Aksi Tangkas Lisandro Martinez Mengayamkan Erling Haaland dan Darwin Nunez Musim Lalu

Lisandro Martinez mungkin belum cukup dikenali oleh para peminat bola sepak EPL namun tanda harga GBP 45 juta sudah cukup untuk mengatakan bahawa pemain ini bukan biasa-biasa.

Selepas berminggu-minggu episod pujuk memujuk, akhirnya Ajax Amsterdam sudi menjual pemain terbaik tahunan mereka pada musim lalu tersebut kepada kelab England, Manchester United.

Pembelian ini adalah salah satu daripada usaha Erik ten Hag untuk menambah baik kualiti pertahanan pasukan barunya tersebut, memandangkan mereka muncul antara pasukan yang paling lembik dan melepaskan banyak gol sepanjang musim lalu.

Dengan pembelian Martinez ini, ten Hag mempunyai empat pilihan utama di bahagian pertahanan tengah antara Harry Maguire, Raphael Varane serta Victor Lindelof.

Pertahanan lain seperti Phil Jones, Eric Bailly, Axel Tuanzebe dijangka akan dijual pada harga sekadarnya.

Dengan ketinggian 175 sentimeter, ramai penyokong yang sangsi dengan kebolehan pemain yang bakal menjadi pertahanan tengah terpendek di EPL ini, tambahan pula kelab seteru utama mereka – Manchester City dan Liverpool masing-masing telah membeli penyerang yang berkaliber.

City telah menyambar penyerang Norway dari Borussia Dortmund, Erling Braut Haaland, pada harga GBP 51 juta, manakal Liverpool membeli penyerang Benfica, Darwin Nunez, pada harga tertinggi dalam sejarah pembelian kelab tersebut – GBP 85 juta.

Timbul persoalan, mampukah Martinez menangani penyerang yang besar gedabak di EPL, khususnya dua penyerang ini?

Sebenarnya Martinez pernah berdepan dengan kedua-dua pasukan pada musim lalu dalam saingan di pentas Liga Juara-Juara UEFA.

Dalam saingan peringkat kumpulan, Ajax telah menewaskan Dortmund sebanyak dua kali, 3-1 di tempat lawan dan empat gol tanpa balas di laman sendiri.

Dalam perlawanan di Dortmund, Haaland tidak diturunkan kerana mengalami kecederaan, namun ketika perlawanan di Amsterdam, Martinez dengan begitu tenang mengemudi barisan pertahanan Ajax dalam mengekang asakan Haaland dan rakan-rakan, sehingga berjaya mencipta cadar bersih.

Aksi Martinez menangani Haaland boleh dilihat dalam video di bawah.

Satu lagi kompilasi Martinez melawan Haaland boleh ditonton dalam video di bawah ini.

Ajax berjaya layak ke pusingan 16 pasukan Liga Juara-Juara UEFA pada musim lalu dan bertemu Benfica pada pusingan tersebut.

Dalam pusingan pertama di Amsterdam, Nunez berjaya menjaringkan gol tunggal perlawanan namun pada pusingan kedua, dia tidak mampu bergerak seperti biasa dan sering dikekang oleh Martinez, sehingga memaksa penyerang Uruguay tersebut dikeluarkan.

Perlawanan berkesudahan seri 2-2, dan Benfica layak ke pusingan suku akhir untuk bertemu Liverpool.

Walaupun berbadan kecil, Martinez mempunyai kebolehan membaca permainan yang bagus dan seringkali dapat mengagak hantaran-hantaran yang dilakukan oleh pemain lawan.

Selain itu, dia juga mempunyai keupayaan dalam melakukan hantaran yang berbahaya dan memecah benteng pertahanan lawan.

Dalam satu video kompilasi hantaran pemain ini, peminat Man United layak untuk berasa teruja kerana kualiti hantaran-hantaran Martinez adalah sangat baik berbanding beberapa pemain tengah di EPL sendiri.

Apapun perlu diingat, dalam kedua-dua video ini Martinez belum lagi berhadapan dengan aksi Harry Maguire, ye dak?

Martinez dilihat begitu pandai menghidu pergerakan rakan sepasukannya di bahagian atas, dan menghantar bola yang cukup sifatnya buat mereka. Selain itu, pemain ini juga cukup pandai dalam menukar arah permainan sama ada dari kiri ke kanan atau sebaliknya.

Hantaran kaki kiri pemain ini cukup baik dan ada yang membandingkannya seperti Andrea Pirlo. Selain bermain di posisi pertahanan tengah, Martinez juga boleh berperanan sebagai pemain tengah bertahan atau dalam bahasa Inggeris disebut defensive midfielder.

Jika Cristiano Ronaldo masih bermain untuk pasukan Syaitan Merah ini pada musim hadapan, dia pasti akan menyukai Martinez dan terus menjadi sahabat karib kerana pada musim lalu, penyerang ini gagal mendapat suapan bola yang cantik dan bagus daripada pemain-pemain United.

Sememangnya diketahui ramai bahawa Ronaldo sangat berbahaya dalam kotak penalti sekiranya dia berjaya menerima hantaran yang cantik.

Video YouTube tersebut telah mengumpul lebih 230,000 tontontan dan di bahagian komen, ternyata penyokong Man United dilihat sangat teruja dan ghairah.

Antara komen-komen menarik adalah seperti;

“Hantaran dia bukan sahaja lebih baik daripada kebanyakan pertahanan tengah di dalam dunia, tapi juga lebih baik daripada ramai pemain tengah.”

“Seorang pertahanan boleh menghantar bola seperti Scholes…tolong bawa dia masuk cepat-cepat!”

“Gaya hantaranya mengingatkan aku kepada David Beckham. Dah lama dah tak tengok benda macam ni.”

Dengan pilihan yang ada, United dijangka akan dapat memperkemaskan lagi barisan pertahanan mereka yang dilihat sangat tidak bermaya dan lembik pada musim lalu walaupun dilatih oleh dua pengurus – Ole Gunnar Solskjaer dan juga Ralf Rangnick.

United membuka tirai pra musim 2022 dengan begitu bergaya apabila dengan bersahaja membelasah seteru kuat mereka, Liverpool, empat gol tanpa balas dalam perlawanan di Stadium Rajamangala, Bangkok.

Selepas perlawanan, United terbang ke Australia dan bakal bertemu Melbourne Victory pada 15 Julai di Padang Kriket Melbourne, serta bertemu Crystal Palace di gelanggang yang sama pada 19 Julai nanti.

Syaitan Merah akan melengkapkan jelajah Asia-Pasifik mereka dengan menentang Aston Villa pada 23 Julai di Stadium Optus, Perth.

Seminggu kemudian, United akan bertemu Atletico Madrid di stadium Ullevaal, Oslo, Norway sebelum melengkapkan perlawanan pra musim mereka dengan perlawanan menentang Rayo Vallecano di Old Trafford pada 31 Julai.

BACA:  Akinfenwa Percaya Nunez Akan Mampu Jaringkan 18 Gol Pada Musim Debutnya