Aksi Ibrahim Hamadtou Bermain Ping-Pong Beri Inspirasi Kepada Peminat Seluruh Dunia

Temasya Paralimpik 2020 telah secara rasminya dilangsungkan bermula malam Selasa dengan pelbagai acara sudah mula dipertandingkan hari ini.

Seramai 4,537 atlet telah mengambil bahagian di temasya Paralimpik Tokyo kali ini, dan antara atlet yang paling memberikan inspirasi antara yang lain adalah Ibrahim Hamadtou dari Egypt.

Hamadtou kehilangan kedua-dua tangannya kerana terlibat dengan kemalangan kereta api ketika berusia 10 tahun.

Walau bagaimanapun, nasib malangnya itu tidak menghalang beliau untuk mempunyai cita-cita dan berjaya dalam hidupnya.

Hamadtou mula bermain dua sukan di kampung kediamannya selepas dari kemalangan itu, dengan beliau menceburi dunia bola sepak dan ping-pong.

“Di kampung kami, kita hanya boleh bermain ping-pong dan bola sepak pada ketika itu. Kerana itulah saya main kedua-dua sukan itu.”

Jelasnya kepada CNN pada tahun 2014 yang lalu.

“Ia adalah sedikit masuk akal untuk saya bermain bola sepak memandangkan pada situasi saya, kemudian saya bermain ping-pong untuk mencabar diri saya.”

“Ia sedikit sukar untuk bermain ping-pong selepas kemalangan itu. Saya perlu berlatih dengan gigih untuk tempoh tiga tahun berturut-turut dan lakukannya setiap hari.”

“Pada permulaannya, orang rasa kagum dan terkejut melihat saya bermain. Mereka beri semangat dan banyak menyokong saya, dan mereka juga berbangga dengan keinginan saya, ketabahan saya dan semangat saya.”

Beliau ketika ini sedang beraksi di temasya Paralimpik Tokyo 2020 dalam sukan ping-pong.

Atlet berusia 43 tahun itu menggunakan mulutnya untuk memegang bat. Ketika mahu melakukan serves, beliau akan melambungkan bola menggunakan kakinya.

Beliau telah bertemu dengan atlet dari Korea Selatan, Park Hong-Kyu semalam dan telah menunjukkan tentang betapa hebatnya beliau beraksi walau mempunyai kelemahan.

Hamadtou tewas dalam perlawanan pembukaan peringkat kumpulan secara straight set, 11-6, 11-4 dan 11-9.

Beliau agak kecewa dengan keputusan itu, namun sangat berharap agar dirinya mampu beraksi dengan lebih baik dalam perlawanan seterusnya nanti.

“Selepas perlawanan hari ini, kekalahan itu sangat pahit untuk dihadam.”

Jelasnya kepada World Table Tennis selepas tamat aksi kekalahan tersebut.

“Saya bahkan tak tahu mahu katakan apa. Saya bermain dan beraksi dengan baik, dan saya bersyukur tentang itu. Saya mula mempersiapkan diri sebaik tamat temasya Rio untuk beraksi di Tokyo.”

“Ia merupakan jangka waktu yang sukar, saya berusaha keras semampu saya dan saya harap saya boleh dapatkan hasil yang berbaloi.”

Tidak kira sama ada beliau mampu menang atau tidak, kehadiran Hamadtou di gelanggang ping-pong dan bermain dengan menggunakan mulut sudah cukup menginspirasikan ramai orang.

Tidak dinafikan atlet paralimpik senantiasa memberi inspirasi kepada ramai orang dengan mereka hadir serba kekurangan tetapi berusaha memberi yang terbaik untuk negara masing-masing.

Seperti Hamadtou, beliau bermain ping-pong tanpa tangan yang mana ia anggota terpenting dalam permainan ini, dan terpaksa menggunakan kaki untuk melambungkan bola, tentu sekali ramai yang terinspirasi dengan semangat dan usaha yang beliau tunjukkan.

Sumber: GMS

BACA:  Bonnie Bunyau Raih Emas Pertama Negara Di Temasya Paralimpik Tokyo