Aksi Lucu Kante Terkantoi Lewat Datang Pusat Latihan

N’Golo Kante telah berjaya mencuri hati para peminat bola sepak seluruh dunia dengan sikap rendah diri dan kemuliaan hatinya yang sungguh menakjubkan.

Begitu banyak kisah menarik tentang Kante telah didedahkan kepada umum dan cerita yang berlaku di padang latihan skuad kebangsaan Perancis pada tahun 2018 sangat menarik untuk diketahui.

Tidak begitu lama dahulu, pemain defensive midfielder itu telah bermain di division kedua saingan liga bola sepak Perancis.

Beliau kemudiannya telah ditawarkan untuk berhijrah ke England untuk beraksi bersama Leicester City dan yang menariknya lagi, Kante berjaya membantu The Foxes memenangi gelaran liga pada ketika itu.

Selepas cemerlang bersama Leicester City, Kante telah ditandatangani oleh Chelsea dan mula mencipta nama bersama skuad the blues itu.

Kante dengan tidak diragukan jelas merupakan antara pemain holding midfielder terhebat di dunia pada ketika ini.

Aksi hebat beliau bersama Chelsea dalam saingan liga Juara-juara musim ini jelas menunjukkan mengapa beliau dianggap yang terhebat di dunia.

Selain hebat di atas padang, sikap semula jadi Kante di luar padang juga berjaya menarik minat dan perhatian para peminat seluruh dunia.

Kemuliaan hati dan sikapnya yang merendah diri membuatkan Kante menjadi pemain bola sepak yang paling disayangi.

Bayangkan saja pendapatan beliau yang begitu lumayan dan membolehkannya untuk hidup mewah, namun Kante lebih memilih untuk hidup sederhana sahaja.

Contoh paling mudah lihat saja kereta yang Kante pandu, beliau tidak memakai kereta berjenama mewah, sebaliknya hanya memandu Mini Cooper sahaja.

Namun mungkin ramai yang tidak tahu tanpa Mini Cooper, kehidupan seharian beliau boleh berubah, buktinya lihat video di bawah.

Tanpa Mini Cooper, Kante terpaksa pergi ke padang latihan dengan menggunakan pengangkutan awam seperti kereta api.

Dek kerana kereta api yang beliau naikki lambat, maka Kante turut terlambat untuk tiba di padang latihan bersama skuad kebangsaan Perancis.

Namun kerana yang lambat itu Kante, maka cukup dengan satu senyuman sudah mampu membuat Didier Deschamps cair dan memaafkan beliau.

Kante yang tiba dengan senyuman manis itu memberi alasan kereta api lambat dan Deschamps membalas:

“Tapi N’Golo, kenapa kamu tidak lari saja? Kamu lebih pantas dari kereta api.”

Kante mungkin terhibur dengan lawak yang disampaikan oleh pengurusnya itu hanya tersipu malu di situ sambil disaksikan oleh tiga lagi jurulatihnya.

Video penuh insiden tersebut boleh ditonton di laman youtube milik France Football.

Satu lagi kisah lucu tentang Kante adalah ketika beliau tiba di England, beliau setiap hari pergi ke padang latihan Leicester City hanya dengan berlari sahaja.

Beliau terpaksa dipujuk oleh rakan sepasukannya yang lain supaya membeli kereta kerana Kante ketika itu berfikir beliau memang perlu berlari dari rumah ke padang latihan setiap hari.

Selain menjadi pemain kesayangan peminat, Kante juga merupakan pemain yang disenangi oleh rakan sepasukannya.

Paul Pogba sebelum ini pernah mendedahkan yang Kante pandai main tipu kalau mereka bermain UNO.

“Dia banyak menipu. Banyak sangat.”

Jelas Pogba kepada beIN Sports.

“Kalau bermain permainan kad, jujur saya katakan dia pandai menipu, dia sangat licik. Dia memang budak yang pandai, N’Golo. Tapi itu tak jadi masalah. Kamu semua perlu sayangkan dia.”

BACA:  Legenda Liverpool Percaya Naby Keita Pemain Lebih Lengkap Berbanding N'Golo Kante