Hudson-Odoi Hantar Permohonan Rasmi Untuk Berpindah, Morata Hampir Sertai Atletico Madrid

Pemain muda Chelsea, Callum Hudson-Odoi dilaporkan telah menghantar permohonan rasmi untuk berpindah keluar dari Chelsea dalam usahanya untuk menyertai Bayern Munich dalam jendela perpindahan Januari ini.

Dengan jendela perpindahan bakal melabuhkan tirainya kurang seminggu dari sekarang, Odoi terdesak untuk meninggalkan Stamford Bridge dalam masa terdekat ini dan telah menolak tawaran kontrak lumayan bernilai £85,000 seminggu dari Chelsea.

Walaupun mempunyai potensi yang hebat, Hudson-Odoi hanya terlibat dalam 3 perlawanan Liga Perdana Inggeris setakat musim ini.

Menurut Sky Sports News, Chelsea setakat ini masih lagi belum memberikan response terhadap bidaan ke-4 dari Bayern Munich terhadap Odoi yang dipercayai berjumlah £35 juta.

Odoi hanya melakukan 14 penampilan bersama skuad utama Chelsea musim ini dan kekurangan waktu permainan dipercayai menjadi faktor utama mengapa Odoi ingin meninggalkan Chelsea.

Jika beliau berjaya mendapatkan perpindahan ke Bayern Munich, Odoi bakal menyertai dua pemain muda Inggeris, Jadon Sancho dan Reiss Nelson yang menyerlah bersama pasukan masing-masing di Bundesliga.

Prestasi cemerlang Sancho bersama Borussia Dortmund juga telah melayakkan beliau mendapat panggilan antarabangsa bersama England.

Hudson-Odoi yakin Bayern Munich akan memberi peluang bermain lebih kerap kepada beliau memandangkan Arjen Robben dan Frank Ribery sudah pon dimamah usia.

Dalam perkembangan lain pula, penyerang yang semakin dilupakan Alvaro Morata semakin hampir untuk meninggalkan Chelsea apabila beliau dijangka melakukan pemeriksaan perubatan bersama Atletico Madrid hari ini.

Morata menyertai Chelsea dari Real Madrid pada musim panas 2017 dengan yuran perpindahan berjumlah £57 juta, rekod kelab pada ketika itu. Walaupun kontraknya masih berbaki 3 tahun lagi, Morata dilaporkan kurang gembira dengan situasinya di Stamford Bridge dan ingin kembali bermain di La Liga.

Keputusan The Blues untuk menandatangani Gonzalo Higuain juga memberi isyarat jelas kepada Morata yang khidmatnya tidak diperlukan lagi Maurizio Sarri.

Higuain berpindah ke Chelsea secara pinjaman dari Juventus sehingga hujung musim ini dengan pilihan untuk menyambung pinjaman tersebut untuk satu musim lagi. Chelsea juga mempunyai pilihan untuk menjadikan Higuain pemain tetap sekiranya mereka membayar £31 juta kepada Juventus.

Chelsea sememangnya terkenal menjadi tempat dimana karier penyerang hebat terkubur. Kali ini giliran Morata menjadi mangsa

Morata memulakan kariernya bersama Chelsea dengan cemerlang apabila menjaringkan 7 gol dari 8 perlawanan pertama beliau. Akan tetapi, tidak lama selepas itu prestasinya merudum teruk dan hanya mampu menjaringkan 11 gol dalam musim pertamanya bersama Chelsea.

Sarri juga dilihat tidak begitu meminati Morata sehingga sering meletakkan Eden Hazard bermain sebagai ‘No.9’ dengan Morata dipinggirkan di bangku simpanan.

Morata dijangka bakal kembali bergandingan dengan seorang lagi bekas penyerang Chelsea, Diego Costa di jentera serangan Atletico Madrid dalam usaha mereka untuk mencabar Barcelona dalam perebutan kejuaraan La Liga musim ini.

BACA:  Eden Hazard Masih Berteka-Teki Mengenai Masa Depannya Bersama Chelsea