Piala Dunia 2022: Perancis Bangkit Dan Menang 4-1, Giroud Kini Penjaring Terbanyak Sepanjang Zaman Les Bleus

Olivier Giroud kini menguatkan statusnya sebagai legenda. Terbaru, dia menyamai rekod Thierry Henry sebagai penjaring terbanyak bersama sepanjang zaman selepas Perancis menewaskan Australia 4-1 pada Piala Dunia 2022.

Siapa sangka pemain bernama Giroud akan menjadi salah seorang penyerang terbaik sepanjang zaman dari kalangan pemain pemain di eropah.

Tanpa kehadiran Karim Benzema yang terpaksa menarik diri kerana kecederaan, bermakna Giroud beraksi sebagai pemain kesebelasan utama dalam perlawanan pembukaan Perancis vs Australia di Stadium Al Janoub, Al Wakrah, Qatar.

Penyerang AC Milan itu tampil cemerlang dengan menjaringkan dua gol untuk melengkapkan kebangkitan Perancis setelah ketinggalan. Di mana Perancis akhirnya menang 4-1 dalam perlawanan tersebut.

Pada awalnya ramai peminat Perancis agak risau mereka akan menjadi pasukan kedua menerima kejutan daripada anjing bawahan ataupun under dog selepas Arab Saudi mengejutkan Argentina dalam aksi terdahulu.

Giroud menjaringkan gol pertamanya pada minit ke-32. Dia berjaya menyempurnakan hantaran Adrien Rabiot. Gol itu membawa Perancis mendahului 2-1 selepas ketinggalan terlebih dahulu dalam perlawanan ini.

Gol kedua Olivier Giroud kemudiannya hadir pada separuh masa kedua, pada minit ke-71. Giroud, kali ini menyempurnakan hantaran lintang Kylian Mbappe dari kiri dengan tandukan tajamnya. Giroud menunjukkan kualiti naluri penyudahnya yang sangat baik.

Gol itulah yang menjadikannya penjaring terbanyak sepanjang zaman Perancis bersama sama dengan Henry.

Kylian Mbappe benar benar menikmati peranannya sebagai perancang dari sayap seperti mana yang dia minta peranan tersebut di PSG. Dengan mencadangkan Galtier mendapatkan seorang pemain seperti Giroud untuknya di PSG.

Giroud menyamai rekod Thierry Henry

Kedua-dua Giroud dan Henry kini telah mengumpul 51 gol untuk Perancis. Peluang Giroud untuk mengesahkan namanya sebagai penjaring terbanyak Perancis terbuka luas, kerana dia masih akan bersaing dalam Piala Dunia 2022 dan dia masih lagi aktif bermain.

Malah, Giroud lebih baik daripada Henry dari segi ratio. Hal ini kerana, Giroud melakukannya dalam 115 kaps, bermula daripada debut kebangsaannya pada 2011 sehingga kini.

Manakala Thierry Henry mengambil masa yang lebih lama untuk mencapainya. Bekas penyerang Monaco, Juventus, Arsenal, Barcelona dan New York Red Bulls itu menjaringkan 51 gol dalam 123 penampilan, dari 1997 hingga 2010.

Giroud kini harapan Perancis

Giroud dijangka akan mengetuai serangan Perancis sekali lagi dalam aksi berdepan Denmark. Setiap gol Giroud selepas ini akan menjadi rekod sepanjang zaman untuk Perancis.

Walaupun seringkali digelar pemain yang hanya menunggu bola dan malas berlari, Giroud membuktikan bahawa dia tetap seorang penyerang berbisa yang wajar lebih dihormati namanya.

Didier Deschamps berterusan memberikan kepercayaan kepada pemain veteran tersebut.

Kali ini Perancis tanpa pemenang Ballon d’Or, Karim Benzema. Bermakna mereka bergantung kepada trio serangan yang membawa mereka kepada kejuaraan Piala Dunia 2018 iaitu Griezmann, Mbappe dan Giroud.

Misi mempertahankan kejuaraan Dunia bermula dengan langkah kanan

Perancis dalam misi mempertahankan kejuaraan Piala Dunia yang mereka menangi pada 2018. Mereka tampil sebagai salah sebuah pasukan pilihan. Namun bergelut dengan isu kecederaan pemain pemain penting.

Ini termasuk Karim Benzema, Nkunku, N’golo Kante, Paul Pogba, Presnel Kimpembe dan beberapa nama lain lagi.

Dalam perlawanan ini juga bek tengah Liverpool, Ibrahima Konate diturunkan untuk menggantikan Raphael Varane yang masih belum cergas sepenuhnya.

Permulaan sempurna untuk pasukan yang bergelut dengan kecergasan seperti Perancis.

Adakah anda rasa Perancis akan mampu mempertahankan kejuaraan Piala Dunia mereka pada edisi kali ini?

BACA:  Griezmann Terkejut Namanya Tidak Disenarai Pendek Bagi Anugerah Ballon D'Or