Tidak Kira Apa Berlaku, Souness Mahu FIFA Sediakan Tempat Untuk Ukraine Beraksi Di Pentas Piala Dunia

Graeme Souness percaya FIFA sepatutnya membenarkan Ukraine untuk beraksi di pentas Piala Dunia 2022 walaupun mereka kalah di pusingan play-off.

Beliau bercakap tentang hal tersebut sebelum sepak mula perlawanan yang menemukan antara Ukraine bertemu Scotland awal pagi tadi.

Scotland sebenarnya sangat berharap mahu melayakkan diri ke pentas Piala Dunia pertama mereka sejak 1998, sementara Ukraine pula mahu melayakkan diri buat kali kedua selepas mereka berjaya layak pada tahun 2006.

Ukraine pada ketika ini sedang berdepan masalah dalaman dengan negara jira mereka, Russia sejak Februari lalu dan masih berlanjutan sehingga hari ini.

Bekas pemain kebangsaan Scotland itu menegaskan yang beliau mahu melihat skuad kendalian Oleksandr Petrakov itu beraksi di pentas Piala Dunia Qatar nanti tidak kira apa pun keputusan di pusingan play-off.

“Ini adalah emosi paling pelik yang pernah saya rasakan dalam dunia bola sepak. Saya Scottish, saya ketua pasukan bola sepak mereka, setiap perlawanan saya mainkan saya sangat terdesak mahu mencatatkan kemenangan. Tapi untuk malam ini, saya ada rasa macam-macam perasaan.”

Jelas Souness kepada Sky Sports.

“Dalam detik-detik saya termenung, saya selalu berfikir bagaimana pentingnya bola sepak untuk kita semua. Tapi apa yang berlaku di Ukraine sekarang malampaui semua itu. Ini soal hidup dan mati.”

Legenda Liverpool itu kemudiannya menambah lagi dengan menyatakan:

“Kita sedang melalui satu hal yang tak pernah kita lihat sebelum ini. Ia hanya mengambil masa empat jam sahaja untuk tiba dari tempat di mana kita berdiri sekarang. Ia tak berlaku terlalu jauh. Ia mungkin akan melawat kita satu hari nanti.”

“Kita perlu sokong Ukraine, sentiasa berada di belakang mereka, bola sepak memainkan peranan besar dalam kehidupan ramai orang.”

“Bagi saya, apa yang perlu FIFA lakukan, FIFA perlu kata tak kira apa pun berlaku malam ini, pasukan ini tetap akan ke Piala Dunia.”

“Jadikan salah satu kumpulan itu ada lima pasukan, Ukraine perlu layak ke Piala Dunia, hal itu bertujuan untuk memastikan nama Ukraine akan terus ada di fikiran semua orang.”

Ukraine walau bagaimanapun berjaya menewaskan Scotland 3-1, dan mereka selepas ini akan turut beraksi bertemu Wales di pentas perlawanan akhir pusingan play-off.

Graeme Souness sementara itu turut dihentam teruk oleh pelbagai pihak sebelum ini ketika awal beliau menyuarakan pendapatnya mahu Ukraine tewaskan negaranya sendiri, Scotland.

Graeme Souness Mahu Ukraine Tewaskan Negaranya Dan Memenangi Gelaran Piala Dunia Qatar

Bekas pemain midfield Scotland, Graeme Souness tampil mengeluarkan kenyataan yang agak kontroversi selepas beliau mendedahkan hasratnya mahu melihat Ukraine menjuarai gelaran Piala Dunia tahun ini.

Bekas ketua pasukan kebangsaan Scotland itu mahu Ukraine memenangi pertandingan terbesar bola sepak itu pada tahun ini, sebagai tanda sokongan kepada negara tersebut yang kini diserang oleh Russia.

Beliau turut menganggap yang seluruh dunia sebenarnya turut mahu menyokong Ukraine kerana tidak suka dengan apa yang Russia lakukan.

Bercakap menjelang aksi peringkat separuh akhir play-off kelayakan Piala Dunia yang menemukan antara Scotland bertemu Ukraine itu, Souness mendedahkan bahawa:

“Saya bukan hanya sekadar mahu lihat Ukraine layak, saya mahu mereka menang. Sedalam mana lagi kamu mahu tanam kepala kamu dan tak mahu sedar serta melihat bagaimana situasi dunia pada ketika ini.”

“Adakah kamu akan sedar selepas seseorang menekan butang senjata nuclear?”

“Emosi saya ketika saya fikir tentang itu secara lebih mendalam adalah lebih penting berbanding bola sepak, ia mesej jelas untuk membuktikan yang tindakan Russia tak boleh diterima. Seluruh dunia perlu bersatu dan beritahu mereka itu.”

Wales pada ketika ini sedang menanti pemenang dalam perlawanan tersebut, untuk aksi perlawanan akhir play off kelayakan Piala Dunia Qatar nanti.

Hamish Husband, jurucakap kepada kelab penyokong Scotland jelas sekali tidak gembira dengan komen dari Graeme Souness itu.

“Saya faham apa dia sampaikan, tapi agak mengecewakan untuk mendengar seorang bekas ketua pasukan menyokong pasukan lain yang akan bertemu pasukan dia.”

Stephen Luczka, wakil dari kumpulan penyokong sukan UK turut mendedahkan:

“Malam ini mungkin mengatasi sukan. Saya setuju perlawanan ini lebih penting kepada Ukraine jika melihat dari segi emosi, tapi dari segi bola sepak, ia lebih penting untuk Scotland.”

Sebelum ini Hector Bellerin turut pernah bersuara tentang hal ini dan menganggap sokongan ramai terhadap Ukraine agak berlebih-lebihan.

Bellerin Persoal Mengapa Krisis Di Ukraine Dapat Lebih Perhatian Berbanding Palestin

Hector Bellerin tampil berkongsi pandangan beliau tentang situasi yang berlaku di Ukraine pada ketika ini dengan beliau mempersoalkan mengapa ia mendapat perhatian yang lebih berbanding konflik di negara lain.

Beliau merasakan yang isu peperangan di Ukraine mendapat perhatian melampau dari pelbagai pihak namun negara lain yang ditindas seolah tak dipandang.

Dunia bola sepak hari ini menunjukkan sokongan penuh kepada Ukraine selepas Presiden Rusia, Vladimir Putin melancarkan serangan ke negara jiran mereka itu.

Hal itu mendapat perhatian dari ramai pihak dan Russia berdepan hukuman yang sangat teruk seperti penggantungan dari menyertai pertandingan Eropah dan Piala Dunia.

Melihat hal itu, Bellerin merasakan yang ia sangat tidak adil untuk negara lain kerana mereka tak dapat perhatian yang sama dan mereka seolah-olah sekadar diabaikan.

Beliau percaya yang bangsa lain dan konflik lain jelas sekali diabaikan dan tak mendapat perhatian seperti mana Ukraine dapat.

Bercakap kepada La Media Inglesa menurut Marca, beliau menjelaskan bahawa:

“Ia agak sukar untuk melihat apa yang buat kita lebih tertarik dengan peperangan ini berbanding yang lain.”

“Saya tak tahu adakah ia kerana mereka lebih macam kita atau kerana konflik lain boleh memberi kesan kepada kita dari sudut pandangan ekonomi atau pelarian.”

Bekas bintang Arsenal itu kemudiannya meneruskan perbicaraannya dengan membangkitkan isu Palestin, Yemen dan Iraq untuk memperkukuh kenyataan beliau.

“Peperangan di Palestin jelas sekali diam, tak ada sesiapa bercakap tentang itu.”

Tambah Bellerin lagi.

“Yemen, Iraq… Sekarang Rusia tak dibenarkan untuk beraksi di pentas Piala Dunia merupakan satu hal yang negara lain dah lama hadap.

Bellerin turut menegaskan yang cara bagaimana media tidak membuat liputan tentang peperangan dan konflik di tempat lain nampak ada unsur perkauman.

“Sikap perkauman telah membuatkan ramai yang menutup mata tentang konflik lain dan memberi perhatian kepada isu ini.”

“Ia juga menunjukkan yang mereka tak ada rasa simpati kepada nyawa lain yang terkorban di pelbagai konflik lain dan kita mengutamakan hal-hal yang berlaku di sekitar kita sahaja.”

Hal ini sememangnya bukan hanya Bellerin seorang sahaja yang utarakan namun pujian harus diberikan kepada bekas bintang Arsenal itu kerana berani untuk bersuara secara terbuka.

Sikap UEFA dan FIFA menunjukkan seolah-olah mereka adalah puak paling suka penindasan dan kempen anti perkauman yang mereka canang selama ini hanya sampah semata-mata.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Souness: Mbappe Tidak Setaraf Messi dan Tidak Akan Pernah....