Lihat Tiga Sentuhan Tak Jejak Tanah Safawi Hasilkan “Wonder Goal” Diikuti Keraian ‘Baby Bump”

Genap setahun selepas tidak menjaringkan gol untuk pasukan negara, Safawi Rasid kembali mencetak nama sebagai penjaring untuk membantu skuad Harimau Malaya membenam Kepulauan Solomon 4-1 dalam perlawanan persahabatan antarabangsa pada malam tadi.

Kali terakhir Safawi bergelar penjaring untuk pasukan negara adalah ketika Malaysia menewaskan Banglandesh dengan jumlah jaringan yang sama pada 14 Jun 2022 di pusingan kelayakan Piala Asia 2023.

Safawi kemudiannya kemarau jaringan dalam lapan perlawanan berikutnya, digugurkan daripada skuad kendalian Kim Pan-gon ketika kalendar perlawanan antarabangsa Mac lalu, sebelum sekali lagi diberikan peluang oleh Kim Pan-gon untuk perlawanan menentang Kepulauan Soloman dan Papua New Guinea pada 20 Jun akan datang.

Menentang skuad kebangsaan Kepulauan Solomon yang kini menduduki ranking ke-134 dunia di dalam senarai FIFA, Safawi hanya dimasukkan sebagai pemain gantian pada babak kedua perlawanan.

Menerima hantaran lintang daripada Lee Tuck dari sebelah sayap kanan serangan, Safawi melakukan first touch mengkagumkan, sebelum melakukan pusingan menewaskan kawalan pertahanan lawan dengan sentuhan kedua, diikuti dengan satu rembatan voli kaki kiri yang menewaskan penjaga gol Kepulauan Solomon, Philip Mango yang beraksi cemerlang sepanjang perlawanan.

Terdahulu skuad Harimau Malaya dikejutkan dengan jaringan awal minit ke-11 pasukan lawan oleh Raphael Le Ai selepas penjaga gol negara, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed tersilap langkah keluar dari posisinya.

Tersentak dengan jaringan tersebut, pasukan negara bermain lebih agresif untuk memburu gol penyamaan dan berjaya mengikat kedudukan melalui pemain naturalisasi, Paulo Josue yang meledak gol sulung antarabangsa bersama Harimau Malaya pada minit ke-40.

Masa kecederaan babak pertama, giliran pemain muda Arif Aiman Mohd Hanapi pula membuka akaun jaringan bersama skuad kebangsaan apabila menyudahkan sepakan penalti selepas dia dijatuhkan pertahanan lawan, Calvin Ohasio.

Selepas itu Kepulauan Solomon beraksi dengan lebih kompak di bahagian pertahanan dan sekali sekala menggunakan kepantasan pemain sayap untuk melancarkan serangan.

Strategi tersebut berjaya menyukarkan pasukan negara untuk melebarkan kedudukan sebelum tiga sentuhan ajaib oleh Safawi Rasid pada minit ke-76 perlawanan menjadikan kedudukan 3-1.

Harimau Malaya berjaya menambah satu lagi jaringan pada masa kecederaan melalui rembatan dari dalam kotak penalti oleh Lee Tuck untuk kedudukan akhir menjadi 4-1.

BACA:  Kelayakan Piala Dunia 2022 : UAE 4-0 Malaysia