Meremang Bulu Roma Dengar Ucapan Zlatan Selepas Milan Muncul Juara

Pemain paling angkuh di muka bumi, Zlatan Ibrahimovic telah memberikan ucapan di bilik persalinan yang mampu menaikkan bulu roma mereka yang mendengarnya selepas AC Milan muncul juara Serie A.

AC Milan berjaya mengakhiri penantian selama 11 tahun mereka untuk menjuarai saingan Serie A selepas mereka berjaya memenangi gelaran Scudetto pada musim ini.

Kali terakhir AC Milan dinobatkan sebagai juara Serie A adalah pada musim 2010/11.

Rossoneri berjaya menewaskan musuh ketat mereka yang berkongsi stadium yang juga penyandang juara, Inter Milan dengan kelebihan dua mata.

Ketika kali terakhir AC Milan menjuarai Scudetto, Zlatan Ibrahimovic merupakan sebahagian daripada skuad selaku pemain pinjaman dari Barcelona.

Zlatan Ibrahimovic kembali ke AC Milan dalam misinya mengembalikan kegemilangan kelab dan janji itu dikotakan dan bukan sekadar sembang kencang.

“Ketika saya kembali, di sidang media, saya kata saya akan bawa Milan kembali ke puncak.”

Pemain Sweden itu telah memberikan ucapan penuh inspirasi di bilik persalinan selepas mereka menamatkan kemarau gelaran mereka.

“Bawa semua orang masuk ke sini!” Dia mulakan.

“Kawan-kawan, bertenang. Saya tidak akan mengucapkan selamat tinggal. Kawan-kawan, dari hari pertama… apabila saya tiba, kemudian yang lain tiba selepas itu. Sangat sedikit yang percaya kepada kami.”

“Tetapi apabila kami faham kami perlu berkorban, menderita, percaya dan bekerja, apabila ini berlaku, kami menjadi satu kumpulan.”

“Dan apabila anda menjadi satu kumpulan, anda boleh mencapai perkara yang telah kami capai. Kini, kami adalah Juara Itali.”

“Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pemain.”

“Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Paolo (Maldini), Ricky (Massara) dan Ivan (Gazidis).

“Ia tidak mudah tetapi kami telah menjadi kumpulan sebenar musim ini. Pada awal kempen, tiada siapa yang percaya kepada kami tetapi melalui prinsip ini, kami menjadi lebih kuat. Saya sangat berbangga dengan anda semua.”

“Sekarang bantu saya: raikan seperti juara. Kerana bukan Milan kepunyaan AC Milan, Itali kepunyaan AC Milan!”

Zlatan Ibrahimovic kemudian menggila dengan menterbalikkan meja dan seluruh bilik persalinan turut menjadi gila meraikan kejayaan.

Terkejut beruk jurugambar yang berada di depan menjalankan tugas melihat meja tiba terbang dan terbalik.

Sebelum itu ketika penyampaian piala Zlatan Ibrahimovic telah meraikan kejayaan AC Milan menjuarai saingan Serie A dengan cara yang penuh bergaya.

Beliau berjalan memasuki padang ketika sesi keraian sambil menghisap cigar dan memegang champagne dan sudah pasti menjadi berita hangat dada media massa.

Selepas cemerlang meledak 16 gol dari 26 perlawanan musim lalu, Ibrahimovic pada musim ini hanya sekadar membuat 12 penampilan sahaja dalam saingan liga.

Musim ini, Zlatan hanya berjaya menjaringkan lapan gol tetapi kebanyakkannya adalah gol yang penting dan sangat membantu Milan mencatat kemenangan.

Pemain kebangsaan Sweden yang kini berusia 40 tahun itu sekali lagi membuktikan yang usia sekadar nombor dan tidak mempengaruhi hal lain.

Dengar cigar di tangan, bekas bintang Manchester United dan Barcelona itu turut sempat menyemburkan champagne dan berdiri di tengah padang dengan gaya yang sungguh santai.

“Saya harap saya mampu dapat separuh sahaja dari sikap itu.” Ujar pengulas CBS ketika melihat Zlatan melakukan hal Zlatan.

Milan melalui musim yang mengecewakan sejak sedekad sebelum ini dengan mereka hanya mampu melihat bagaimana Juventus mendominasi sepenuhnya saingan liga bola sepak Itali.

Juventus berjaya memenangi sembilan gelaran Serie A secara berturut-turut sebelum Inter Milan merampas gelaran itu pada musim lalu.

BACA:  Zlatan Ibrahimovic: Pep Guardiola Jurulatih Paling Tidak Matang