Ada Klausa Dalam Kontrak Aguero Yang Akan Membenarkan Beliau Meninggalkan Barca Dalam Masa Terdekat Ini

Sergio Aguero boleh meninggalkan Barcelona seandainya beliau mahu, walaupun beliau baru sahaja beberapa minggu menandatangani perjanjian bersama kelab.

Ia kerana terdapat klausa dalam kontraknya bersama Barcelona yang membolehkan Aguero untuk meninggalkan kelab walau masih belum melakukan debut dalam pertandingan kompetetif.

Perjalanan karier Aguero bersama Barcelona nampak sangat sukar, walaupun beliau baru sahaja secara rasminya bergelar pemain baru kelab pada 1 Julai lalu.

Bekas bintang Manchester City itu ketika ini berdepan dengan dua situasi yang tidak begitu menyenangkan, dengan beliau berkemungkinan tidak boleh didaftarkan untuk beraksi dalam saingan La Liga bersama kelab.

Aguero juga turut terkesan dengan berita pemergian sahabat karibnya, Lionel Messi yang secara rasminya tidak akan beraksi bersama Barca pada musim baharu nanti.

Ekoran dari itu, Aguero ketika ini dilaporkan sangat tidak gembira, dan bertekad untuk pergi meninggalkan kelab walau beliau masih belum melakukan debut rasmi dalam perlawanan kompetetif.

Antara sebab dan alasan utama mengapa Aguero bersetuju untuk menandatangani perjanjian bersama Barcelona adalah kerana beliau mahu beraksi bersama Lionel Messi.

Dek kerana pemenang enam kali gelaran Ballon D’or itu sudah rasmi meninggalkan kelab, maka hal tersebut sangat mustahil untuk berlaku.

Aguero ketika ini terpaksa berehat selama 10 minggu kerana dibelenggu masalah kecederaan, dan menurut wartawan Sepanyol, Adrian Sanchez dan Alejandro Carrasco dalam podcast mereka, hal itu akan menjadi alasan untuk bintang Argentina itu meninggalkan Nou Camp.

Kedua-dua wartawan itu membincangkan tentang hal tersebut, dan mendakwa yang ada syarat dalam kontrak Aguero yang membolehkan Barcelona melepaskan beliau dengan alasan dirinya sedang dibelenggu masalah kecederaan.

Laporan sama turut mendakwa yang bintang berusia 33 tahun itu mengalami kecederaan terbaru itu ketika sedang menjalani sesi latihan bersama skuad hujung minggu lalu.

Lebih tepat lagi, ia berlaku beberapa jam sahaja sebelum Lionel Messi membuat ucapan penuh beremosi dalam sidang media terakhirnya di Nou Camp.

Pemenang lima kali gelaran Premier League itu terlepas aksi perlawanan persahabatan Barcelona bertemu Juventus, yang mana Memphis Depay pada ketika itu membuktikan yang beliau calon terbaik untuk menggantikan Messi.

Tempoh rehat selama 10 minggu akan menyebabkan bekas bintang Atletico Madrid itu perlu menunggu sehingga pertengahan Oktober, sebelum beliau boleh melakukan debutnya untuk kelab.

Masalah kecederaan turut mengganggu perjalanan karier Aguero ketika bersama Manchester City, dengan beliau terpaksa berehat hampir sepanjang musim lalu atas masalah tersebut.

Pep Guardiola bahkan terpaksa menukar corak permainan dan taktikalnya dengan beliau akhirnya berjaya memenangi gelaran liga, walau kerap bermain tanpa menggunakan pemain penyerang utama.

Aguero dan Messi ketika beraksi bersama skuad kebangsaan Argentina

Aguero hanya beraksi sebanyak 12 kali sahaja dalam saingan liga musim lalu, dengan kebanyakkan darinya beliau dimasukkan sebagai pemain gantian.

Pemain penyerang Argentina itu turut berjaya membantu negaranya untuk memenangi gelaran Copa America pada musim panas lalu.

Guardiola turut memberikan penghormatan terakhir kepada pemainnya yang sudah 10 tahun menabur bakti bersama kelab itu, dengan memberikan ucapan penuh beremosi.

Beliau juga turut menghabiskan masa pada musim panas ini untuk mencari pemain pengganti kepada Sergio Aguero dengan Harry Kane menjadi pemain yang hangat dikaitkan bakal ke Etihad.

Walau bagaimanapun, Man City masih gagal untuk menandatangani Kane dengan Tottenham Hotspur tidak mahu melepaskan penyerang utamanya itu.

City walau bagaimanapun, telah berjaya menandatangani Jack Grealish dari Aston Villa dengan yuran perpindahan memecah rekod bernilai £100 juta.

Tidak mengejutkan untuk melihat Aguero mungkin akan meninggalkan Barca, dan kembali semula ke Etihad untuk menjadi pengganti kepada dirinya sendiri.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Messi Join Live Stream Aguero Untuk Borak Kosong