Juara Piala Dunia 2010 dan lagenda Sepanyol, Xavi Hernandez memberi amaran kepada badan induk bola sepak dunia, FIFA supaya tidak meneruskan niat mereka untuk menganjurkan Piala Dunia 2022 di Qatar dengan 48 pasukan mengambil bahagian.
Xavi mendakwa menganjurkan Piala Dunia dengan bilangan pasukan seperti itu di Qatar merupakan idea yang tidak berapa baik.
Ikon Barcelona itu merupakan duta antarabangsa bagi kejohanan yang akan berlangsung di Qatar 3 tahun lagi, tetapi tidak menyokong idea ’48 pasukan’ kerana kejohanan akan menjadi terlalu panjang dan terlalu banyak perlawanan.
Pada tahun 2017, FIFA telah bersetuju untuk menambah sejumlah 16 pasukan ke dalam format Piala Dunia bagi edisi 2026 yang akan diadakan di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada.
Bagi edisi Piala Dunia 2022 yang akan berlangsung di Qatar bermula dari 21 November sehingga 8 Disember 2022, perbincangan telah diadakan menambah jumlah pasukan menjadi 48 pasukan dengan Presiden FIFA, Gianni Infantino menjadi pelopor utama kepada idea tersebut.
Dalam mesyuarat FIFA Council yang berlangsung pada hari Isnin lalu, badan bola sepak induk dunia itu mengambil keputusan untuk menangguhkan keputusan akhir mengenai usul ’48 pasukan’ di Qatar.
“Kami telah mengeluarkan ‘Feasibility Study’ kepada ahli FIFA Council yang mana dokumen tersebut agak panjang dan mendalam.” Beritahu Infantino kepada pihak media.
“Kesimpulannya, Ya. Memang boleh untuk menganjurkan Piala Dunia 2022 dengan format 48 pasukan. Ia boleh dilakukan, asalkan beberapa perkara dipenuhi.”
“Jadi untuk lebih jelas, hari ini Piala Dunia Qatar masih lagi mempunyai 32 pasukan. Dan ia sudah cukup baik.”
“Walau bagaimanapun, apabila kami mengambil keputusan pada Januari 2017 untuk menambah jumlah pasukan yang bertanding di Piala Dunia dari 32 menjadi 48 pasukan yang mana ia akan berlaku pada Piala Dunia edisi 2026.”
“Kami menerima permintaan dari 10 persatuan bola sepak dari benua Amerika Selatan tahun lepas supaya membincangkan usul ’48 pasukan’, samada boleh untuk dilakukan bagi edisi 2022.”
“Jika ianya sesuai untuk dilakukan, dan boleh dilakukan, bagus. Jika ianya tidak sesuai dan tidak boleh dilakukan, pon bagus juga.”
Namun begitu, idea tersebut tidak berapa diterima dengan baik oleh Xavi yang kini bermain bola sepak profesional di Qatar bersama Al Sadd.
Xavi mendakwa 32 pasukan sebenarnya sudah lebih dari mencukupi untuk pertandingan yang akan berlangsung di Qatar itu nanti.
“Piala Dunia akan menjadi terlalu panjang dan perlawanan terlalu banyak.”
“Bayangkan 48 pasukan di Qatar, pada pendapat saya, ini cadangan yang tidak berapa bagus.”
“Keputusan ini masih di tangan pihak penganjur. Tetapi buat masa sekarang Qatar sedang berusaha keras untuk menerima 32 pasukan dan agak sukar untuk menambah dari jumlah sedia ada.”
“Selain itu, 32 pasukan sudah cukup baik untuk bola sepak. Ia lebih dari mencukupi.”