Thierry Henry Calon Utama Untuk Menjadi Pengurus Aston Villa

Legenda Arsenal, Thierry Henry dicanang bakal mengambil alih tugas selaku pengurus Aston Villa yang baru, menggantikan tempat Steve Bruce yang baru sahaja dipecat beberapa hari yang lalu.

Bruce dipecat dari tugasnya selepas Aston Villa sekadar mencatatkan satu kemenangan dari 9 perlawanan terakhir mereka.

Henry dijangka mengambil alih tugas sebagai pengurus Aston Villa yang baru tidak lama lagi.

Selain Henry, Aston Villa juga sedang menilai seorang lagi calon iaitu bekas pengurus Liverpool yang kini menguruskan Celtic, Brendan Rodgers.

Sekiranya salah seorang daripada mereka menjadi pengurus Aston Villa yang baru, bekas pemain pertahanan John Terry dijangka akan dilantik menjadi pembantu pengurus atau jurulatih pasukan utama berdasarkan pengaruh yang dimiliki Terry terhadap pasukan tersebut.

Aston Villa pada mulanya menyenaraikan 5 calon untuk menggantikan tempat Bruce, tetapi selepas penelitian lebih lanjut, hanya nama Henry dan Rodgers sahaja yang tinggal.

Menurut Sky Sports, Henry telah mengadakan perbincangan dengan pihak atasan Aston Villa mengenai kekosongan tersebut. Beliau dilaporkan menerima reaksi positif dari pegawai Aston Villa tetapi Rodgers dilihat calon lebih selamat kerana pengalaman beliau menguruskan Swansea dan Liverpool sebelum.

Brendan Rodgers juga disenarai pendek Aston Villa.

Tidak diketahui sama ada Rodgers berminat untuk mengambil alih Aston Villa yang kini bermain di Liga Championship.

Sekiranya Rodgers tidak berminat dengan tawaran tersebut, Henry mungkin akan dinamakan sebagai pengurus Aston Villa yang baru dalam masa terdekat sekiranya perbincangan mengenai kontrak berjalan dengan baik.

Walaupun berjaya membawa Aston Villa mara sehingga ke perlawanan akhir ‘Play-off’ musim lepas, Bruce menerima tekanan hebat kerana permulaan buruk yang dicatatkan anak buahnya. Kemuncaknya adalah ketika mereka seri 3-3 di tempat sendiri menentang kelab tercorot, Preston.

Kemarahan peminat Aston Villa jelas kelihatan dalam perlawanan tersebut sehingga seorang peminat membaling kubis ke arah Bruce kerana kecewa dengan prestasi pasukan. Dengan pemecatan ini, Bruce merupakan pengurus pertama kehilangan kerja di Liga Championship musim ini.

Kesian Steve Bruce. Peminat sendiri membaling kubis ke arahnya

Henry pula masih lagi bersama Belgium sebagai pembantu kepada Roberto Martinez. Beliau memainkan peranan penting dalam membantu Belgium mencatatkan kedudukan terbaik yang pernah dicapai pasukan tersebut dalam sejarah Piala Dunia, iaitu tempat ke-3 di Russia.

BACA:  Bintang Piala Dunia Croatia Dan Pemain Import Selangor Meringkuk Di Penjara