Selepas 10 Tahun Berkhidmat, Sean Dyche Akhirnya Dipecat

Burnley secara rasminya telah memecat pengurus kelab, Sean Dyche dengan mereka pada ketika ini sedang bergelut di zon penyingkiran.

Ya, agak mengejutkan untuk melihat pimpinan kelab memutuskan untuk memecat Dyche dihujung musim dengan mereka juga ketinggalan empat mata untuk mengelak dari tersingkir.

Dyche merupakan antara pengurus paling lama berkhidmat dalam kancah bola sepak Inggeris, dengan beliau memulakan tugas sebagai pengurus Burnley sejak dari tahun 2012 lagi.

Beliau berjaya membantu kelab untuk dua kali dapat promotion naik ke saingan Premier League ketika kariernya sebagai pengurus di Turf Moor.

Sean Dyche juga merupakan antara pengurus paling lama berkhidmat untuk satu kelab dalam saingan Premier League.

Walau bagaimanapun, beliau akhirnya telah dipecat oleh pimpinan kelab, selepas aksi kekalahan 2-0 bertemu Norwich pada hujung minggu lalu.

Berbaki lapan perlawanan sebelum tamat aksi saingan musim ini, Burnley kini berada di kedudukan ke-18 dalam carta saingan liga, empat mata di belakang Everton yang sedang berada di kedudukan ke-17.

Burnley mengesahkan yang Sean Dyche sudah dipecat dengan mengeluarkan kenyataan rasmi pada hari ini yang menyatakan:

“Kelab bola sepak Burnley boleh mengesahkan yang pihak kelab telah berpisah dengan pengurus, Sean Dyche, pembantu pengurus, Ian Woan, jurulatih skuad utama, Steve Stone dan jurulatih penjaga gol, Billy Mercer.”

Chairman Burnley, Alan Pace kemudiannya turut menambah bahawa:

“Pertama sekali, kami mahu merakamkan ucapan terima kasih kepada Sean dan pembantu dia atas segala pencapaian mereka bersama kelab sejak sedekad ini.”

“Ketika kariernya di Turf Moor, Sean telah mendapat pujian atas sikapnya baik di dalam mahupun di luar padang, dihormati oleh para pemain, staff, penyokong, dan komuniti bola sepak.”

“Walau bagaimanapun, keputusan pada musim ini sedikit mengecewakan dan keputusan ini juga sangat berat untuk diambil, dengan baki lapan perlawanan penting musim ini, kami rasa perubahan itu perlu ada untuk dapatkan yang terbaik dari skuad agar mampu kekal dalam saingan Premier League.”

“Proses untuk menggantikan Sean telah dimulakan dan akan diumumkan tidak lama lagi kepada para penyokong.”

Segelintir penyokong turut tampil mempersoalkan kepada pimpinan kelab tentang mengapa mereka memilih untuk memecat Dyche.

Mereka menganggap jasa Sean Dyche terlalu besar selepas dua kali membawa Burnley naik ke saingan Premier League dan turut cemerlang membawa kelab untuk beraksi di pentas Eropah buat pertama kali sejak 51 tahun lalu.

“Sean Dyche sebenarnya hanya menjadi mangsa kepada pimpinan kelab yang tak mahu berbelanja dan hanya membeli Maxwell Cornet dan Wout Weghorst ketika sudah terdesak.”

“Weghorst hanya dibeli selepas kelab menjual pemain, dia tak dapat sokongan dari pimpinan kelab tapi dia mampu kekalkan Burnley dalam saingan Premier League untuk tempoh yang lama.”

“Keputusan Burnley memecat Sean Dyche sebenarnya satu keputusan yang bodoh, mereka kini perlu berdepan lapan perlawanan yang penting, kenapa baru sekarang.”

“Bila pemilik kelab tak tahu tentang bola sepak, maka inilah yang berlaku, rombakan besar-besaran ketika hujung musim. Ini kerja gila.”

“Walaupun saya bukan penyokong Burnley, tapi saya sendiri rasa ini keputusan yang gila, mereka tak sepatutnya pecat semua jurulatih pada masa sama.”

Burnley selepas ini akan turun beraksi bertemu West Ham pada hujung minggu nanti, sebelum bertemu Southampton, Wolves dan Watford pada April nanti.

Adakah Burnley sudah membuat keputusan yang tepat? Bincangkan diruangan komen.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Ben Mee Mengecam Kempen 'White Lives Matter Burnley'