Kejayaan Maghribi Bukan Satu Kebetulan Tetapi Hasil Pembangunan Bola Sepak

Usaha Maghribi yang telah mencurahkan jutaan wang setiap tahun untuk pembangunan bola sepak secara menyeluruh kini tampak mula membuahkan hasil yang tidak ternilai lagi.

Dengan segala usaha yang dilakukan oleh Persekutuan Bola Sepak Maghribi (FRMF) kini meletakkan Maghribi di peta separuh akhir Piala Dunia 2022.

Pencapaian penuh bersejarah apabila menjadi pasukan negara Afrika pertama ke separuh akhir dan pasukan selain Eropah dan Amerika Selatan ketiga melakukan pencapaian ini selepas USA dan Korea Selatan.

Jalan-jalan di Casablanca dan Rabat dibanjiri oleh rakyat Maghribi dengan pelbagai ragam bersesak dengan but kereta terbuka, bertenggek dalam kumpulan dengan empat atau lima oranga di atas skuter.

Kanak-kanak turut dibawa berarak dengan digendon di bahu — beribu-ribu daripada mereka, meraikan perjalanan bersejarah Maghribi ke separuh akhir Piala Dunia dan kini menjadi empat pasukan terbaik dunia.

Itulah situasi terkini di Maghribi berbanding minggu lalu di mana beribu-ribu orang turun ke jalanan untuk demonstrasi awal di ibu negara.

Dianggarkan 3,000 membanjiri jalan raya bagi membantah kenaikan inflasi, kos sara hidup dan penindasan, kerana beberapa penulis blog dan wartawan pembangkang telah dipenjarakan.

Tinjauan BBC terhadap anak muda Maghribi pada 2019 mendapati bahawa 70 peratus darpada mereka mahu berhijrah – dan itu sebelum zaman kemelesetan, sektor pelancongan merosot kerana wabak dan harga bahan asas seperti tepung melonjak selepas Rusia menyerang Ukraine.

Namun kejayaan pasukan bola sepak Maghribi telah memberi keamanan dan kegembiraan tidak terhingga kepada negara membuatkan mereka terlupa akan desakan hidup walaupun hanya untuk seketika.

Terdapat kaedah atau cara untuk pasukan ranking ke-22 dunia itu mencipta kegilaan dengan melangkah lebih jauh ke dalam pertandingan ini daripada yang pernah dilakukan oleh mana-mana negara Afrika atau Arab sebelum ini.

Cara dan kaedahnya sudah diketahui ramai bukannya satu rahsia dan telah diamalkan oleh negara-negara Eropah, Maghribi menguruskannya dengan baik penuh intergriti.

Rahsianya adalah curahan wang atau pelaburang wang ke dalam pembangunan bola sepak secara menyeluruh termasuklah akar umbi hingga ke puncak pohon.

Raja Maghribi, Mohammed VI telah mencurahkan wang untuk membina akademi bola sepak yang telah menyalurkan bakat ke dalam liga profesional Maghribi, Botola, serta liga terkemuka di luar negara.

Idriss Diallo, presiden persekutuan bola sepak Ivory Coast, berkata bahawa pelaburan Maghribi dalam pembangunan belia memberikan visi untuk dijadikan contoh oleh semua negara di benua itu.

“Raja Maghribi telah meletakkan €10 juta ke dalam bola sepak setiap tahun dan mencipta akademi yang lebih hebat daripada Clairefontaine yang terletak di Perancis.” Ujar Diallo kepada L’Equipe.

**Clairefontaine, ialah pusat bola sepak kebangsaan yang pakar dalam melatih pemain bola sepak Perancis.

“Selain Afrika Selatan, tidak ada negara yang mempunyai pelaburan sebanyak Maghribi. Apa yang berlaku bukanlah kebetulan.”

Di benua Afrika selain Afrika Selatan, Maghribi adalah pasukan paling serius melaburkan wang dalam bola sepak dan kenyataan ini sudah terbukti di Piala Dunia dan tindakan ini pula disokong oleh pihak pemerintah tertinggi.

“Jika setiap negara Afrika cukup bernasib baik untuk mempunyai kerajaan yang memahami nilai pelaburan dalam bola sepak, kami akan sampai ke sana.”

“Antara lima dan 10 negara kita boleh melakukannya, dengan kemampuan kewangan. Tetapi ia adalah projek 10 tahun. Ramai yang tidak faham itu. Sebuah negara terlepas Piala Negara-Negara Afrika dan kemudian mengubah segala-galanya.”

Idriss Diallo mengeluh kerana Ghana tidak beruntung seperti Maghribi yang mendapat sokongan penuh dari pemerintah yang faham bahawa pembangunan bola sepak adalah projek jangka panjang.

FIFA Puji Komitmen Pembangunan Bola Sepak Maghribi

Badan induk bola sepak dunia, FIFA telah memuji usaha bersungguh-sunguh Maghribi dalam pembangunan bola sepak yang kini mula memeta nama sebagai kuasa besar bola sepak Afrika.

Hasil pembangunan ini menurut FIFA telah membolehkan Maghribi layak ke Piala Dunia buat kali keenam dengan liga domestik berkembang maju, kelab-kelab pula telah diangkat sebagai pasukan terhebat di benua Afrika.

Maghribi kini mempunyai reputasi kukuh dalam melahirkan pemain pertahanan yang boleh dipercayai, pemain tengah yang kreatif dan penyerang yang bergaya, adalah tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa Maghribi adalah lubuk bakat.

Kerana itulah FIFA telah memilih Maghribi untuk menjadi tuan rumah bengkel yang dikhaskan untuk Skim Pembangunan Bakat (TDS) pada jun yang lalu yang dilancarkan pada Februari 2020 oleh Ketua Pembangunan Global FIFA, Arsene Wenger.

Pujian dari FIFA akan keberkesanan pembangunan bola sepak Maghribi ini dilakukan melalui laman sesawang rasmi FIFA pada bulan Julai lalu bukannya selepas cemerlang di Piala Dunia.

Lebih daripada 50 pakar pembangunan dan penasihat teknikal serantau telah hadir ke Akademi Bola Sepak Mohammed VI untuk membincangkan strategi pembangunan bakat, berkongsi amalan terbaik dan menyediakan ruang untuk persatuan ahli FIFA yang lain untuk menyokong skim tersebut.

Persekutuan Bola Sepak Maghribi (FRMF) menumpukan seluruh tenaganya untuk matlamat ini, seperti yang ditegaskan oleh presidennya, Fouzi Lekjaa dalam ucapan perasmiannya di seminar itu:

“Pembangunan bola sepak di Maghribi diasaskan pada pendekatan segi tiga yang sepatutnya membentuk asas pembangunan mana-mana sistem: kemudahan, bakat dan kakitangan yang berkelayakan. Bersama-sama rakan sekerja saya di FRMF, saya yakin bahawa ketiga-tiga asas itu perlu ada untuk proses itu berkembang sebagaimana mestinya.”

Program Elit Kebangsaan dan Tempatan

FRMF sedang menunaikan janji-janjinya, memberi tumpuan pertama sekali kepada kemudahan di peringkat nasional dan tempatan. Titik tinggi dalam rancangan pembangunannya datang dengan pembukaan Akademi Bola Sepak Mohammed VI 2019.

Akademi Bola Sepak Mohammed VI dibangunkan di kawasan seluas 30 hektar dan menawarkan kemudahan serta peralatan terkini – semuanya mematuhi piawaian FIFA.

Permata tidak ternilai dalam bola sepak Maghribi, ia adalah salah satu akademi sukan terbesar dengan pencapaian tertinggi di dunia.

Dalam pada itu, pihak berkuasa Maghribi juga telah membangunkan kemudahan tempatan, seperti yang didedahkan oleh Lekjaa:

“Kami mempunyai pasukan yang menyelia pembangunan di seluruh 12 wilayah negara, bermula dengan pengesanan bakat, dengan pemain muda menghadiri akademi kelab. Itulah sebabnya kami telah melakukan usaha yang besar untuk memastikan kelab mempunyai akademi mereka sendiri.”

“Akademi tempatan adalah sama seperti akademi kebangsaan, hanya lebih kecil. Pemain terbaik dari wilayah pergi ke pusat kecemerlangan, yang mempunyai kakitangan kejurulatihan dan perubatan yang bekerja dengan pemain muda yang dilihat dalam bola sepak akar umbi dan membawa mereka ke peringkat seterusnya.”

“Itulah cara kitaran pembangunan kami direka bentuk. Ia bermula dengan pengesanan bakat di peringkat akar umbi, dengan bakat itu kemudian disalurkan ke kelab, akademi tempatan dan seterusnya ke pusat kecemerlangan negara.”

Bersempena dengan pembangunan kemudahan dan sebagai sebahagian daripada proses pengesanan bakat, FRMF juga berada di sekolah, cuba menutup keciciran serapat mungkin dan memastikan tiada individu yang berpotensi berbakat terlepas pandang melaluinya.

“Kami telah memulakan program pengajian sukan dengan Kementerian Pendidikan Kebangsaan untuk mewujudkan struktur sekolah di seluruh negara yang boleh menampung kanak-kanak lelaki dan perempuan bermain bola sepak sepanjang masa, menawarkan mereka jadual waktu yang disesuaikan dengan setiap peringkat persekolahan.” tambah Lekjaa. .

“Maghribi terdiri dari masyarakat muda dan orang muda kita mempunyai bakat yang masih mentah,” sambung presiden FRMF, yang juga berkata bahawa iklim Maghribi sesuai untuk bermain bola sepak.

“Kami cuba memberikan nilai tambah maksimum dari segi bola sepak supaya kami boleh mengambil bakat mentah itu pada usia sepuluh tahun dan membolehkan mereka menunjukannya dan meningkatkan permainan mereka. Ideanya adalah untuk menyediakan mereka untuk menjadi pemain profesional dan untuk mereka memulakan dan menyertai kelab.”

Dengan bakat yang ada dengan fasiliti yang sudah tersedia apa yang diperlukan dalam langkah seterusnya adalah orang yang berkelayakan untuk memastikan potensi itu dimanfaatkan sepenuhnya.

“Jika permainan akan berkembang, kami perlu mempunyai kakitangan profesional dengan keupayaan untuk menyampaikannya.” tambah Lekjaa.

“Itulah pautan penting yang kami usahakan dan melaburkan begitu banyak tenaga kami, semuanya dengan tujuan untuk merapatkan jurang dan memberi peluang kepada semua orang untuk meningkatkan kemahiran mereka dengan latihan yang disampaikan oleh Akademi Kebangsaan di peringkat amatur dan profesional.”

Dengan perancangan yang rapi dan pelaksanaan yang hampir sempurna membuatkan Pengarah Teknikal FIFA, Steven Martens mengiktiraf Maghribi sebagai peneraju program Skim Pembangunan Bakat (TDS).

BACA:  Piala Dunia 2022: Maghribi 0-0 Croatia