepakan lencong dari luar kotak penalti namun bola agak tinggi dari palang gol.

Sepakan percuma pendek Itali mudah dipatahkan Belgium namun bola tidak dikeluarkan dengan kemas dan dihantar kepada Marco Veratti.

Nicolo Barella segera menerima bola dari Marco Veratti melarikan bola sebelum melepaskan rembatan padu menewaskan Thibaut Courtois pada minit ke-31.

Lorenzo Insigne telah menggandakan kedudukan buat Itali pada minit ke-44 dengan satu larian solo dari sebelah kiri padang.

Kemudian Lorenzo Insigne telah memotong masuk ke tengah melepasi pemain Belgium terkesima sebelum melencongkan bola dari kejauhan.

Thibaut Courtois melayangkan badan dengan penuh regangan namun gagal menyentuh bola yang menerobos jaring.

Sejurus selepas itu Giovanni Di Lorenzo telah menyepak kaki Jeremy Doku dan pengadil menghadiahkan sepakan penalti dan pemeriksaan semula VAR juga bersetuju itu adala penalti.

Satu tindakan sia-sia dari Giovanni Di Lorenzo. Romelu Lukaku tiada masalah untuk menewaskan Gianluigi Donnarumma yang cemerlang dalam tempoh 45 minit pertama.

Perlawanan separuh masa kedua terus berlangsung dengan rancak dan jaringan Romelu Lukaku tidak memberi keselesaan untuk Itali yang memerlukan gol tambahan.

Gol Lukaku itu menjadi pemangkin kepada semangat Belgium untuk terus mencari gol penyamaan.

Romelu Lukaku terlepas peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan dari bola hantaran cantik Kevin De Bruyne tapi sayang tolakan Lukaku telah terkena paha Leonardo Spinazzola.

Itali segera membalas dengan serangan pantas Nicolo Barella telah melakukan umpanan cantik kepada Ciro Immobile namun sentuhan pertamanya kelaut mensia-siakan peluang.

Itali datang lagi, kali ini Lorenzo Insigne melakukan lambungan maut namun Leonardo Spinazzola yang hanya berhadapan dengan Thibaut Courtois melakukan voli yang kelaut.

Lorenzo Insigne memaksa Courtois bekerja keras untuk melayangkan badan apabila melakukan satu rembatan lagi rembatan lencong.

Nacer Chadli yang masuk menggantikan Thomas Menunier pada minit ke-69 terus berfungsi dengan hantaran cantik namun gagal ditanduk tepat Lukaku dan Thorgan Hazard pula telah terlajak ke depan.

Namun malang menimpa Nacer Chadli yang hanya mampu bermain selama lima minit sahaja dipadang kerana kecederaan dan digantikan Dennis Praet.

Leonardo Spinazzola mengalami kecederaan dan terpaksa diusung keluar selepas menerima rawatan di padang. Mungkin kempen EURO 2020 sudah berakhir buat Spinazzola.

Jeremy Doku tidak mengenal erti penat apabila secara solo memotong masuk dari kiri melepasi beberapa orang pemain Itali, rembatannya pula sedikit melepasi palang.

Tempoh 10 minit terakhir menyaksikan Belgium terus menekan untuk mencari gol penyamaan dan Itali kental bertahan menanti peluang melakukan serangan balas.

Gol dicari Belgium tidak kunjung tiba dan Itali mara ke separuh akhir untuk bertemu Sepanyol yang beraksi lebih awal.

Belgium Starting XI : Thibaut Courtois, Toby Alderweireld, Thomas Vermaelen, Jan Vertonghen, Thomas Meunier, Youri Tielemans, Axel Witsel, Thorgan Hazard, Jeremy Doku, Kevin De Bruyne, Romelu Lukaku.

Subs: Dedryck Boyata, Yannick Carrasco, Matz Sels, Dries Mertens, Jason Denayer, Leander Dendoncker, Christian Benteke, Nacer Chadli, Michy Batshuayi, Leandro Trossard, Dennis Praet, Thomas Kaminski.

Italy Starting XI : Gianluigi Donnarumma, Giovanni Di Lorenzo, Leonardo Bonucci, Giorgio Chiellini, Leonardo Spinazzola, Nicolo Barella, Jorginho, Marco Verratti, Federico Chiesa, Ciro Immobile, Lorenzo Insigne.

Subs: Salvatore Sirigu, Manuel Locatelli, Andrea Belotti, Domenico Berardi, Matteo Pessina, Emerson Palmieri, Francesco Acerbi, Bryan Cristante, Federico Bernardeschi, Alessandro Bastoni, Rafael Toloi, Alex Meret.

Referee: Slavko Vincic (Slovenia).

BACA:  EURO 2020: Turki 0-2 Wales