Timo Werner Rasa Bersalah Atas Pemecatan Frank Lampard

Pemain penyerang bereputasi tinggi Chelsea, Timo Werner tanpa berselindung telah mengakui beliau rasa bersalah atas pemecatan Frank Lampard selaku pengurus Chelsea pada penghujung Januari lalu.

Timo Werner hadir ke Chelsea dengan reputasi setinggi langit membawa tanda harga yang agak masuk akal sebanyak £47.5 juta dibeli Chelsea daripada RB Leipzig namun semuanya tidak indah.

Kenyataan Werner bahawa beliau terkejut melihat saiz pertahanan di liga Perdana Inggeris juga membuatkan ramai terkejut seakan memberi satu isyarat tidak baik.

Penyerang Jerman ini membuka akaun jaringan bersama Chelsea pada bulan Oktober ketika seri 3-3 menentang Southampton atau Liverpool B.

Sifat membazirkan peluang Werner di depan gol sangat teruk sehingga mampu membuatkan setan tepuk dahi ditambah dengan prestasi hambar ketika beraksi mewujudkan keputusan perlawanan yang teruk.

Werner kemarau jaringan dalam 14 perlawanan dan menamatkan kegersangan itu ketika menentang Newcastle pada awal Februari selepas Lampard dipecat.

Dalam satu temuramah bersama Sky Sports sebelum perlawanan menentang Manchester United, Timo Werner mengakui bertanggungjawab dan tercuit kekesalan selepas Lampard ditendang keluar.

“Dalam tempoh ketika aku tidak menjaringkan gol, itu merupakan detik terburuk dalam karier aku kerana aku tidak pernah terlepas sebegitu banyak peluang yang besar.”

“Aku juga tidak pernah kemarau gol untuk satu tempoh yang panjang, jadi aku gembira bila dapat menamatkannya dalam perlawanan lepas. Satu detik yang sukar.”

“Bila kau datang sini bermain sebagai penyerang dan menjadi pemain yang menjaringkan gol.”

“Sudah pasti aku sedikit rasa bersalah bila aku terlepas banyak peluang dengan pengurus lama(Lampard) dan juga diri sendiri kerana aku mahu menjaringkan gol setiap masa dan sebanyak mana yang boleh.”

Timo Werner juga mengakui jika beliau tidak kemarau gol dan menjaringkan empat atau lima gol mungkin Lampard akan selamat.

“Sudah pasti jika aku menjaringkan emapat atau lima gol mungkin pengurus lama akan masih ada disini kerana mungkin kami akan menang dua atau tiga perlawanan tapi kita tidak boleh mengenang kisah lama kerana banyak lagi perlawanan yang mendatang.”

“Masa lalu sudah terjadi dan sudah pasti aku ada rasa bersalah tapi dalam bola sepak kau kena maju ke depan dan sekarang kami ada banyak perlawanan besar dan kau kena pandang ke depan terutamanya ketika kau dah ada pengurus baru.”

Walaupun terpalit rasa bersalah dengan Lampard, Werner sedar beliau kena move on dan memberi yang terbaik dibawah kendalian Thomas Tuchel pula.

“Semua orang ada permulaan baru, aku juga tidak terkecuali kerana aku telah terlepas begitu banyak peluang dan banyak mata.”

“Ini akan menjadi permulaan baru dan setakat ini berjalan dengan baik.”

Dengan reputasi yang agak gah dari Werner yang menjadi mesin gol di Jerman sebelum ini beban dan tekanan yang agak berat dipikul Werner kerana sudah pasti ramai mahu melihat Werner menjadi pencetak gol di England juga.

BACA:  RB Leipzig Nafi Ada Berunding Dengan Chelsea Berkait Perpindahan Timo Werner