AFCON 2021: Ivory Coast Tendang Juara Bertahan, Algeria Keluar Dari Kejohanan

Perjalanan Algeria dalam aksi saingan Piala Benua Afrika berakhir setakat awal pagi tadi selepas mereka dikejutkan dengan kekalahan 3-1 di tangan Ivory Coast.

Juara bertahan saingan AFCON itu terpaksa akur pulang awal dari Cameroon selepas mereka sekadar mampu sampai ke saingan peringkat kumpulan sahaja musim ini.

Juara musim 2019 itu memulakan perlawanan dengan agak hambar dan menyebabkan gawang gol mereka dibolosi pada minit ke-22 permainan.

Franck Kessie menghukum barisan pertahanan Algeria yang sangat longlai sebelum Ibrahim Sangare menggandakan kedudukan pada minit ke-39 permainan.

Bintang Arsenal, Nicolas Pepe berjaya menambah derita Algeria selepas beliau meledak gol ketiga untuk Ivory Coast pada aksi babak kedua dalam perlawanan tersebut.

Sofiane Bendebka berjaya menjaringkan gol saguhati untuk Algeria pada minit ke-73 permainan, namun gol tersebut gagal menghidupkan semangat Juara bertahan itu untuk melakukan comeback.

Keputusan 3-1 itu kekal sehingga pengadil perlawanan membunyikan wisel penamat, dengan Algeria terpaksa akur tewas di tangan Ivory Coast, dan tersingkir dari kejohanan ini.

Mereka sepatutnya memperoleh gol pada awal aksi babak kedua permainan selepas dihadiahkan sepakan penalti, namun Riyad Mahrez gagal untuk menyempurnakan sepakan penalti tersebut.

Keputusan ini menyebabkan Algeria terpaksa pulang lebih awal dan perjalanan mereka pada edisi kali ini berakhir setakat aksi peringkat kumpulan sahaja walau mereka dianggap pasukan kegemaran untuk muncul Juara.

Sierra Leone juga terpaksa akur untuk pulang lebih awal selepas mereka dikejutkan dengan kekalahan di tangan Equatorial Guinea dan sekadar mampu melihat sahaja pasukan yang berada di kedudukan ke-132 dunia itu mara ke pusingan 16 terbaik.

Equatorial Guinea dan Ivory Coast akan mara terus ke aksi pusingan 16 terbaik, sementara Sierra Leone pula menanti di play off untuk turut sama melayakkan diri.

Terdesak mahu mencatatkan kemenangan untuk layak, Algeria gagal melakukan hal itu sejak dari awal sepak mula perlawanan ini lagi.

Kerana itulah mereka boleh dihukum dengan dua gol pada aksi babak pertama, seterusnya menyukarkan mereka untuk comeback pada aksi babak kedua.

Mereka bukan hanya tersingkir, bahkan menamatkan aksi peringkat kumpulan di kedudukan terakhir dan ia jelas sekali bukan satu hal yang diharapkan oleh para penyokong mereka.

Algeria asalnya merupakan calon kegemaran

Juara bertahan AFCON, Algeria merupakan calon kegemaran untuk muncul sebagai juara pada edisi 2021 ini selepas mereka mempamerkan aksi persembahan yang sungguh menakjubkan pada tahun ini.

Ketika aksi kelayakan AFCON, Algeria merupakan pasukan paling banyak menjaringkan gol dengan mereka berjaya meledak 19 gol dari enam perlawanan.

Mereka juga merupakan pasukan paling banyak menjaringkan gol ketika aksi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia, dengan menjaringkan 25 gol dari enam perlawanan.

Algeria juga masih belum mencatatkan sebarang kekalahan dalam kesemua perlawanan kelayakan.

Mereka juga turut berjaya menjuarai saingan FIFA Arab Cup sebelum ini selepas cemerlang menundukkan Tunisia 2-0 dalam aksi perlawanan akhir.

Tersingkir dari AFCON dengan berada di kedudukan tercorot

Walau dianggap sebagai calon juara, namun siapa sangka Juara bertahan saingan AFCON itu hanya mampu sampai di peringkat kumpulan sahaja untuk edisi kali ini.

Lebih teruk lagi, mereka mengakhiri saingan musim ini dengan berada di kedudukan tercorot dalam saingan peringkat kumpulan E.

Dari tiga perlawanan peringkat kumpulan, Algeria hanya mampu mencatatkan satu keputusan seri sahaja dan dua lagi mereka telah merekodkan kekalahan.

Satu mata dari tiga perlawanan jelas sekali bukan pencapaian yang diharapkan dan ia merupakan kempen yang sangat teruk untuk skuad Juara bertahan itu.

Sumber: talkSPORT

BACA:  Andre Onana Risau Hilang Gelaran Penjaga Gol Utama Man Utd Kerana AFCON