Vincent Kompany Sah Dilantik Sebagai Pengurus Burnley

Legenda Manchester City, Vincent Kompany telah dilantik sebagai pengurus baharu Burnley bermula pada musim panas ini.

Kompany yang kini berusia 36 tahun itu telah bersetuju untuk mengendalikan Burnley selepas beliau memutuskan untuk berpisah dengan Anderlecht.

Kompany meninggalkan kelab dari Belgium itu atas persetujuan bersama pada bulan lalu selepas mereka mengakhiri saingan Jupiler Pro League di kedudukan ketiga.

Beliau telah menguruskan kelab kesayangannya itu sejak dari tahun 2020 yang lalu dengan Kompany berjaya mencatatkan 43 kemenangan dari 95 penampilan sebagai pengurus bersama Anderlecht.

Bekas ketua pasukan Manchester City itu kini memilih untuk kembali ke liga bola sepak Inggeris, dengan mengendalikan skuad Burnley yang telah tersingkir dari saingan Premier League musim ini.

Beliau kini dilantik sebagai pengganti tetap Sean Dyche yang telah dipecat oleh pihak kelab pada April lalu selepas 10 tahun berkhidmat sebagai pengendali Burnley.

“Kelab bola sepak Burnley merupakan sebuah kelab yang sangat bersejarah dalam bola sepak Inggeris dan ia jelas sekali satu kebanggaan untuk saya dilantik sebagai pengurus skuad utama mereka.”

Jelas Kompany.

“Saya sangat teruja dengan cabaran mendatang. Saya tak sabar mahu bekerjasama dengan para pemain dan mencipta aura positif, serta bina mentaliti kemenangan untuk peminat kami ketika kami kembali ke Turf Moor.”

“Saya rasa cukup teruja dengan vision pimpinan kelab yang mana ia sehaluan dengan matlamat saya dan saya tak sabar nak mainkan peranan saya sebaik kita mula musim baru ini.”

Legenda Man City itu mula menyertai The Citizens dari Hamburg pada tahun 2008 yang lalu dan beliau memainkan peranan penting dalam menaikkan kelab di bawah pemilik baru Sheikh Mansour.

Kompany berjaya membuat 359 penampilan untuk skuad The Citizens dengan beliau turut menjadi ketua pasukan selama lapan musim.

Sepanjang kariernya di Etihad, Kompany berjaya memenangi empat gelaran Premier League, dua gelaran FA Cup dan empat gelaran Carabao Cup.

Beliau meninggalkan Manchester City pada tahun 2019 yang lalu selepas 11 musim berkhidmat untuk gergasi Premier League itu.

Selepas meninggalkan Man City, Kompany telah menandatangani kontrak sebagai pemain di Anderlecht sebelum bersetuju untuk menggalas tugas sebagai pengurus kelab dari Belgium itu.

Beliau kemudiannya menolak untuk meneruskan kariernya sebagai pengurus dalam usahanya mahu memberi tumpuan kepada aksi di atas padang.

Pada tahun 2020 yang lalu, beliau memutuskan untuk bersara dari dunia bola sepak dan kembali ke dunia pengurusan.

Pada musim pertama beliau sebagai pengurus tetap Anderlecht, Kompany berjaya membawa kelabnya itu mengakhiri saingan liga di kedudukan keempat.

Musim baru-baru ini, beliau berjaya membawa Anderlecht untuk mengakhiri saingan liga di kedudukan ketiga di belakang, Royale Union Saint-Gilloise dan Club Brugge.

Beliau kini dipertanggungjawabkan untuk memimpin Burnley dan membawa semula skuadnya itu beraksi dalam saingan Premier League musim hadapan.

Dengan pengalaman yang beliau miliki, tiada masalah sebenarnya untuk Kompany membantu Burnley kembali ke saingan Premier League pada musim hadapan.

Beliau mempunyai barisan pemain yang cukup bagus untuk dijadikan sebagai ramuan kejayaan dan sepertinya keputusan Burnley melantik legenda Belgium itu sebagai pengurus kelab adalah keputusan yang tepat.

Kompany tidak dinafikan lagi mempunyai ciri kepimpinan yang sungguh menakjubkan dan hal itu sebenarnya akan sangat membantu dalam usaha beliau mengendalikan kelab.

Para peminat jelas sekali sudah tidak sabar mahu melihat bagaimana hasilnya Burnley di bawah kendalian Vincent Kompany pada musim baharu nanti.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Everton Kini Semakin Menghampiri Zon Penyingkiran Selepas Tewas Di Tangan Burnley