Tiga Set Kesebelasan Utama Yang England Bakal Gunakan Bertemu Scotland

England sedang dalam usaha mereka untuk mencatatkan kemenangan kedua berturut-turut dalam saingan Euro 2020 selepas kejayaan menewaskan Croatia 1-0 sebelum ini.

Skuad The Three Lions akan melayan kunjungan seteru utama mereka, Scotland di Wembley awal pagi nanti untuk aksi perlawanan kedua peringkat kumpulan D.

England memulakan kempen Euro 2020 dengan cemerlang selepas mereka berjaya menundukkan finalis Piala Dunia 2018, Croatia 1-0.

Sementara untuk Scotland pula, mereka terpaksa berdepan dengan kekalahan 2-0 di tangan Czech Republic ketika aksi perlawanan pertama mereka sebelum ini.

Skuad kendalian Steve Clarke itu dilihat perlu mencatatkan kemenangan dalam aksi perlawanan bertemu England, bagi menghidupkan peluang untuk mereka mara ke peringkat seterusnya.

Secara logiknya, Scotland akan bermain mati-matian di London untuk memastikan mereka masih mampu untuk mara ke peringkat kalah mati.

Walau bagaimanapun, lawan mereka selepas ini merupakan pasukan yang dianggap sebagai pilihan untuk memenangi pertandingan ini.

Senarai 26 pemain dalam skuad England dipenuhi oleh pemain di posisi serangan dengan dibarisi oleh pemain seperti, Phil Foden, Jack Grealish, Mason Mount, Raheem Sterling dan Jadon Sancho untuk dipilih oleh Southgate.

Dan dengan The Three Lions merupakan calon pilihan untuk memenangi pertandingan ini, England dilihat lebih bersemangat untuk memburu kemenangan seterusnya memastikan tempat untuk mereka layak ke pusingan seterusnya.

Ketua pasukan Manchester United, Harry Maguire turut berada dalam skuad dan beliau dilihat sudah mendapat tahap kecergasan terbaiknya untuk kembali beraksi.

Maguire merupakan pilihan utama Southgate di posisi centre-back ketika beliau cergas, tapi Tyrone Mings juga telah mempamerkan rentak permainan yang cukup mengagumkan sejak kebelakangan ini.

Oleh yang demikian, ada kemungkinan untuk Southgate mengekalkan kesebelasan yang sama di posisi back four beliau dengan menurunkan Mings, Stones, Walker dan Trippier.

Jordan Henderson juga sedang berusaha untuk mendapatkan rentak persembahan terbaiknya selepas beliau sebelum ini terpaksa berehat panjang kerana dibelenggu masalah kecederaan.

Namun begitu, sukar untuk melihat Southgate memecah gandingan Declan Rice dan Kalvin Phillips yang dilihat sangat berkesan ketika ini.

Raheem Sterling juga telah membuktikan yang aksi hambar beliau diperingkat kelab tidak dibawa ke skuad kebangsaan, selepas beliau berjaya menjaringkan gol untuk England sebelum ini.

Masalah terbesar Southgate ketika ini adalah untuk memilih siapa antara Phil Foden dan Jack Grealish untuk diturunkan sebagai kesebelasan utama.

Sementara itu, Harry Kane yang dianggap sebagai salah seorang pemain penyerang terhebat dunia ketika ini, bersama Mason Mount sepertinya bakal mengesahkan tempat mereka dalam senarai kesebelasan utama.

Berikut merupakan tiga kesebelasan utama yang boleh digunakan oleh England ketika bertemu Scotland awal pagi nanti.

Formasi: 4-3-3

Kesebelasan Utama: Pickford; Walker, Stones, Mings, Trippier; Phillips, Rice, Mount; Foden, Sterling, Kane.

Berdasarkan persembahan semasa England ketika bertemu Croatia sebelum ini, rasanya Southgate mungkin akan mengekalkan kesebelasan yang sama tanpa melakukan sebarang pertukaran.

Kehilangan paling nyata dalam kesebelasan ini adalah Jack Grealish, yang mana hal itu tidak disenangi oleh para peminat yang mahu melihat bintang Aston Villa itu turun beraksi.

Namun begitu, Gareth Southgate bukanlah jenis seseorang pengurus yang akan patuh dan ikut saja akan kemahuan para penyokong.

Jika Southgate mahu melakukan perubahan, beliau mungkin akan cuba dengan cara berikut.

Formasi: 4-3-3

Kesebelasan Utama: Pickford; James, Stones, Mings, Shaw; Rice, Phillips, Mount; Foden, Sterling; Kane.

Mengikut laporan terbaru dari media UK, Southgate sepertinya mahu melakukan perubahan di posisi full back, dengan Reece James dan Luke Shaw berkemungkinan akan diturunkan untuk beraksi, menggantikan Walker dan Trippier.

Barisan pemain lain akan kekal sama dengan England mahu memburu kemenangan supaya mereka boleh bertenang pada aksi perlawanan terakhir peringkat kumpulan nanti.

Bagaimana pula jika England mahu bermain dengan tiga pertahanan?

Formasi: 3-4-3

Kesebelasan Utama: Pickford; Walker, Stones, Mings; Trippier, Chilwell; Rice, Mount; Foden, Sterling, Kane

Satu lagi pilihan yang Southgate ada adalah dengan bermain tiga pertahanan, yang mana mungkin akan beliau gunakan memandangkan Maguire masih belum cergas dan untuk menyamai formasi yang dilakukan oleh Scotland.

Ia bermaksud, Ben Chilwell dan Kieran Trippier boleh bermain sebagai wing-back dan Walker boleh bermain di posisi back three.

Terdapat juga laporan yang menyatakan Southgate sebelum ini sudah menggunakan Reece James dan Shaw di posisi back three ketika sesi latihan terakhir skuad England semalam.

Oleh yang demikian, berkemungkinan besar juga kedua-dua pemain itu akan diturunkan sebagai kesebelasan utama dalam perlawanan ini.

Senarai skuad England yang beraksi di kejohanan Euro 2020:

Penjaga Gol: Aaron Ramsdale, Sam Johnstone, Jordan Pickford

Pertahanan: Ben Chilwell, Conor Coady, Reece James, Harry Maguire, Tyrone Mings, Luke Shaw, John Stones, Ben White, Kieran Trippier, Kyle Walker

Midfielders: Jude Bellingham, Jordan Henderson, Mason Mount, Kalvin Phillips, Declan Rice

Penyerang: Dominic Calvert-Lewin, Phil Foden, Jack Grealish, Harry Kane, Marcus Rashford, Bukayo Saka, Jadon Sancho, Raheem Sterling

BACA:  Lima Sebab Kenapa Rakyat Malaysia Perlu Menyokong England di Euro 2020