“Ada Ke De Paula Dalam Team Ni?”

Skuad Harimau Malaya dikejutkan dengan kekalahan mengaibkan ketika bertemu UAE dalam aksi kelayakan Piala Dunia awal pagi tadi.

Aksi hambar dan tak bermaya yang ditunjukkan oleh para pemain Malaysia menyebabkan skuad kendalian Tan Cheng Hoe dibelasah 4-0 oleh wakil Timur Tengah itu.

Tak pasti sama ada faktor cuaca terlalu panas atau gugup atau apa saja alasan, namun aksi pemain Malaysia dalam perlawanan itu sungguh mengecewakan.

Farizal Marlias merupakan antara pemain terbaik dalam perlawanan tersebut dengan beliau satu-satunya pemain yang nampak tenang dan berada dalam perlawanan.

Tidak ketinggalan Dion Cools yang juga boleh diberikan pujian atas aksi yang ditunjukkan walau ini merupakan perlawanan pertamanya bersama skuad kebangsaan Malaysia.

Seorang lagi pemain yang layak dipuji adalah Shafiq Ahmad yang dibawa masuk pada aksi babak kedua permainan dan terus memberikan impak dalam perlawanan tersebut.

Selain dari tiga pemain ini, boleh dikatakan kesemua yang lain tidak berada di tahap persembahan yang terbaik mereka.

Posisi midfield sungguh hambar dengan masing-masing seolah tak tahu peranan dan apa yang perlu dilakukan, dan lebih teruk lagi Malaysia seolah bermain tanpa pemain di bahagian tengah.

Sumareh mencatatkan kosong percubaan dalam perlawanan ini dan beliau dilihat tidak bermain di tahap yang terbaiknya dalam perlawanan ini.

Guilherme De Paula merupakan pemain yang paling teruk dikecam dalam perlawanan ini dengan nama beliau trending di laman Twitter dalam tempoh yang agak lama.

Penyokong jelas tidak gembira dan bengang melihat sumbangan pemain naturalisasi yang seolah tidak bermain demi lencana di dada.

Mereka dipilih sebagai pemain naturalisasi dek kerana aksi dan persembahan yang ditunjukkan dalam aksi saingan Liga Super beberapa tahun kebelakangan ini.

Namun apa yang ditunjukkan oleh kesemua mereka dalam perlawanan ini terlalu teruk dan jauh dibezakan dengan aksi dalam saingan domestik.

De Paula pada musim 2017, beliau telah melalui musim yang sangat cemerlang dengan menjaringkan 27 gol dari 22 perlawanan bersama pasukan Kuala Lumpur.

Beliau kemudiannya menambah lagi 22 jaringan dalam akaun golnya pada dua musim berikutnya dan ia tidak termasuk 15 gol yang beliau jaringkan dalam pertandingan lain.

Tahun 2020, sentuhan beliau mulai tumpul, namun skuad kebangsaan Malaysia tetap memutuskan untuk menaturalisasikannya di usia 35 tahun.

Walau diletakkan harapan yang tinggi untuk membantu skuad kebangsaan, De Paula ternyata telah mengecewakan 30 juta rakyat Malaysia dengan aksi hambarnya di atas padang.

Detik beliau gagal menanduk bola dengan betul dalam perlawanan tersebut membuatkan para penyokong bengang dan tak boleh terima beliau menyarung jersi kebangsaan.

Selain tak menanduk bola dengan betul, beliau juga sama sekali tidak mahu terlibat dalam perlawanan ini dan hanya berjalan santai menikmati cuaca panas di bumi UAE.

Beliau tidak menyumbang apa-apa ketika bahagian tengah tidak berfungsi dengan Liridon juga menunjukkan aksi yang hambar di posisi tersebut.

Pemain midfield Malaysia langsung tidak melakukan press ketika pemain lawan mahu build up serangan dan mereka jelas tidak ada komunikasi yang baik antara satu sama lain.

Ketika Syafiq Ahmad dimasukkan, barulah boleh nampak ada pemain Malaysia yang mampu melakukan press ketika pemain lawan menyerang dan turut berjaya menguji gawang gol UAE.

Kualiti yang ditunjukkan oleh Syafiq jauh lebih bagus berbanding apa yang ditunjukkan oleh Guilherme sepanjang perlawanan ini.

Selain De Paula, Liridon juga antara nama yang teruk dikritik oleh para peminat melihatkan prestasi dan aksi hambar yang mereka persembahkan.

Kedua-dua mereka tidak berfungsi seperti apa yang diharapkan, sebaliknya sekadar menjadi punca tempo permainan Malaysia semakin perlahan.

Kedua-dua mereka mempunyai baki dua perlawanan lagi untuk menebus kesalahan atas aksi hambar dalam perlawanan ini.

Bukan hanya peminat, bahkan penyampai Nadi Arena, Hafizal Ahmad, Nizal Jamil dan Shukor Adan turut mengkritik aksi dari De Paula dan pemain naturalisasi yang lain.

Hafizal Ahmad yang dilihat kecewa dengan aksi persembahan skuad kebangsaan Malaysia selepas tamat perlawanan telah menyatakan:

“Semuanya hari ni tak kira apa part pun, tak kira dia pemandu teksi atau dia seorang ustaz sekali pun, semua memberi tumpuan.”

“Tapi realitinya kita tidaklah mengharapkan seperti apa yang dipamerkan, saya memberikan kata khusus ini kepada pemain naturalisasi, khususnya kepada De Paula, yang saya rasa errrrrr umpama lebih baik tak ada daripada ada.

Shukor Adan turut menyatakan yang:

“Sebenarnya bila kita newakili negara ni, pernah alami benda-benda yang mengaibkan apa semua, tapi bila kita sembang tentang naturalisasi yang kita diberikan, kita carry bendera, kita carry bendera malaysia ni tanggungjawab, jadi kita tau macam mana, maruah kita, kita tau letak dekat mana, jadi jika kita diberi peluang untuk jadi pemain naturalisasi kita kena extra effort dari pemain lain itu yang paling penting.”

“Kita bukan menghukum pemain Malaysia sebenarnya tapi dari aspek aspek yang sepatutnya benda ni tak boleh berlaku lah sebab maruah kita dekat lencana kita bawa ni, kita carry bendera ni jadi tak kisah lah siapa siapa naturalisasi ke local player ke errr perfomance tu bukanlah kita tahu, kita tahu kehebatan UAE kita tahu kita tak nafikan kehebatan UAE tapi bila kita hilang konsentrasi kita dihukum dengan jaringan yang besar, semua orang netizen penyokong-penyokong ni akan ermm question mark.”

Nidzam jamil juga turut sempat memberi sepatah dua kata berkait De Paula dengan menyatakan:

“De paula bukan tak bagus, tapi adakala kita fikir dia seperti…. saya nampak dia sangat malas tau, saya tak suka bercakap buruk tapi saya rasa dia agak malas.

BACA:  Piala AFF 2022: Myanmar 0-1 Malaysia