Zainal Anggap Kelantan Pasukan Misteri Di Bawah Jurulatih Baharu

Pengendali Selangor, Zainal Abidin Hassan mengakui barisannya perlu waspada dengan ancaman Kelantan di Stadium Shah Alam, malam ini.

Ini kerana beliau menyifatkan pasukan Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW) itu sebagai pasukan misteri apabila dikendalikan jurulatih baharu, Velizar Popov.

“Kita tidak mengetahui corak permainan yang akan ditunjukkan oleh pengendali baharu itu. Jadi kami perlu berhati-hati memandangkan lawan akan tampil dengan permainan dan semangat yang baharu.

“Walaupun bakal berdepan saingan sengit, namun kami tetap mahu mengutip tiga mata bagi mengembalikan rentak dalam liga terutamanya selepas tersingkir daripada saingan Piala AFC minggu lalu.

“Saya begitu mengharapkan anak buah saya dapat bangkit memperaga aksi yang lebih baik dan menunjukkan perubahan yang ketara dari segi corak permainan,” katanya.

Sementara itu, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) mengumumkan penjualan tiket bagi perlawanan bertemu Kelantan akan mula dijual di Stadium Shah Alam bermula jam 9 pagi, hari ini.

Sumber: Berita Harian

BACA:  Tiga Tandukan Gergasi Merah Lemaskan Sang Penyu