Klopp: Tumpas Di Tangan Napoli Persediaan Terbaik Hadapi Manchester City

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp menolak pendapat sesetengah pihak yang meletakkan Liverpool sebagai pencabar utama Manchester City dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini.

Manchester City akan berkunjung ke Anfield dalam aksi Liga Perdana Inggeris hujung minggu ini dan ramai pihak menganggap pertemuan ini bakal menjadi kayu ukur sebenar sejauh mana Liverpool telah berkembang untuk menjadi pencabar utama liga.

Sudah 15 tahun City tidak menang di Anfield. Adakah sejarah akan berubah Ahad nanti ?

Manchester City dan Liverpool masih lagi belum tewas dalam saingan liga musim ini dan hanya dipisahkan dengan perbezaan jaringan sahaja dalam carta liga, dengan City unggul berada di kedudukan teratas liga.

Untuk rekod, The Citizens sudah 15 tahun gagal memenangi perlawanan di Anfield termasuk kekalahan 4-3 di tangan anak buah Jurgen Klopp pada Januari lalu. Sekiranya Liverpool berjaya mengulangi pencapaian yang sama Ahad nanti, ia bakal memberi kelebihan awal kepada Liverpool ke atas juara bertahan.

Namun begitu ketika bercakap kepada pemberita hari ini, Klopp menegaskan musim baru sahaja bermula dan beliau menjangkakan anak buah Pep Guardiola akan melalui satu lagi rentetan kemenangan yang panjang, seperti yang mereka telah lakukan musim lepas.

“Saya rasa tidak logik buat masa sekarang untuk bercakap mengenai kejuaraan liga. Terdapat banyak lagi perlawanan untuk dilalui.”

Jaringan Insigne berjaya menutup mulut sesetengah peminat Liverpool yang mula angkuh dengan permulaan musim yang cemerlang pasukan tersebut

“Tetapi ini merupakan perlawanan di tempat sendiri menentang Manchester City dan ia bakal menjadi satu lagi perlawanan yang sukar. Tahun lalu, pasukan mereka sangat istimewa dan saya menjangkakan perkara yang sama bakal berlaku musim ini.”

“Kebiasaannya pasukan yang bermain seperti Manchester City akan hilang fokus, tetapi ia tidak berlaku kepada mereka langsung tahun lepas. Sebab itulah saya sangat hormat dengan pasukan tersebut.”

“Kami perlu berada pada tahap yang terbaik untuk menjauhkan diri daripada mereka seterusnya mencipta peluang di hadapan pintu gol mereka.”

Liverpool baru sahaja mengalami kekecewaan dalam saingan peringkat Eropah beberapa hari lalu selepas tewas 1-0 di tangan Napoli, hasil jaringan Lorenzo Insigne minit ke-90. Walau bagaimanapun, Klopp yakin kekecewaan tewas pada saat terakhir hanya akan menaikkan lagi semangat anak buahnya.

“Kami harus memulakan buku baru. Manchester City merupakan lawan yang berlainan dan mereka membawa cabaran yang berbeza, mungkin lebih susah dari Napoli.”

Kalah merupakan persediaan terbaik untuk bertemu City. Lain macam preparation

“Saya sangat percayakan pasukan saya. Kami mahu menunjukkan reaksi dalam perlawanan seterusnya.”

“Saya tidak mahu tewas kepada Napoli tetapi jika anda tanya saya apa persediaan terbaik, ia adalah apabila anda kalah.”

“Kami tidak mahu melalui pengalaman itu lagi.”

BACA:  Premier League 2019/20: Liverpool 2-0 Manchester United