Video Yang Membuktikan Morata Antara Pemain Yang Paling Cintakan Negaranya

Alvaro Morata sememangnya telah menerima kritikan yang teruk sepanjang saingan Euro 2020 ini selepas mempamerkan aksi permainan yang sangat teruk dan hambar.

Namun tidak ada sesiapa di dunia ini yang boleh menafikan betapa beliau sangat sayang dan cintakan negaranya serta mahu memberikan yang terbaik untuk Sepanyol.

Reaksi beliau ketika penentuan sepakan penalti bertemu Switzerland kemarin membuktikan yang Alvaro Morata sememangnya sangat bersemangat dan kemenangan Sepanyol adalah segala-galanya untuk beliau.

Morata setakat ini telah berjaya menjaringkan dua gol dalam membantu Sepanyol mara ke peringkat separuh akhir dan akan bertemu Itali selepas ini.

Namun gol jaringan beliau tidak mampu untuk menutup mulut pengkritiknya dek kerana Morata lebih banyak terlepas peluang keemasan berbanding menyudahkannya dengan jaringan.

Beliau pernah terlepas peluang menyempurnakan sepakan penalti dan turut pernah terlepas peluang menjaringkan gol ketika dihadiahkan dengan gawang gol terbuka.

Segala kesilapan dungu itu semua menyebabkan Alvaro Morata menerima ugutan bunuh dari para peminat tidak berakal di media sosial yang hilang sabar melihat kedunguan beliau.

Penentuan sepakan penalti bukanlah satu kelebihan atau satu hal yang disukai oleh skuad kendalian Luis Enrique, maka kerana itu mereka tidak begitu yakin ketika bertemu Switzerland di peringkat suku akhir kemarin.

Switzerland yang bermain dengan 10 orang pemain mampu untuk mengheret Sepanyol ke aksi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga tamat 120 minit perlawanan.

Skuad kendalian Vladimir Petkovic sememangnya lebih yakin untuk berdepan dengan penentuan sepakan penalti memandangkan mereka sebelum ini berjaya menyingkirkan Perancis juga dari kaedah yang sama.

Morata pula telah dikeluarkan pada aksi babak kedua perlawanan dan beliau berada ditepi padang ketika rakan sepasukannya terlibat dalam penentuan sepakan penalti.

Salah satu kamera telah memberi tumpuan kepada Alvaro Morata ketika penentuan sepakan penalti itu berlangsung, dan dalam rakaman tersebut jelas membuktikan bahawa beliau sangat peduli tentang skuad kebangsaannya.

Beliau jelas kelihatan gelisah dan tak tentu arah ketika menyaksikan situasi yang berlaku di atas padang, dan itu jelas membuktikan beliau antara pemain yang paling peduli tentang skuadnya.

Sepanyol berjaya mara ke peringkat separuh akhir selepas beberapa sepakan penalti hambar dan teruk dari kedua-dua pasukan.

Switzerland terlepas tiga sepakan penalti dari empat pemain mereka yang terlibat dalam penentuan sepakan penalti itu.

Hanya Mario Gavranovic sahaja pemain Switzerland yang berjaya menjaringkan gol, dengan beliau merupakan pemain pertama yang tampil untuk mengambil sepakan penalti.

Manakala Sepanyol pula dua dari lima sepakan penalti mereka gagal untuk disempurnakan dengan Sergio Busquets dan Rodri masing-masing terlepas peluang untuk menjaringkan gol.

Dani Olmo, Gerard Moreno dan Mikel Oyarzabal berjaya menjaringkan gol seterusnya membawa Sepanyol untuk mara ke peringkat separuh akhir.

Agak mengejutkan untuk melihat Switzerland tewas dalam penentuan sepakan penalti itu, memandangkan mereka telah mempamerkan persembahan yang luar biasa menakjubkan beberapa hari sebelum itu ketika bertemu Perancis.

Pemain midfield Sepanyol, Thiago Alcantara menunjukkan sikap terpuji selepas beliau dilihat cuba menenangkan pemain muda Switzerland, Ruben Vargas yang gagal menyempurnakan sepakan penalti terakhir skuadnya.

Bintang berusia 22 tahun itu menitiskan air matanya sebaik melihat Mikel Oyarzabal menyempurnakan sepakan penalti terakhir untuk Sepanyol.

Thiago Alcantara yang ketika itu melihat Vargas sudah mula menitiskan air matanya terus pergi ke arah pemain muda itu untuk cuba menenangkan beliau.

Thiago bersama rakan sepasukannya di Anfield, Xherdan Shaqiri bersama-sama memujuk Vargas dan cuba menenangkan pemain muda itu.

Selain dari Vargas, Thiago turut pergi kepada beberapa pemain lain termasuk penjaga gol paling berprestasi setakat ini, Yann Sommer untuk melakukan hal yang sama.

Para peminat memuji sikap terpuji beliau itu dan merasakan Thiago telah menunjukkan keperibadian yang mengagumkan baik dalam mahupun di luar padang.

Sepanyol selepas ini akan bertemu Itali di peringkat separuh akhir, dan mereka tentunya mahu melakukan yang terbaik untuk mara ke perlawanan akhir.

Mungkin Morata bakal membuktikan sesuatu dalam perlawanan itu, memandangkan beliau sudah biasa bermain dalam saingan bola sepak Itali.

Sommer menjadi wira Switzerland walau skuadnya tewas

Siapa tahu walau dikecam tanpa belas, beliau bakal diangkat sebagai pahlawan kerana berjaya membawa Sepanyol ke perlawanan akhir seterusnya menjuarai saingan Euro 2020.

Sumber: SPORTbible

BACA:Β  Moreno Dan Morata Bergabung Membinasakan Sepanyol