Zlatan Ibrahimovic: Aku Kembali Untuk Menang Liga Perdana Inggeris !

Penyerang Manchester United, Zlatan Ibrahimovic berkata keazaman untuk membantu pasukannya memenangi Liga Perdana Inggeris selepas sekian lama menjadi pembakar semangat beliau bekerja keras untuk pulih dari kecederaan serius yang dialaminya musim lepas.

Legenda Sweden ini berjaya membantu Manchester United untuk memenangi 3 trofi musim lepas iaitu Perisai Komuniti, Europa League, dan Piala Liga dalam musim pertama beliau di England.

Segalanya berjalan dengan baik sehinggalah Ibrahimovic mengalami kecederaan lutut yang serius yang memaksa beliau berehat panjang. Kontrak beliau tidak disambung dan beliau menjadi ejen bebas buat sementara waktu.

Tidak lama selepas musim ini bermula, Manchester United mengumumkan mereka telah menandatangan kembali bekas penyerang Sweden ini selepas beliau menunjukkan petanda bagus dalam proses pemulihan dari kecederaan yang dialaminya dan berjaya meyakinkan Jose Mourinho untuk mengambilnya.

Ibrahimovic semakin hampir untuk diturunkan bermain dan berkata beliau kembali menyertai Red Devils kerana mahu memenangi Liga Perdana Inggeris buat kali pertama dalam karier beliau.

Kecederaan lutut menyebabkan Zlatan berehat panjang

“Saya kembali untuk menghabiskan apa yang telah saya mulakan dulu. Walaupun kami berjaya memenangi 3 piala musim lepas, ia tidak berakhir seperti yang saya mahukan. Sasaran utama saya adalah untuk memenangi Liga Perdana Inggeris. Saya mahu sasaran tersebut tercapai sebelum saya keluar dari kelab ini.”

Ibrahimovic dijadualkan bakal kembali pada bulan Disember nanti. Ketika ini, Manchester United berada di tangga kedua dan ketinggalan 5 mata di belakang pendahulu liga, Manchester City.

Red Devils bakal melayan kunjungan Tottenham Hotspurs hujung minggu ini dalam pertembungan yang amat dinanti-nantikan peminat bolasepak seluruh dunia.

Pernah bermain bersama Paris Saint-Germain, AC Milan, Inter Milan, Barcelona, Juventus, dan Ajax, Ibrahimovic boleh dikatakan telah merasai semua kejuaraan liga dalam kelab yang beliau sertai.

Dan disebabkan itulah beliau begitu dahagakan Liga Perdana Inggeris untuk melengkapkan koleksi liga sebelum beliau bersara.

Oucchh!!

Ibrahimovic berjaya menjaringkan 28 gol dalam semua kejohanan musim lepas, satu pencapaian yang amat cemerlang memandangkan beliau tiba secara percuma dan sudah agak berusia.

Beliau sepatutnya mampu menjaringkan lebih banyak gol jika tidak kerana kecederaan serius yang dialaminya ketika perlawanan menentang Anderlecht dalam saingan Europa League.

Kecederaan tersebut memaksa Ibrahimovic melupakan hasrat untuk beraksi dalam perlawanan akhir Europa League menentang Ajax.

“Pada saat kecederaan itu berlaku, ia akan menjadi lebih mudah untuk saya kembali pulih jika saya mempunyai sasaran yang masih belum dicapai. Cabaran paling besar adalah saya tidak pernah mengalami kecederaan serius sepanjang karier. Saya mempersoalkan diri saya sendiri kerana ada orang berkata karier Ibrahimovic bakal berakhir kerana beliau sudah terlalu tua.”

“Apabila perkara ini berlaku, situasi masa itu memberikan saya lebih tenaga dan hala tuju. Saya mencabar diri sendiri, setakat mana badan saya mampu pergi. Sebelum ini, saya selalu berfikir berapa tahun lagi saya mahu bermain dan berfikir mengenainya membuatkan saya menjadi teragak-agak.”

King!!!

“Tetapi kecederaan serius musim lepas menjadikan perkara lebih senang buat saya. Pada masa itu, saya hanya ada satu tujuan iaitu untuk kembali pulih dan bermain bolasepak”

“Saya akan berjalan seperti ketika saya tiba, dan saya tidak akan berjalan terhencut-hencut. Saya akan berjalan seperti mana yang saya mahukan. Walaupun saya mesti berjalan di atas air, saya akan tetap melakukannya.”

Penulis

Artikel ini ditulis oleh Izzuddin Ismail untuk disiarkan di thesukan.com

BACA:  7 Rekod Yang Dicipta Zlatan Ibrahimovic Sejak Menyertai Manchester United