AFF Bawah-23: Malaysia 1-2 Laos

Skuad kebangsaan Malaysia bawah 23 tahun hari ini turun bertemu skuad bawah 23 tahun Laos untuk aksi perlawanan pembukaan peringkat kumpulan B saingan AFF B-23.

Perlawanan tersebut dilangsungkan di Prince Stadium, Phnom Penh, Kemboja dengan Brad Maloney menurunkan skuad terbaik yang beliau miliki untuk bertemu Laos.

Sejak dari awal sepak mula perlawanan lagi Laos sudah berjaya memberi tekanan kepada barisan pertahanan Malaysia, dengan mereka cemerlang melancarkan beberapa siri serangan ke gawang Sikh Izhan.

Barisan pertahanan skuad Harimau Muda nampak agak tenang dengan mereka cemerlang menyerap semua asakan dari jentera serangan Laos.

Malaysia hampir saja membuka tirai jaringan seawal minit ke-5 permainan namun sayangnya bola percubaan dari Azfar Fikri sekadar singgah ke palang gol sahaja.

Ia merupakan antara kesempatan emas untuk Malaysia memperoleh gol awal, seterusnya memberi tekanan kepada pemain Laos.

10 minit pertama permainan Malaysia nampak lebih dominan namun jelas sekali langsung tak nampak kreativiti dari para pemain skuad kendalian Brad Maloney itu.

Selepas mengharungi 15 minit permainan, Malaysia nampak semakin lemau dan jentera serangan juga semakin kendur hingga menyebabkan Laos lebih dominan.

Jentera serangan Laos nampak mudah melepasi barisan pertahanan skuad Harimau Muda, namun mujur saja kualiti serangan mereka tak memberi apa-apa ancaman kepada Sikh Izhan.

Masuk minit ke-20 permainan, Malaysia kembali menemui rentak dan turut berjaya melancarkan beberapa siri serangan ke gawang Laos, namun masih gagal untuk memperoleh gol pendahuluan.

Sama seperti dari awal sepak mula permainan, Malaysia berjaya mencipta banyak peluang dan kesempatan, namun tak nampak ada kreativiti langsung dari pemain tengah.

Jentera serangan juga terlalu tumpul serta persefahaman antara pemain jelas bermasalah dan hal ini menyebabkan serangan-serangan yang dilancarkan tak beri kesan kepada barisan pertahanan Laos.

Selepas 40 minit permainan berlangsung, perlawanan nampak seimbang dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, namun Malaysia nampak lebih dominan.

Tidak dinafikan jentera serangan Malaysia disajikan dengan begitu banyak kesempatan, namun pemain di posisi midfield seolah-olah langsung tak berfungsi untuk beri sokongan.

Ketika aksi babak pertama sudah hampir untuk tamat, Malaysia akhirnya berjaya untuk membuka tirai jaringan, seterusnya mendahului perlawanan dengan keputusan 1-0.

Selvan berjaya meledak gol pertama untuk skuad Harimau Muda, dengan beliau merembat padu dari dalam kotak penalti untuk meletakkan skuad negara di hadapan.

Beliau berjaya memanfaatkan kesilapan barisan pertahanan Laos yang tidak mengawal beliau ketika Malaysia mengambil sepakan penjuru dan Selvan tenang merobek gawang gol Laos di minit akhir sebelum tamat aksi babak pertama.

Aksi babak pertama tamat dengan Malaysia mendahului permainan dengan keputusan 1-0 dan skuad Brad Maloney itu juga dilihat dominan sepanjang 45 minit pertama permainan.

Sebaik bermula aksi babak kedua permainan, Laos dengan segera melancarkan serangan ke kubu Malaysia dengan mereka turut hampir peroleh gol penyamaan.

Barisan pertahanan negara dilihat masih mampu beraksi cemerlang dan teratur dalam menggagalkan segala serangan dari jentera serangan Laos.

Selvan hampir saja menggandakan kedudukan pada minit ke-52 permainan, namun sayangnya bola tandukan beliau tersasar jauh dari gawang gol Laos yang sudah terhidang depannya.

Tidak lama selepas itu, giliran Tasnim pula yang menguji gawang gol Laos menerusi satu percubaan hasil umpanan cantik dari Shivan Pillay, namun sayangnya percubaan beliau juga tersasar.

Walau skuad Harimau muda yang tak henti-henti melancarkan serangan merbahaya, namun Laos yang terlebih dahulu merobek gawang gol Malaysia untuk menyamakan kedudukan.

Pada minit ke-56 permainan, Boupachan berjaya menewaskan Sikh Izhan untuk gol pertama Laos, seterusnya memadam gol pendahuluan negara yang dijaringkan oleh Selvan.

Kedua-dua pasukan kemudiannya dilihat lebih aggresif dalam memburu gol pendahuluan, dengan mereka saling berbalas serangan ke kubu masing-masing.

Pada minit ke-62 permainan, Laos hampir sahaja untuk menjaringkan gol kedua mereka dalam perlawanan ini, selepas Boupachan tenang melepaskan rembatan padu ke arah gawang gol Malaysia.

Mujur saja Sikh Izhan cemerlang menafikan percubaan tersebut, seterusnya memastikan keputusan kekal 1-1.

Sepanjang 70 minit perlawanan berlangsung, skuad negara perlahan-lahan dilihat semakin mengendurkan serangan mereka dan mulai hilang arah.

Dari pertahanan hingga ke posisi penyerang, skuad negara mula bermain dengan sangat huru-hara dan turut kerap melakukan hal-hal yang tak sepatutnya termasuk mengasari pemain lawan.

Pada minit ke-79, Laos berjaya memperoleh gol kedua mereka dalam perlawanan ini, selepas Phetdavhan berjaya memanfaatkan bola hantaran dari Boupachan untuk memastikan mereka mendahului 2-1.

Gawang gol Malaysia dirobek oleh Laos yang bermain dengan sangat baik dalam perlawanan ini dan mereka sememangnya berhak untuk mendapat jaringan tersebut.

Skuad Harimau Muda masih gagal mendapatkan rentak persembahan terbaik mereka dalam perlawanan ini dan jelas sekali mereka gagal untuk mencari gol tambahan.

Laos berjaya mengekalkan gol pendahuluan tersebut, seterusnya mencipta sejarah menewaskan Malaysia dengan keputusan 2-1.

Skuad negara jelas mempamerkan aksi persembahan yang sangat hambar dan tak bersemangat, dan ia jelas sememangnya satu hal yang paling tak digemari oleh para peminat.

BACA:ย  Lihat Tiga Sentuhan Tak Jejak Tanah Safawi Hasilkan "Wonder Goal" Diikuti Keraian 'Baby Bump"