Kisah Vahid Halilhodzic, Jurulatih Paling Malang Yang Kempunan 3 Piala Dunia

Vahid Halilhodzic

Vahid Halilhodzic merupakan satu contoh terbaik kisah memilukan dan terpaling malang bagi seorang jurulatih yang kempunan di 3 Piala Dunia apabila dipecat selepas berjaya melayakkan pasukan ke Piala Dunia.

Bukan sekali tetapi 3 kali skrip yang sama terjadi kepada Vahid Halilhodzic memacu pasukan kebangsaan lepasi kelayakan Piala Dunia dan dipecat ketika pra-Piala Dunia.

Peristiwa malang ini menimpa Vahid Halilhodzic pada di Piala Dunia 2010, 2018 dan 2022. Pada Piala Dunia 2014, Vahid Halilhodzic berjaya membawa Algeria mara ke pusingan 16 terbaik.

Dalam sejarah bola sepak Algeria, mereka telah muncul di pusingan akhir Piala Dunia FIFA sebanyak empat kali iaitu pada edisi 1982, 1986, 2010 dan 2014.

Dan pada Piala Dunia 2014 di bawah bimbingan Vahid Halilhodzic Algeria merekodkan pencapaian terbaik mereka sepanjang penyertaan apabila lepas ke pusingan kalah mati.

Dan itulah juga pencapaian terbaik Vahid Halilhodzic sepanjang membimbing pasukan di Piala Dunia dengan malang bertimpa-timpa selepas meninggalkan Algeria.

2010 – Dibuang Ivory Coast

Pada bulan Mei 2008, Vahid Halilhodzic telah dilantik untuk melatih pasukan kebangsaan Ivory Coast, diketuai oleh Didier Drogba dan termasuk pemain handalan lain seperti Yaya Toure, Kolo Toure, Salomon Kalou, Emmanuel Ebouee dan Gervinho.

Dalam tempoh dua tahun tanpa kalah di kelayakan Afrika, pasukan itu layak untuk kedua-dua kejohanan Piala Negara-Negara Afrika 2010 di Angola dan Piala Dunia FIFA 2010 di Afrika Selatan.

Pada Januari 2010 dalam suku akhir Piala Negara-Negara Afrika 2010 menentang Algeria, Ivory Coast telah tersingkir selepas Madjid Bougherra menjaringkan gol penyamaan 2–2 pada masa kecederaan dan Hameur Bouazza menambah gol ketiga Algeria pada minit pembukaan masa tambahan.

Kekalahan itu datang sebagai kekecewaan besar bagi kebanyakan peminat bola sepak Ivory Coast, yang mana pasukan bola sepak negara memainkan peranan sosial utama dan sumber kebanggaan serta perpaduan negara.

Bola sepak menjadi jaksa pendamai terutamanya ketika negara itu sedang pulih daripada perang saudara 2002–07 dan bersedia untuk pilihanraya pertamanya pasca perang.

Akibatnya, Vahid Halilhodzic telah dipecat pada 27 Februari 2010, kurang empat bulan sebelum kejohanan akhir Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan. Sedih.

2018 – Dipecat Jepun

Pada 12 Mac 2015 Vahid Halilhodzic dilantik sebagai pengurus baharu pasukan kebangsaan Jepun menggantikan Javier Aguirre, yang telah dipecat kerana penglibatannya dalam siasatan mengatur perlawanan 2011 di Sepanyol.

Pada September 2016, pusingan akhir kelayakan Piala Dunia 2018 telah dimulakan. Enam pasukan termasuk Jepun, Arab Saudi dan Australia berebut dua tempat kelayakan yang ditawarkan.

Dalam perlawanan pertama Jepun secara mengejut dikalahkan 1–2 oleh UAE kerana gol Jepun yang tidak dibenarkan secara salah. Namun begitu, media Jepun menimbulkan persoalan mengenai pemilihan skuadnya.

Eksperimen Gila

Sejak itu, kritikan media terhadap strateginya dan pemilihan skuadnya telah menghantuinya namun itu tidak menghalang Halilhodzic untuk melakukan eksperimen yang agak gila.

Dia meninggalkan gaya permainan tradisional Jepun selama sedekad dengan permainan hantaran pendek, sebaliknya, dia menekankan pertarungan sengit untuk bola (duel) dan bola sepak pantas.

Tindakannya yang paling kontroversi ialah menggugurkan pemain bintang Keisuke Honda (AC Milan), Shinji Kagawa (Dortmund) dan Shinji Okazaki (Leicester).

Satu lagi panggilan kontroversi ialah meletakkan Hotaru Yamaguchi, pemain divisyen dua domestik, dalam kesebelasan utamanya.

Jepun menamatkan saingan kelayakan dengan 6 kemenangan, 2 seri, 2 kekalahan dengan 7 gol bolos, prestasi Jepun tidak konsisten, namun berjaya memperoleh kemenangan penting di saat genting untuk menjadi juara kumpulan kelayakan dan layak ke Piala Dunia 2018.

Pada dua ketika ini media Jepun buat sementara lebih tenang dan mengakui Halilhodzic betul dalam merencanakan strategi dan pemilihan skuadnya.

Namun cara Halilhodzic dipersoalkan kembali selepas prestasi buruk Jepun dalam aksi persahabatan antarabangsa pada Oktober dan November menentang Haiti, Brazil dan Belgium.

Padah Memuji Korea Selatan

Pada bulan Disember, Halilhodzic membawa pasukan kedua dan ketiga Jepun ke Piala Asia Timur 2017. Separuh daripada pasukan tidak pernah mendapat caps.

Pasukan Jepun yang lansung tidak berpengalaman ini tewas kepada Korea Selatan 1–4.

Media Jepun melihat ini sebagai kekalahan yang sangat memalukan. Tanpa menyedari persaingan bola sepak Jepun–Korea Selatan, Halilhodzic telah memuji Korea Selatan.

“Saya kagum dengan kuasa Korea Selatan yang meledak-ledak, teknik dan kawalan permainan. Korea Selatan menguasai kami dalam segala hal.”

Komennya membuatkan dirinya diserang bertubi-tubi oleh pihak media Jepun selama berminggu-minggu.

Dipecat kali kedua sebelum Piala Dunia

Berikutan aksi hambar dalam perlawanan persahabatan dengan pasukan bukan Piala Dunia — seri saat akhir dengan Mali dan tewas 1-2 kepada Ukraine membawa kepada pemecatan Halilhodzic pada awal April 2018.

Dengan Piala Dunia 2018 hanya berbaki dua bulan untuk dilangsungkan bekas pemain antarabangsa Jepun, Akira Nishino dinamakan ketua jurulatih baharu.

Tidak lama selepas pemecatan Halilhodzic, pemain tengah Jepun, Keisuke Honda, yang mempunyai hubungan yang renggang dengan pengendali Bosnia sepanjang 2017 berhubung taktik tegar Halilhodzic tampil membuat kritikan:

“Untuk menyerahkan diri saya kepada jenis bola sepak yang dimainkan Halilhodzic untuk dipilih, itu memalukan bagi saya. Saya berbangga kerana saya telah berpegang pada diri saya sendiri”.

Presiden JFA Kozo Tashima memberitahu pemberita pada sidang akhbar, bahawa keputusan buruk dan kekurangan “komunikasi dan kepercayaan” dengan pemain sebagai sebab pemecatan Halilhodzic .

2022 – Ditendang Maghribi

Pada Oktober 2018 Nantes menjadi destinasi Vahid Halilhodzic seterusnya selepas dipecat Jepun dengan mencatatkan rekod kelab apabila menang 5 perlawanan Ligue 1 seacara berturut-turut sejak kali terakhir Nantes melakukannya pada 2001.

Vahid Halilhodzic memacu Nantes melakukan rekod itu dengan menewaskan gergasi liga Perancis iaitu Lyon, Paris Saint-Germain, Amiens, Marseille dan Dijon.

Selepas semusim, Halilhodzic memutuskan untuk meninggalkan Nantes selepas perselisihan faham dengan pemilik dan presiden kelab Waldemar Kita dan Maghribi jadi pilihan pada Ogos 2019.

Vahid Halilhodzic memastikan Maghribi layak ke pusingan akhir Piala Dunia 2022 di Qatar dengan kemenangan agregat 5-2 ke atas DR Congo pada pusingan ketiga kelayakan CAF pada Mac 2022.

Bagaimanapun, Halilhodzic dipecat pada Ogos, menjadi pemecatan ketiganya daripada jawatan pasukan kebangsaan sebelum Piala Dunia setelah membawa pasukan layak.

Pengendali dari Bosnia itu mengalami nasib yang sama dengan Ivory Coast pada 2010 dan Jepun pada 2018, walaupun dia membawa Algeria ke pusingan 16 terakhir pada 2014.

Itu menjadikannya jurulatih paling malang dalam sejarah Piala Dunia dan lebih pedih lagi apabila melihat prestasi Maghribi dewasa ini.

Vahid Halilhodzic merasakan dia telah ditinggalkan “dalam hujan” menyaksikan Maghribi mara ke suku akhir Piala Dunia dan mungkin merasa ditinggalkan dalam banjir ‘kepala air’ selepas Maghribi ke separuh akhir.

Sayu Melihat Kecemerlangan Maghribi

Maghribi telah menikmati Piala Dunia yang menakjubkan tanpa Halilhodzic dan dengan cemerlang menjadi negara Afrika pertama yang mara ke separuh akhir Piala Dunia.

Ditanya mengenai pasukan Maghribi oleh So Foot, Halilhodzic berkata:

“Daripada berada di Qatar, saya berada di sini dalam hujan.”

“Saya benar-benar telah melaburkan diri saya dalam projek ini secara menyeluruh selama tiga tahun dan ia masih merupakan Piala Dunia yang saya akan terlepas. Nah, itulah kehidupan.”

Skrip hampir sama dengan Jepun apabila Halilhodzic dikecam kerana tidak memilih pemain tempatan yang mencukupi dan mengetepikan Hakim Ziyech, yang tidak beraksi dalam kempen kelayakan.

Tindakan Halilhodzic mengetepikan Ziyech membuatkan pemain itu mengumumkan persaraan dari bola sepak antarabangsa pada Februari 2022 namun kembali ke pangkuan Maghribi selepas Halilhodzic dipecat.

“Apabila anda tiba di sebuah negara, anda tidak mengenali semua pemain yang bagus. Jadi kami perlu mencari mereka,” tambah Halilhodzic.

“Berapa banyak pita yang saya tonton di Maghribi! Sekurang-kurangnya seribu. Saya mengemas kini 80 peratus pasukan. Kami perlu mencari mereka, pemain yang boleh bermain untuk pasukan kebangsaan.”

Skuad Maghribi Kini Adalah Acuan dan Air Tangan Halilhodzic

Tidak dapat dinafikan lagi kewujudan pasukan Maghribi di Piala Dunia 2022 adalah dari acuan dan air tangan Vahid Halilhodzic yang dibentuk sejak tahun 2019 lagi.

“Apa yang menjadikan seorang jurulatih boleh dipercayai adalah hasilnya. Dan tidak pernah pasukan Maghribi mendapat keputusan yang lebih baik daripada bersama saya dalam kelayakan Piala Dunia. Tujuh kemenangan, satu seri telah menjaringkan tiga gol setiap perlawanan secara purata.”

“Apa yang saya tidak hargai adalah kempen memburuk-burukkan, untuk mewujudkan permusuhan antara penyokong kelab yang berbeza, antara penduduk tempatan dan Maghribi di luar negara, bahawa rakyat tempatan akan dihalang daripada bermain untuk negara mereka.”

“Tekanan daripada persekutuan ini sudah lama berlaku. Mereka mahu saya mengambil tiga hingga empat pemain, manakala pasukan telah mencapai keputusan tanpa mereka. Saya tidak mengalah, kerana anda kehilangan kredibiliti anda apabila pemain merasakan yang kami putuskan untuk anda.”

“Ada yang enggan bermain untuk Maghribi kerana mereka lebih suka bermain untuk Sepanyol, Itali atau Perancis. Dan selepas itu, mereka berubah fikiran apabila ada Piala Dunia!”

“Saya merasakan bahawa dengan pasukan Maghribi yang saya bina, kita boleh melakukan sesuatu di Piala Dunia. Saya ingin menamatkan karier saya dengan kejayaan Piala Dunia dan katakan cukup!”

Kini Walid Regragui yang digelar ‘Kepala Avacado’ sebagai pengganti telah membawa Maghribi ke separuh akhir dan telah diangkat sebagai wira negara dengan memanggil semula Hakim Ziyech menyatukan kembali pasukan dengan suasana bilik persalinan yang harmoni dan stabil.

Vahid Halilhodzic pula hanya mampu berputih mata melihat usahanya kini membuahkan hasil namun mungkin kerana sikap keras kepalanya membuatkan dia sentiasa dipecat.

BACA:  Piala Dunia 2022: Jerman 1-2 Jepun