’12-13 Jam Sehari Di Pusat Latihan’- Jurulatih Penuh Dedikasi Spalletti Hampir Pasti Tinggalkan Napoli

Luciano Spalletti memberi bayangan bakal meninggalkan Napoli selepas membantu kelab itu muncul juara Serie A pada musim ini.

“Jika anda tidak yakin mampu memberikan segalanya kepada mereka apa yang selayaknya mereka perolehi, ia adalah tepat untuk berfikir ia sudah tamat dan keputusan pun telah dibuat,” ujar jurulatih itu baru-baru ini.

Jurulatih itu sebelum ini memberi pelbagai bayangan mengenai masa depannya, tatkala Presiden kelab, Aurelio de Laurentis menegaskan tidak akan memaksa pakar taktikal itu untuk terus kekal.

Dan apabila soalan mengenai masa depannya terus menjadi topik utama selepas kemenangan 3-1 ke atas Inter Milan pada hujung minggu lalu, Spalletti akhirnya meluahkan kenyataan sebenar mengenai dirinya.

“Perkara itu telah diputuskan. Anda tidak akan mengubah fikiran anda setiap hari.

“Ia adalah perkara yang sudah lama menjadi persoalan. Apabila anda bekerja dari pagi sampai malam, sesetengah perkara akan timbul di dalam mida pemikiran, kerana anda harus meletakkan keutamaan yang sama sepanjang masa.

“Dan jika anda tidak yakin mampu memberikan yang terbaik kepada mereka, maka ia tepat untuk memikirkan kembali. Selepas berfikir, anda harus membuat keputusan dan kekal dengannya.

“Ia bukan perkara yang jatuh dari langit begitu sahaja,” jelas beliau panjang lebar.

Spalletti dikenali sebagai seorang jurulatih yang bekerja keras dan dianggap tinggal di pusat latihan kelab kerana berada di situ 12 sehingga 13 jam sehari untuk membantu Napoli sejak dua tahun lalu.

Enggan berhijrah sepenuhnya ke Naples bermakna beliau juga terpaksa berjauhan dengan keluarnya yang terus menetap di Tuscany.

Kejayaan Spalletti bersama Napoli pada musim ini dianggap luar biasa kerana berjaya melakukan apa yang jurulatih lain tidak mampu lakukan sejak 33 tahun lalu.

BACA:  Klopp: Tumpas Di Tangan Napoli Persediaan Terbaik Hadapi Manchester City