3 Hal Yang Boleh Menggagalkan Liverpool Dari Menjuarai Saingan Premier League Musim Ini

Liverpool pada musim ini dilihat berpotensi untuk muncul sebagai juara saingan Premier League, selepas mereka mempamerkan aksi persembahan yang sungguh luar biasa menakjubkan.

Dari 15 perlawanan, anak-anak buah Jurgen Klopp itu berjaya merekodkan 10 kemenangan, empat seri dan hanya satu sahaja kekalahan.

Satu-satunya kekalahan mereka pada musim ini adalah ketika tewas 3-2 di tangan West Ham sebelum ini, dan mereka pada ketika ini sedang berada di kedudukan kedua dalam carta liga.

The Reds hanya satu mata sahaja dibelakang pendahulu saingan Premier League musim ini, Manchester City dan satu mata dihadapan Chelsea.

Ketiga-tiga pasukan ini dijangka akan bersaing untuk memenangi saingan musim ini, dengan tiada pasukan lain yang lebih berpotensi untuk menandingi mereka.

Rekod jaringan Liverpool pada musim ini juga sungguh luar biasa menakjubkan, dengan mereka banyak mencatatkan kemenangan besar sepanjang musim ini.

Liverpool menewaskan Everton 4-1, dan turut membelasah Southampton dan Arsenal 4-0 dalam pertembungan mereka sebelum ini.

Liverpool turut cemerlang mengaibkan Manchester United dan Watford 5-0 sebelum ini, dengan mereka merupakan pasukan paling banyak menjaringkan gol sepanjang musim ini.

Skuad kendalian Jurgen Klopp itu berjaya menjaringkan 44 gol dari 15 perlawanan dan hanya mencatatkan 12 sahaja bolos.

Trio serangan Liverpool Salah, Mane dan Jota juga berada dalam senarai penjaring terbanyak pada ketika ini, dengan The Egyptian King itu mengungguli carta selepas menjaringkan 13 gol dari 15 perlawanan.

Melihat kepada rekod skuad The Reds sepanjang musim ini, tiada dakwa dakwi lagi yang mereka layak untuk muncul sebagai juara dan bakal memintas Man City tidak lama lagi.

Walau bagaimanapun, ada tiga perkara utama yang sepertinya akan menjadi masalah dan halangan untuk Liverpool menjadi juara pada musim ini.

1. Terlebih yakin.

Ini sememangnya masalah utama untuk skuad Liverpool terutama ketika mereka beraksi bertemu pasukan bukan pilihan atau pasukan yang sedang tidak berprestasi.

Lihat saja bagaimana aksi Liverpool bertemu Wolves awal pagi tadi, dengan mereka mencipta begitu banyak peluang namun jentera serangan mereka yang tajam berubah menjadi tumpul.

Diogo Jota yang diakui memiliki kualiti penyudah yang bagus turut sama melakukan aksi dungu dengan mensia-siakan peluang keemasan untuk menjaringkan gol.

Virgil Van Dijk sendiri beberapa kali melakukan kesilapan dalam perlawanan tersebut namun mujur saja kehebatan Alisson, Fabinho dan Thiago Alcantara kerap menyelamatkan Liverpool.

Skuad kendalian Jurgen Klopp itu senantiasa mempamerkan aksi lemah seperti ini ketika mereka berdepan pasukan bukan pilihan.

Kekalahan bertemu West Ham selain dari anak-anak buah Moyes memang sedang dalam rentak persembahan terbaik mereka, para pemain Liverpool sebenarnya tidak beraksi di tahap terbaik mereka.

Banyak kesilapan mudah yang dilakukan, pertahanan terlalu mudah dilepasi, jentera serangan menjadi tumpul dan akibatnya mereka dikejutkan dengan kekalahan 3-2.

Situasi sama juga berlaku ketika mereka beraksi bertemu Brentford dan Brighton, dengan Liverpool sepatutnya boleh memenangi perlawanan itu, namun dek kerana terlebih yakin, maka mereka sekadar mencatatkan keputusan seri sahaja.

Bukan mahu menafikan kehebatan pasukan yang berjaya mengikat dan menewaskan Liverpool, namun aksi mereka bertemu pasukan-pasukan ini jelas berbeza dari aksi bertemu pasukan besar.

2. Bakal kehilangan pemain

Piala Benua Afrika akan dilangsungkan pada Januari nanti dengan aksi saingan liga tidak dihentikan sepanjang kejohanan itu berlangsung.

Liverpool merupakan pasukan yang paling terkesan kerana mereka akan kehilangan khidmat pemain utama mereka, Mohamed Salah, Sadio Mane dan Naby Keita.

Kedua-dua Salah dan Mane merupakan penjaring terbanyak Liverpool pada ketika ini, dan kehilangan mereka jelas akan memberi tamparan hebat kepada skuad kendalian Jurgen Klopp itu.

Mereka berkemungkinan akan terlepas tiga ke empat perlawanan seandainya mara jauh dalam kejohanan tersebut, dan sepanjang tempoh tersebut, Liverpool perlu beraksi tanpa penjaring utama mereka.

Tidak dinafikan The Reds memiliki pemain yang berbakat dalam senarai pemain simpanan mereka, namun untuk menggantikan Salah dan Mane pada masa yang sama ia sedikit sulit.

Jurgen Klopp perlu menyediakan persiapan yang cukup rapi bagi menghadapi hal tersebut demi untuk terus mencabar kejuaraan liga.

Dengan kedudukan seperti sekarang, Liverpool sebenarnya tidak boleh tercicir walau satu mata sekalipun, dan seandainya hal itu berlaku, maka akan sukar untuk The Reds kembali beri saingan kepada Chelsea dan Manchester City.

3. Wajib beli pemain Januari ini

Liverpool pada jendela perpindahan musim panas lalu mereka hanya menandatangani Ibrahima Konate sahaja.

Para peminat agak bengang dengan pimpinan kelab yang terlalu kedekut untuk mengeluarkan dana tambahan, bagi membantu Jurgen Klopp mendapatkan pemain yang beliau mahu.

Pengurus dari Jerman itu sememangnya akan senantiasa mempertahankan kelab dengan mengatakan yang beliau tidak memerlukan pemain baru.

Hakikatnya semua sedar yang skuad The Reds pada ketika ini memerlukan satu atau dua lagi penandatanganan untuk memantapkan skuad sedia ada.

Kehilangan Salah dan Mane pada Januari nanti jelas sekali perlukan pemain lain untuk menggantikan mereka.

Pemilik kelab, FSG yang sebelum ini mengatakan mereka tidak ada duit untuk membeli pemain, baru-baru ini telah membeli sebuah kelab hoki ais.

Melihat FSG mampu membeli kelab NHL itu, para peminat menganggap pemilik kelab sebenarnya menganaktirikan Liverpool.

Seandainya tiga masalah ini boleh diselesaikan, tidak mustahil untuk melihat Liverpool muncul sebagai juara saingan Premier League musim ini.

BACA:  Man City Dianggap Sengaja Berlagak Tayang Trofi 'Ori' Sebelum Lawan Liverpool