Undian Liga Juara-Juara UEFA : Apa Yang Perlu Anda Tahu

Menjelang pertengahan musim lalu, pasukan Chelsea boleh diibaratkan bagaikan teratai layu di tasik madu dek prestasi yang terumbang-ambing, dan pengurusan tertinggi kelab terus mengambil langkah drastik dengan memecat pengurus yang juga lagenda kelab sebagai pemain, Frank Lampard, dan menggantikannya dengan seorang pengurus berbangsa Jerman.

Thomas Tuchel, bekas pengurus Borussia Dortmund dan Paris Saint Germain diberi kepercayaan untuk mengemudi kelab London ini dan masuk ke peringkat akhir musim lalu, pengurus ini tampil menggembirakan bukan setakat pengurusan tertinggi kelab, malah di kalangan para penyokong juga.

Tuchel berjaya membawa Chelsea layak ke dua perlawanan akhir – Piala FA dan juga Liga Juara-Juara Eropah (UCL), selain berjaya mengejar kedudukan liga dan menamatkan saingan di tangga keempat.

Tewas dalam perlawanan akhir Piala FA kepada Leicester City, para pemain The Blues bangkit dalam perlawanan akhir UCL di mana mereka menewaskan seteru Liga Perdana Inggeris, Manchester City di Porto, sekaligus menamatkan penantian lapan tahun kelab untuk menjulang piala yang paling berprestij di benua Eropah ini.

Masuk musim baru, Chelsea bakal tampil untuk mempertahankan kejuaraan mereka dan berikut adalah apa yang perlu anda tahu tentang majlis undian ini.

Tarikh : 26 Ogos 2021

Hari : Khamis

Waktu : 12 tengah malam waktu Malaysia, bersamaan dengan 5 petang waktu musim panas British

Siapa yang terlibat dalam undian ini?

26 pasukan telah layak secara automatik ke peringkat kumpulan menerusi kedudukan akhir liga tempatan dan juga kejuaraan Liga Europa. Baki kelayakan enam pasukan ditentukan menerusi perlawanan kelayakan play-off.

Kesemua pasukan yang layak dan bakal layak dibahagikan ke dalam empat balang, dengan balang 1 diisi oleh pasukan yang memenangi liga negara masing-masing mengikut ranking kedudukan MA mereka di kalangan MA dalam UEFA, manakala balang-balang yang seterusnya menempatkan pasukan mengikut ranking coefficient kelab.

Senarai pasukan mengikut balang adalah seperti di bawah.

Balang 1 : 

Chelsea – juara bertahan UCL
Bayern Munich – juara Bundesliga
Manchester City – juara Liga Perdana Inggeris
Atletico Madrid – juara La Liga
Inter Milan – juara Serie A
Sporting – juara Primeira Liga
Lille – juara Ligue 1
Villareal – juara Liga Europa

Balang 2 : 

Real Madrid – naik juara La Liga
Barcelona – ketiga La Liga
Sevilla – keempat La Liga
Manchester United – naib juara Liga Perdana Inggeris
Liverpool – ketiga Liga Perdana Inggeris
Juventus – keempat Serie A
Paris Saint Germain – naib juara Ligue 1
Borussia Dortmund – naib juara Bundesliga

Balang 3 :

Porto – Primeira Liga
Ajax Amsterdam – Eredivise
RB Leipzig – Bundesliga
Atalanta – Serie A
Zenit St Petersburg – Liga Perdana Russia

Balang 3 atau 4 :

Besiktas (Turki)
Dynamo Kiev (Ukraine)
Dinamo Zagreb (Croatia) atau Sheriff Tiraspol (Moldova)*
Shakhtar Donetsk (Ukraine) atau Monaco (Perancis)*
RB Salzburg (Austria) atau Brondby (Denmark)*
Benfica (Portugal) atau PSV Eindhoven (Belanda)*

Balang 4 : 

Brugge (Belgium)
AC Milan (Itali)
Wolfsburg (Jerman)
Young Boys (Switzerland) atau Ferencvaros (Hungary)*
Ludogrets (Bulgaria) atau Malmo (Sweden)*

*atau bermaksud pasukan yang menang dalam perlawanan kelayakan akan layak ke peringkat kumpulan UCL.

Syarat-Syarat Undian

Syarat utama undian UCL ini adalah pasukan yang bertanding di liga yang sama tidak akan bertemu sesama sendiri di peringkat kumpulan. Contohnya, Chelsea tidak akan mendapat Manchester United atau Liverpool dalam kumpulannya, sebaliknya berdepan kemungkinan mendapat pasukan seperti Real Madrid, Paris Saint-Germain, Barcelona, Juventus, Sevilla atau Borussia Dortmund.

Untuk balang 3 dan 4 pula, mana-mana pasukan boleh diundi sebagai lawan Chelsea di peringkat kumpulan nanti.

Kemungkinan kumpulan yang paling sukar buat Chelsea dalam mempertahankan kejuaraan adalah : Paris Saint-Germain, Atalanta dan AC Milan.

Manakala kemungkinan kumpulan yang paling mudah di atas kertas buat Chelsea adalah : Sevilla, Ajax Amsterdam dan Brugge.

Tapi sebenarnya susah atau tidak sesuatu kumpulan tu bergantung kepada bagaimana pasukan tu ambil langkah persediaan. Tapi kalau dalam pasukan dari Russia, lama juga tu nak naik kapal terbang.

BACA:  Rahsia Haaland Dalam Kocek De Ligt