[VIDEO]: Magis Messi Benam Australia, Peminat Bahagia Berjaya Peluk GOAT

Lionel Messi menghasilkan dua momen magis dalam perlawanan persahabatan menentang Australia di Beijing pada malam tadi.

Kapten Argentina itu tidak menunggu lama untuk menghiburkan jutaan penonton yang menyaksikan perlawanan di stadium dan juga kaca televisyen apabila hanya memerlukan 81 saat untuk mencatat nama sebagai penjaring.

Selain merupakan jaringan terpantas yang pernah dihasilkan sepanjang kariernya, jaringan tersebut juga menjadi rekod peribadi baharu Messi selepas menjaringkan gol dalam tujuh perlawanan berturut-turut buat negaranya.

Pemenang anugerah Ballon d’Or sebanyak 7 kali itu melencongkan bola dari luar kotak penalti untuk mengamamkan Socceroos pada awal minit perlawanan.

Jaringan minit ke-2 yang dihasilkannya bermakna Messi kini telah merekodkan jaringan di setiap minit perlawanan sepanjang kariernya kecuali pada minit pertama perlawanan.

Beraksi di hadapan lebih 50,000 peminat yang dahagakan kelibatnya, bekas pemain Barcelona dan PSG itu hampir sahaja menjaringkan gol selang beberapa saat selepas jaringan pertamanya, namun percubaan beliau dari sudut agak sukar sekadar sipi mengegar jaring sebelah tepi.

Australia turut memberikan tekanan awal kepada Argentina dan hampir menyamakan kedudukan melalui Mitchell Duke apabila percubaan jarak dekat pemain itu memaksa penjaga gol Argentina, Emiliano Martinez menepis bola sebelum melantun terkena tiang gol.

Babak kedua perlawanan menyaksikan Messi dan Angel di Maria memaksa penjaga gol Australia Mat Ryan bekerja keras menyelamatkan keadaan.

Kedudukan bagaimanapun berubah menjadi 2-0 apabila German Pezella berjaya menanduk masuk hantaran lintang pada minit ke-68 perlawanan.

Messi sekali lagi menampilkan magis yang dinantikan peminat apabila mempamerkan skil ikonik melepasi halangan beberapa pemain Australia pada minit ke-79.

Legenda bola sepak England Gary Lineker menyifatkan skill individu Messi itu sebagai sangat jahat dan kejam – memalukan barisan pemain Socceroos.

Kehadiran Messi bersama skuad kebangsaan Argentina di Beijing untuk perlawanan ini menyebabkan demam ‘Messi Mania’ melanda China.

Pada pertengahan babak kedua perlawanan seorang peminat muda yang memakai jersi Argentina sanggup terjun daripada tembok stadium, memeluk idolanya Messi sebelum dikejar mengelilingi padang oleh pegawai keselamatan stadium.

Seluruh stadium turut bersorak setiap kali Messi yang membantu negaranya muncul juara Piala Dunia 2022 menyentuh bola.

Malah suhu panas yang mencecah 40C tidak menghalang puluhan ribu peminat berkumpul di perkarangan stadium pagi sebelum sepak mula pada jam 8 malam waktu tempatan.

Messi akan menyertai Inter Miami pada musim panas ini selepas dua musim beraksi bersama Paris Saint-Germain.

Perlawanan pada malam tadi adalah ulangan kepada pertemuan kedua-dua pasukan di pusingan 16 pasukan terbaik Piala Dunia pada tahun lalu yang berlangsung di Qatar.

Di perlawanan tersebut Messi turut menjaringkan satu gol untuk membantu Albiceleste merekodkan kemenangan 2-1 ke atas Australia.

Argentina kemudiannya terus mara untuk menjadi juara Piala Dunia buat kali pertama selepas penantian 36 tahun.

Pasukan dari Amerika Selatan itu akan melengkapkan kalendar FIFA dan Jelajah Asia mereka dengan perlawanan menentang Indonesia di Jakarta pada 19 Jun akan datang.

BACA:  Ligue 1 Akan Ubah Peraturan Demi Lionel Messi